Skip to main content

Singapura

Kes saman SBS Transit: Bekas pemandu beri keterangan waktu bekerja, sistem jadual kerja

Anggaran Waktu Membaca:
Kes saman SBS Transit: Bekas pemandu beri keterangan waktu bekerja, sistem jadual kerja

Peguam Lim Tean dan anak guamnya, bekas pemandu bas Chua Qwong Meng (tiga dari kiri). (Gambar: Lim Tean/Facebook)

Diterbitkan : 23 Mar 2022 12:06AM Dikemas Kini : 23 Mar 2022 12:56AM

SINGAPURA: Perbicaraan sivil bekas pemandu bas yang menuduh SBS Transit melaksanakan amalan-amalan kerja yang tidak adil dimulakan pada Selasa (22 Mac) dengan plaintif, Encik Chua Qwong Meng, memberikan keterangan di Mahkamah Tinggi.

Encik Chua diambil bekerja oleh SBS Transit dari 3 April 2017 hingga 5 Februari 2020, membawa pulang S$2,110 sebagai gaji asas. Beliau merupakan plaintif utama dalam kes melibatkan 12 pemandu lain yang turut membuat tuntutan serupa terhadap penyedia pengangkutan awam itu.

Kes itu dibenarkan untuk dibicarakan di Mahkamah Tinggi selepas Hakim Audrey Lim mendapati pada Jun tahun lalu bahawa ia menimbulkan persoalan penting undang-undang yang menjejas kategori pekerja yang lebih besar.

Ini termasuk sama ada hari rehat yang diwajibkan dan had kepada waktu bekerja yang diperuntukkan di bawah Akta Pekerjaan boleh "ditolak" apabila seseorang pekerja dianggap menyediakan khidmat penting, kata beliau ketika itu.

Kes itu juga berpotensi mempunyai kesan tentang bagaimana kontrak pekerjaan disusun dari segi pemberian hari cuti, mengira gaji lebih masa dan menentukan waktu bekerja.

Perbicaraan pada Selasa (22 Mac) melalui sidang video itu dihadiri oleh beberapa orang awam dan media.

Ia pada mulanya dijadualkan pada November tahun lalu, tetapi Encik Chua memutuskan untuk tidak lagi mendapatkan khidmat peguam M Ravi daripada kes itu pada hari pertama perbicaraannya.

Encik Chua kini diwakili oleh peguam Lim Tean dari Carson Law Chambers.

Plaintif dijangka akan menyampaikan sepina kepada Cik Anna Koh dari Perikatan Tiga Pihak bagi Penyelesaian Pertikaian (TADM) untuk mengemukakan bukti.

BACA: Peguam M Ravi undurkan diri dari kes tuntutan mahkamah bekas pemandu bas terhadap SBS Transit

BACA: Kes tuntutan SBS Transit: Pemandu bas lantik Lim Tean sebagai peguam baru

SBS Transit diwakili oleh pasukan peguam yang diketuai oleh Peguam Kanan Davinder Singh.

Defendan dijangka akan mengemukakan keterangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif SBS Transit Cheng Siak Kian, penolong naib presiden dan ketua penjadualan Vincent Foong dan penolong naib presiden yang bertanggungjawab ke atas sumber manusia bagi operasi bas Lee Swee Hua.

KES PLAINTIF

Plaintif mendakwa bahawa SBS Transit sudah melanggar syarat-syarat kontrak, Akta Pekerjaan dan perjanjian kolektif syarikat itu sendiri berhubung dengan waktu bekerja, kerja lebih masa dan hari rehat.

Encik Chua berhujah bahawa SBS Transit gagal menyenaraikan satu hari rehat seminggu untuknya. Ada kalanya, beliau bekerja selama tujuh hari berturut-turut atau lebih daripada itu sebelum mendapat hari rehat.

Ini dipercayai melanggar Akta Pekerjaan yang memperuntukkan "setiap pekerja mesti dibenarkan satu hari rehat tanpa gaji setiap minggu".

Akta itu mentakrifkan satu minggu sebagai "tempoh berterusan selama tujuh hari bermula pada tengah malam pada hari Ahad".

BACA: Perbicaraan SBS Transit: Hakim minta pengesahan bekas pemandu bas

Mengenai kerja lebih masa, Encik Chua berhujah bahawa beliau tidak dibayar sewajarnya bagi kerja lebih masa dan terdapat percanggahan antara waktu kerjanya seperti yang dikira oleh Cik Koh (TADM) dan seperti yang tertera dalam rekod rasmi SBS Transit.

Encik Chua juga berhujah bahawa beliau melakukan lebih daripada 72 jam kerja lebih masa dalam sebulan sebanyak beberapa kali, melebihi had yang diwajibkan di bawah Akta Pekerjaan.

RESPONS DEFENDAN

Dakwaan Encik Chua "tidak berasas" dan "tidak mempunyai asas pada hakikatnya mahupun undang-undang", tegas Encik Singh dalam kenyataan pembukaan defendan.

SBS Transit "lebih daripada mematuhi" peruntukan dalam Akta Pekerjaan di mana pekerja tidak sepatutnya bekerja lebih daripada lapan jam sehari atau lebih daripada 44 jam seminggu, hujah defendan.

Encik Chua secara kontrak diwajibkan bekerja lapan jam sehari dan selama enam hari seminggu, menurut Encik Singh.

Beliau menegaskan bahawa Encik Chua bekerja kurang daripada lapan jam sehari apabila waktu rehat dan waktu makan beliau dikecualikan.

Beliau juga akan dibayar gaji lebih masa bermula dari jam kelapan beliau bekerja termasuk waktu rehat dan waktu makan.

"SBS Transit diwajibkan di bawah Akta Pekerjaan dan berdasarkan kontrak untuk membayar gaji lebih masa pada kadar tidak kurang daripada satu setengah kali ganda kadar asas setiap jam gaji pekerja", dengan SBS Transit sudah berbuat demikian, hujah defendan.

Defendan berkata SBS Transit akan memberikan
satu hari rehat buat kapten bas dalam seminggu bermula dari Isnin hingga Ahad dalam kitaran tujuh minggu. Setiap tujuh minggu, kapten bas menikmati dua hari rehat berturut-turut.

Syarikat itu juga dipercayai mempunyai sistem perlindungan yang diprogramkan dalam sistem jadual kerja automatik mereka.

Ia akan mengeluarkan amaran jika kapten bas tidak mendapat satu hari rehat dalam seminggu.

Perbicaraan akan diteruskan pada Rabu (23 Mac).

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita