Kes serangan jantung meningkat, semakin ramai golongan muda alami masalah jantung tanpa sebarang simptom
Kes serangan jantung semakin meningkat di Singapura, dengan semakin ramai golongan muda mengalami masalah jantung tanpa sebarang simptom.
Setiap tahun, lebih 12,000 kes serangan jantung dilaporkan berbanding 8,000 kes sedemikian setiap tahun, sedekad yang lalu.
Menurut ramalan para penyelidik dari Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS), sekitar 480 kes serangan jantung dijangka berlaku bagi setiap 100,000 penduduk di Singapura tahun ini.
Malah bilangan itu akan meningkat kepada 1,400 kes menjelang tahun 2050.
Pusat Jantung Kebangsaan Singapura mengendalikan lebih 120,000 pesakit setiap tahun.
Ini berbanding 80,000 kes pada 2006.
Antara penyakit yang paling kerap dihidapi pesakit ialah arteri koronari di mana saluran arteri mereka tersumbat.
Ini lazimnya akibat keadaan kronik seperti kolesterol tinggi dan tekanan darah tinggi.
Bagi golongan yang lebih muda pula, khususnya yang berusia bawah 40 tahun, para doktor berkata terdapat dua faktor risiko utama mereka mengalami serangan jantung.
Pertama adalah sejarah merokok dengan 60 peratus pesakit yang mengalami serangan jantung menghisap rokok.
Sementara itu, 20 peratus daripada mereka pula mempunyai sejarah ahli keluarga yang menghidapi penyakit jantung.
Para doktor menarik perhatian kepada satu lagi faktor yang biasanya dilepas pandang, iaitu pemfibrilan atrium atau keadaan degupan jantung tidak konsisten.
"Mereka mungkin berasa degupan jantung yang sangat laju. Mereka mungkin pening kepala dan apabila mereka mengalami pemfibrilan atrium, pesakit biasanya mudah berasa penat, sukar bernafas, tidak boleh mengekalkan kadar kegiatan mereka sepertimana mereka mampu apabila degupan jantung normal.
"Ia boleh menyebabkan angin ahmar kerana darah beku boleh berlaku apabila darah tidak mengalir secara berterusan dan kemudian darah beku itu boleh berlaku pada otak, individu mengalami angin ahmar teruk.
"Nombor dua, ia mungkin menyebabkan jantung berdegup terlalu pantas untuk masa yang sangat lama, secara tidak normal, dan itu boleh membawa kepada kegagalan jantung," jelas Konsultan Kanan Kardiologi di Pusat Jantung Nasional Singapura, Dr Ching Chi Keong.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.