Kes TB: Perniagaan pusat penjaja Bedok Central masih lembap meski dibersihkan secara menyeluruh
Perniagaan di Pusat Makanan dan Pasar Blok 216 Bedok Central masih lembap, menurut penjaja dan peniaga kepada Mediacorp pada Rabu (20 Mei), sehari selepas ia dibuka semula menyusuli operasi pembersihan selama tiga hari yang dikaitkan dengan kelompok batuk kering atau tuberkulosis (TB).
Bahagian luar Pusat Makanan dan Pasar Blok 216 Bedok pada pagi 20 Mei 2026. (Gambar: CNA/Matthew Mohan)
Operasi pembersihan itu merangkumi kerja-kerja mencuci pasar setiap suku tahun yang diawalkan sebulan, selain pembersihan menyeluruh yang dipertingkatkan.
Semasa Mediacorp mengunjungi lokasi tersebut sekitar pukul 10.00 pagi, kebanyakan meja dipenuhi pelanggan, namun para penjaja berkata perniagaan lebih perlahan daripada biasa dan jumlah pengunjung masih belum pulih.
Cik Huang Ling, yang bekerja di gerai minuman teh Cina Cha Mulan, berkata perniagaan merosot sekitar 70 peratus sejak berita berhubung kes TB itu tersebar.
“Kami hanya menjual sekitar 20 cawan sejak gerai dibuka pagi ini. Pada hari biasa, pelanggan datang tanpa henti,” kata wanita berusia 53 tahun itu dalam bahasa Mandarin.
“Seorang pakcik memberitahu saya semalam bahawa walau sebersih mana pun tempat ini dibersihkan, dia tetap tidak akan datang.”
Seorang penjaja yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Goh berkata lazimnya tiada meja kosong pada waktu pagi hari biasa.
Pada penghujung April, pihak berkuasa mengumumkan saringan TB mandatori bagi para penyewa dan pekerja di tiga lokasi di Bedok Central – Heartbeat@Bedok, Pusat Makanan dan Pasar Blok 216 Bedok serta Singapore Pools Bedok - selepas siasatan menemui 13 kes yang mempunyai kaitan genetik merentasi tiga kelompok antara Januari 2023 hingga Februari tahun ini.
Penjaja memberitahu Mediacorp bahawa tempoh beberapa hari selepas pengumuman itu dibuat merupakan yang paling sukar bagi mereka.
Menteri Kesihatan Ong Ye Kung melawat pusat makanan itu awal bulan ini dan memberi jaminan kepada orang ramai bahawa ia masih selamat untuk makan di sana.
“Tuberkulosis tidak merebak dengan mudah menerusi satu, dua atau tiga pertemuan, berkongsi pinggan atau berjabat tangan. Ia memerlukan pendedahan rapat yang sangat berpanjangan,” kata beliau kepada media.
Encik Abdul Wahib, yang mengendalikan gerai pakaian di pasar itu sejak 14 tahun lalu, menganggarkan perniagaan merosot antara 40 hingga 50 peratus.
“Masih terlalu awal untuk mengatakan (sama ada keadaan akan pulih),” katanya. “Sebahagian pelanggan tetap kami masih berasa amat ragu-ragu untuk datang.”
GERAI MAKANAN LEBIH TERKESAN
Para penjaja dan peniaga diberikan pengecualian sewa serta caj lain selama setengah bulan bagi Mei selepas berita berhubung kelompok TB itu diumumkan.
Encik Abdul Wahib berkata bantuan tersebut banyak membantu, namun lanjutan tempoh bantuan itu amat dialu-alukan.
“Kesannya bukan hanya untuk sebulan, tetapi juga untuk bulan-bulan akan datang,” tambah beliau. “Saya berasa risau tentang perniagaan makanan. (Bagi kami), perniagaan merosot tetapi kami masih harus teruskan hidup dan bekerja.”
Encik Kelvin Tan, yang mengendalikan gerai minuman di pusat penjaja itu, berkata pengendali gerai makanan lebih terkesan.
“Bagi mereka yang menjual makanan, keadaannya berbeza berbanding yang menjual minuman. Apabila makanan sudah dimasak, mereka perlu membuangnya jika ia tidak habis dijual,” kata beliau.
Dalam catatan Facebook pada Selasa, Menteri Undang-Undang Edwin Tong, yang juga Anggota Parlimen bagi GRC East Coast, berkata pihak berkuasa bersedia untuk melakukan lebih banyak lagi bagi menyokong perniagaan yang terjejas.
“Kami berharap para penduduk akan terus menyokong penjaja, perniagaan dan semua peniaga di Blok 216 ini, sedang kita melangkah ke hadapan bersama-sama secara tenang dan bertanggungjawab sebagai satu masyarakat,” tulis beliau.
Bagi membantu menarik semula orang ramai, Persatuan Penjaja Pusat Makanan dan Pasar Blok 216 Bedok North menganjurkan sebuah acara getai pada 22 Mei, di mana orang ramai boleh menebus baucar makan bernilai S$10 untuk digunakan di gerai-gerai yang mengambil bahagian.
Baucar tersebut juga boleh didapatkan di Kelab Masyarakat Kampong Chai Chee mulai 23 Mei.
Pada Selasa, Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) menyatakan latihan saringannya di Bedok sudah selesai, dengan seorang individu setakat ini didiagnosis menghidap TB aktif.
Lelaki tersebut sudah memulakan rawatan dan “berada dalam keadaan baik”, dan tidak lagi berjangkit selepas dua minggu rawatan. Usaha mengesan kontak sedang dijalankan untuk mengenal pasti dan menilai kontak rapat.
Seorang penduduk Bedok South yang berada di kawasan itu berkata beliau masih bimbang dan akan mengelak pusat penjaja tersebut untuk minggu akan datang.
“Mereka sememangnya sudah melakukan pembersihan biasa. Tetapi bahagian dalam, kita tidak tahu (sejauh mana tahap kebersihannya). Orang ramai mungkin bimbang,” kata penduduk yang enggan dikenal pasti itu.
Namun, individu lain yang sering mengunjungi pusat penjaja tersebut memberitahu Mediacorp bahawa mereka tidak mengubah rutin masing-masing.
Encik Jackson Lee, pemilik kedai optik di pusat beli-belah berdekatan, yang sering mengunjungi pusat penjaja itu, berkata beliau tidak mempunyai sebab untuk menjauhkan diri - walaupun beliau menyedari lebih ramai orang kini memakai pelitup.
Bagi Encik Darryn Lim, yang kadangkala mengunjungi pusat penjaja itu dan menghantar anak perempuannya ke kelas pengayaan di Heartbeat@Bedok, keadaan masih “berjalan seperti biasa”.
“Sudah tentu ia menimbulkan sedikit rasa tidak selesa, tetapi saya tidak akan mengelakkannya dengan sengaja,” kata beliau. “Saya rasa sedikit sedih untuk rakan-rakan penjaja kami kerana jika perniagaan merosot 50 peratus, itu memang teruk.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.