Kes silap tebang hutan Kranji: Para menteri minta orang ramai jangan timbulkan spekulasi
Lembaga Taman Negara (NParks)akan merujuk kes tersebut kepada pendakwaraya selepas siasatan selesai dijalankan kelak, sebelum mendedahkannya kepada orang ramai.
SINGAPURA: Perbadanan Bandar Jurong (JTC) hanya tampil minggu lalu untuk menangani keprihatinan orang ramai mengenai bidang tanah yang dibersihkan secara silap di Kranji, kerana tumpuan awalnya adalah memulakan siasatan yang menyeluruh dan adil.
Demikian menurut pihak berkuasa.
Berucap di Parlimen siang tadi (26 Feb), beberapa orang menteri meminta orang ramai agar jangan menimbulkan spekulasi.
Lembaga Taman Negara (NParks)akan merujuk kes tersebut kepada pendakwaraya selepas siasatan selesai dijalankan kelak, sebelum mendedahkannya kepada orang ramai.
Kontraktor terbabit, iaitu syarikat Huationg, sudah diberikan amaran tegas.
Menurut Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing, NParks dan JTC akan menjalankan siasatan.
Jika ada sebarang salah laku, NParks mempunyai kuasa untuk bertindak dan hukumannya ditentukan di bawah akta-akta berkaitan.
Ini bermakna amaran tegas itu bukan hanya tindakan yang diambil.
Syarikat Huationg juga belum dibayar atas tindakan membersihkan bidang tanah terbabit.
Ada juga seruan agar Rangka Kerja Penilaian Kesan Alam Sekitar dijadikan peraturan.
Untuk itu, Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee berkata proses tersebut memerlukan fleksibiliti.
Encik Lee mengatakan ia bukan saja proses guaman, tetapi juga proses alam sekitar, pemuliharaan, saintifik yang memerlukan fleksibiliti, bergantung kepada ekologi kawasan tertentu.
Menjawab pertanyaan sama ada Singapura pernah mengalah kepada alam semulajadi, Encik Lee berkata terdapat bidang tanah yang ditentukan untuk kegunaan lain, sudah diubah menjadi kawasan alam sekitar, selepas menjalani penilaian.
Ini termasuk Sungei Khatib Bongsu, Mandai Mangrove dan Mudflat.
Encik Chan pula menambah sektor awam harus memperhalusi proses agar jelas tentang kebertanggungjawaban, bagi mengelakkan perkara serupa.
Singapura katanya, memerlukan mereka dengan nilai-nilai yang baik dalam perkhidmatan awam.
Encik Chan yakin, sektor itu mahu memperbaiki keadaan dan memastikan ia dilakukan dengan betul.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.