Skip to main content

Singapura

Kes saman fitnah Shanmugam, Tan see Leng terhadap Bloomberg dibicarakan di Mahkamah Tinggi

Anggaran Waktu Membaca:
Kes saman fitnah Shanmugam, Tan see Leng terhadap Bloomberg dibicarakan di Mahkamah Tinggi

Wartawan Bloomberg Low De Wei (tiga dari kiri) tiba di Mahkamah Tinggi, 7 Apr 2026. (Gambar: CNA/Lim Li Ting)

Diterbitkan : 07 Apr 2026 01:31PM Dikemas Kini : 07 Apr 2026 01:33PM
SINGAPURA: Perbicaraan kes saman fitnah terhadap Bloomberg dan salah seorang wartawannya, yang difailkan oleh Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam dan Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng, dibicarakan di Mahkamah Tinggi pada pagi Selasa (7 Apr).

Selepas ucapan pembukaan ringkas daripada kedua-dua pihak, peguam bela Bloomberg, Peguam Kanan Sreenivasan Narayanan, memulakan sesi soal balas yang sengit terhadap Encik Shanmugam, yang merupakan saksi pertama.

Sesi soal jawab itu menyebabkan peguam Encik Shanmugam, Peguam Kanan Davinder Singh, mencelah berkali-kali bagi mempersoalkan kaitan soalan-soalan yang diajukan.

Hakim juga terpaksa campur tangan beberapa kali untuk mengawal perjalanan perbicaraan.

Pada satu ketika, Encik Shanmugam menjelaskan dengan panjang lebar tentang perbezaan antara kepentingan awam
dengan perkara yang menjadi minat orang awam. Beliau menyatakan bahawa penjualan hartanahnya bukanlah satu perkara yang sepatutnya menjadi kepentingan awam.

Namun, beliau akur ia mempunyai "nilai berita" dalam erti kata orang suka menjadikannya sebagai bahan gosip.

Kedua-dua menteri tersebut menyaman pertubuhan berita yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu dan wartawannya, Encik Low De Wei, berhubung satu artikel terbitan Bloomberg bertarikh Disember 2024 mengenai urus niaga Banglo Kelas Baik (GCB).

Menteri-menteri tersebut mendakwa rencana bertajuk "Singapore Mansion Deals Are Increasingly Shrouded in Secrecy" memfitnah mereka dengan menggambarkan mereka seolah-olah mengambil kesempatan daripada kekurangan pemeriksaan dan imbangan serta keperluan pendedahan untuk membeli hartanah secara "tidak telus".

Mereka juga mendakwa rencana itu secara salah menggambarkan seolah-olah menteri-menteri tersebut mahu "menyembunyikan" urus niaga itu dan mengelak daripada penelitian orang awam, termasuk kemungkinan terlibat dengan pengubahan wang haram.

Setakat ini, rencana tersebut masih boleh dibaca online, walaupun ia mengandungi notis pembetulan di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA).

Bloomberg menyatakan pihaknya "dengan penuh hormat tidak bersetuju" dengan notis pembetulan itu dan akan mengekalkan hak mereka untuk merayu serta mencabarnya. Agensi berita itu menegaskan bahawa ia tetap mempertahankan laporan tersebut.

Bloomberg, bersama portal lain seperti The Edge Singapore, The Independent Singapore dan The Online Citizen, telah dikenakan arahan pembetulan POFMA pada 23 Disember 2024 berhubung rencana dan catatan mereka tentang urus niaga GCB tersebut.

Dalam menafikan rencana Bloomberg itu, pemerintah Singapura menyatakan bahawa maklumat mengenai pemilikan dan pemindahan hartanah, termasuk untuk semua GCB, boleh didapati di portal Perkhidmatan Maklumat Tanah Bersepadu (INLIS), tidak kira sama ada kaveat difailkan bagi transaksi jualan tersebut ataupun tidak.

Ia juga menyatakan bahawa Singapura mewajibkan pendedahan identiti dan kerakyatan pembeli serta pemilik sebenar dengan ketat bagi semua urusan jual beli hartanah, termasuk urus niaga banglo GCB.

Tindakan guaman itu diambil selepas Dr Tan dan Encik Shanmugam menyatakan dalam kenyataan bersama pada 16 Disember 2024 bahawa mereka akan mengambil tindakan terhadap Bloomberg dan media lain kerana menerbitkan kenyataan berbaur fitnah berhubung urus niaga hartanah mereka.

Perbicaraan sivil ini dijangka berterusan sehingga Jumaat.

PEMBELAAN BLOOMBERG

Bloomberg dan wartawannya memfailkan pembelaan dengan menafikan bahawa rencana itu bersifat memfitnah.

Bloomberg menyatakan pihaknya "tiada kepentingan atau alasan" untuk mencemarkan nama baik menteri-menteri tersebut.

Agensi berita itu berkata rencana tersebut hanya menekankan bahawa pembelian beberapa GCB yang tidak difailkan kaveat memberikan kelebihan dari segi privasi dan biasanya dijual pada harga yang lebih tinggi.

Ia juga menekankan bahawa pembeli banglo yang tidak mahu identiti mereka diketahui umum biasanya menggunakan struktur amanah dalam pembelian mereka.

Kaveat hartanah adalah dokumen undang-undang yang dihantar kepada Penguasa Tanah Singapura (SLA) untuk mendaftarkan kepentingan dalam hartanah yang ingin dibeli oleh pembeli.

Ini menghalang orang lain daripada membelinya.

Bloomberg menegaskan bahawa pembelian Dr Tan yang tidak difailkan kaveat dan penggunaan struktur amanah oleh Encik Shanmugam hanya disebut sebagai contoh, tanpa membayangkan sebarang salah laku di pihak mereka.

Agensi berita itu juga menegaskan bahawa tiada "pembaca yang rasional" akan mengaitkan penjualan GCB Encik Shanmugam dengan aktiviti pengubahan wang haram.

Jika rencana itu didapati memfitnah, Bloomberg akan menggunakan pembelaan bahawa ia menjalankan "kewartawanan yang bertanggungjawab" untuk melaporkan perkara yang menjadi kepentingan awam.

Peguam Encik Low menyatakan dalam pembelaannya bahawa wartawan itu menjalankan tugas dengan bertanggungjawab, memastikan rujukan terhadap urus niaga menteri adalah tepat mengikut fakta, sangat ringkas dan disampaikan secara tidak berpihak.

Beliau juga sudah meminta komen daripada kedua-dua menteri sebelum menerbitkan rencana tersebut, namun setiausaha media mereka menjawab bahawa mereka tidak akan memberikan sebarang komen.

Secara berasingan, kedua-dua menteri itu juga menyaman Encik Terry Xu, ketua editor laman The Online Citizen, atas tuduhan fitnah.

Mereka memenangi kes tersebut dan Encik Xu diperintah membayar S$210,000 kepada setiap menteri kerana memfitnah mereka dalam rencana mengenai GCB yang merujuk kepada laporan Bloomberg.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita