Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kes simbah air panas pada budak 5 tahun: Kulitnya jadi kuning, lembap akibat kelecuran

Kekuningan, keputihan, lembap dan mentah dengan beberapa bahagian mengupas. Itulah betapa teruknya kelecuran kulit seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang didakwa dibunuh oleh ibu bapanya, kata Dr Chan Shijia, ahli patologi yang menjalankan bedah siasat.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes simbah air panas pada budak 5 tahun: Kulitnya jadi kuning, lembap akibat kelecuran

Sangkar kucing di mana kanak-kanak lelaki 5 tahun dikurung. (Gambar: Dokumen Mahkamah)

Diterbitkan : 14 Nov 2019 08:45AM Dikemas Kini : 14 Nov 2019 08:46AM

SINGAPURA: Kekuningan, keputihan, lembap dan mentah dengan beberapa bahagian mengupas. Itulah betapa teruknya kelecuran kulit seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang didakwa dibunuh oleh ibu bapanya, kata Dr Chan Shijia, ahli patologi yang menjalankan bedah siasat.

Gambar-gambar yang diambil semasa bedah siasat dibentangkan di mahkamah pada Rabu (13 Nov) sedang Dr Chan memberi keterangan dalam perbicaraan ibu bapa budak itu - Azlin Arujunah dan Ridzuan Mega Abdul Rahman, kedua-duanya berusia 27 tahun.

Pasangan berkenaan dituduh menyimbah air panas pada kanak-kanak itu di bahagian kaki, tangan, dada dan perutnya sekurang-kurangnya empat kali antara 15 Oktober hingga 22 Oktober pada 2016.

Selain tuduhan melakukan pembunuhan dengan niat semasa tempoh tersebut, Azlin dan Ridzuan juga menghadapi beberapa tuduhan mendera dan menyakiti anak mereka di rumah mereka, termasuk mengurungnya dalam sangkar besi kucing. Semua itu juga dibentangkan di mahkamah pada Rabu.
Penderaan tersebut didakwa berlaku di sebuah flat sewa satu bilik yang terletak di bahagian tengah Singapura.

DETIK-DETIK TERAKHIR

Menjelaskan secara terperinci mengenai bagaimana detik-detik terakhir yang dilalui kanak-kanak lelaki itu, Dr Chan, yang juga konsultan patologi forensik bersekutu di Penguasa Sains Kesihatan (HSA), berkata ia adalah sesuatu yang "sangat menyakitkan" kerana tiga perempat daripada permukaan tubuh mangsa mempunyai kesan lecur "ketebalan separa".

Juga dikenali sebagai kelecuran darjah kedua, ia adalah lebih sakit berbanding kelecuran "ketebalan penuh" atau luka terbakar darjah ketiga. Kesannya akan mencapai kapilari atau saluran darah, menyebabkan pendarahan, tetapi kerosakan saraf mungkin tidak berlaku secara penuh untuk merasa kebas.

Apabila sebahagian besar kulit - lapisan pelindung tubuh - sudah hilang, badan tidak lagi terlindung daripada jangkitan, tambah Dr Chan.

Menarik perhatian bahawa ia adalah perkara luar biasa untuk seseorang meninggal dunia akibat kelecuran teruk, Dr Chan berkata: "Untuk pesakit mati, mereka mati akibat jangkitan kerana kehilangan perlindungan kulit." Beliau menambah jangkitan tersebut boleh menyebabkan kegagalan pelbagai organ.

Kanak-kanak itu dikesan dalam keadaan mengantuk, hipotermik (mempunyai suhu badan yang rendah), dan hipotensi (mempunyai tekanan darah rendah), apabila dia dimasukkan ke Jabatan Kecemasan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK pada jam 8.00 malam, tanggal 22 Oktober 2016. Pada pukul 8.05 pagi hari berikutnya, nadi budak itu tidak lagi berdenyut.

Dr Chan memberi keterangan bahawa untuk orang dewasa, secara amnya, ia diterima bahawa kelecuran 40 peratus akan menyebabkan kematian atau mengancam nyawa. Bagi kanak-kanak, ambang tersebut mungkin lebih rendah kerana kulit kanak-kanak bawah usia enam tahun adalah "jauh lebih nipis" daripada orang dewasa, jelas beliau.

Kanak-kanak lelaki itu mengalami kecederaan lain termasuk pendarahan yang teruk di bawah kulit kepalanya yang berukuran 18 sentimeter (cm) kali 10cm. Itu adalah "hampir seluruh kepala", kata Dr Chan.

Terdapat "gumpalan darah yang agak banyak" berwarna merah dan coklat gelap - kesan dari trauma akibat pukulan benda tumpul, yang menyumbang kepada kematian budak lelaki tersebut, katanya.

Sangkar di mana budak itu dikurung juga dibawa ke mahkamah pada Rabu. Ia berukuran 70cm (tinggi), 50cm (lebar) dan 90cm (panjang). Kanak-kanak tersebut mempunyai ketinggian 105cm.

Penganalisis HSA Crystal Lau Liang-Sung memberi keterangan bahawa calitan daripada sangkar tersebut mendedahkan terdapat kesan DNA budak lelaki itu.

Sementara itu, Dr Chan mengatakan bahawa mungkin luka yang ditemui pada wajah kanak-kanak itu dan kemungkinan pada kulit kepalanya juga adalah akibat dikurung di dalam sangkar. Beliau berkata bahawa sangkar tersebut mempunyai beberapa bahagian tajam.

Perbicaraan itu akan diteruskan hari ini (14 Nov) dengan ibu titipan budak lelaki berkenaan dijangka memberikan keterangan.  

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan