Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kes tipu barangan mewah: Lelaki kedua akan didakwa bantu pasangan larikan diri dari S'pura

Seorang lelaki Malaysia berusia 38 tahun akan didakwa hari ini kerana bersubahat membantu pasangan Pi Jiapeng dan Pansuk Siriwapa keluar secara haram dari Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes tipu barangan mewah: Lelaki kedua akan didakwa bantu pasangan larikan diri dari S'pura

Gambar fail: Jeremy Long

Diterbitkan : 30 Jul 2022 10:09AM Dikemas Kini : 30 Jul 2022 10:09AM
SINGAPURA: Seorang lagi lelaki ditangkap di Malaysia pada Jumaat (29 Jul) kerana disyaki terlibat dalam membantu sepasang suami isteri melarikan diri dari Singapura awal bulan ini.

Pasangan itu dikatakan gagal mengirimkan jam tangan dan beg mewah kepada pembeli.

Menurut polis dalam satu kenyataan, seorang lelaki warga Malaysia berusia 38 tahun - yang tidak didedahkan identitinya - akan didakwa pada Sabtu (30 Jul) kerana bersubahat membantu individu-individu itu keluar secara haram dari Singapura.

Polis menambah tangkapan itu dijalankan dengan "kerjasama dan bantuan kuat" Polis Diraja Malaysia.

Siasatan mendedahkan lelaki berusia 38 tahun itu dipercayai bersekongkol dengan lelaki Malaysia berusia 40 tahun bernama Mohamed Alias bagi melakukan kesalahan itu pada 4 Julai.

Tidak segera diketahui peranan yang dimainkan suspek berusia 38 tahun itu.

Mohamed Alias, seorang pemandu lori, didakwa pada 15 Julai kerana membantu warga Thailand Pansuk Siriwapa, 27 tahun, meninggalkan Singapura dalam bahagian kontena lori berdaftar Malaysia.

Dia dikenakan satu lagi tuduhan pada Jumaat lalu kerana membantu suami wanita itu, rakyat Singapura berusia 26 tahun, Pi Jiapeng, meninggalkan Singapura dengan cara yang sama.

Pi dan Pansuk dikatakan menipu mangsa mereka yang sudahpun membuat bayaran awal bagi jam tangan dan beg mewah bernilai jutaan dolar.

Pi ditangkap pada 27 Jun. Pasportnya ditarik dan dia dibebaskan dengan ikat jamin, pada keesokan harinya, sambil menantikan siasatan selesai dijalankan.

Pansuk sedang membantu polis dalam siasatan dan menyerahkan pasportnya kepada pegawai pada 30 Jun.

Kedua-duanya kemudian tidak dapat dihubungi.

Pasangan itu kini dicari pihak berkuasa Singapura dan notis merah Interpol telah dikeluarkan ke atas mereka.

Sekurang-kurangnya 180 laporan polis dibuat terhadap mereka tentang penipuan melibatkan dua syarikat - Tradenation dan Tradeluxury dengan barang mewah sekitar S$32 juta.

Pasukan Polis Singapura juga merayu orang ramai supaya memberi maklumat mengenai keberadaan pasangan tersebut.

Interpol menyatakan Pi dilahirkan di Fujian, China, manakala Pansuk berasal dari Roi Et, wilayah di timur laut Thailand.

Di bawah Akta Imigresen, seseorang individu yang bersubahat dengan sesiapa sahaja untuk meninggalkan Singapura secara haram boleh dihukum penjara sekurang-kurangnya enam bulan dan sehingga dua tahun serta juga denda sehingga S$6,000.

Sebarang kesalahan bersubahat di Singapura, meskipun dilakukan di luar negara, boleh dihukum di bawah undang-undang Singapura.
Sumber : Today/IM/im

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa