Kes saman fitnah harus dibicarakan secara terbuka, tegas Shanmugam selepas Lee Hsien Yang saran timbang tara secara tertutup
Menteri Undang-Undang K Shanmugam, Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan dan Lee Hsien Yang. (Gambar-gambar: Petikan gambar, AFP/Roslan Rahman)
Encik Shanmugam berkata demikian berhubung catatan Facebook oleh Encik Lee, yang mencadangkan kedua-dua pihak "sama-sama bersetuju dengan timbang tara bebas" yang akan "dijalankan secara tertutup" sebagai cara untuk menghuraikannya.
Saman fitnah itu diambil menyusuli komen yang dikeluarkan oleh Encik Lee di laman Facebooknya pada Julai berhubung penyewaan banglo hitam-putih di Ridout Road oleh Encik Shanmugam dan Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan.
Encik Lee mencadangkan dalam catatannya pada Khamis (5 Ok) supaya kedua-dua pihak "memilih penimbang tara yang berkedudukan tinggi di peringkat antarabangsa".
"Calon menteri boleh, jika mereka mahu, seorang hakim Mahkamah Agung Singapura yang telah bersara. Kedua-dua penimbang tara boleh memilih individu ketiga. Prosiding akan dijalankan secara tertutup tetapi keputusan itu akan didedahkan kepada umum, dan adalah muktamad dan mengikat kepada semua pihak."
Encik Lee juga berkata bahawa beliau telah mengusulkan kepada Encik Shanmugam dan Dr Balakrishnan supaya mereka berdua menyamannya di mahkamah London "memandangkan kenyataan yang menyinggung mereka berdua dibuat di United Kingdom".
Beliau menambah bahawa kedua-dua menteri enggan berbuat demikian dan sebaliknya "terus mengambil tindakan di Mahkamah Singapura dan telah diberi kebenaran untuk berbuat demikian melalui Facebook dan bukan secara peribadi".
Encik Lee iadalah adik kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong. Beliau dan isterinya Lee Suet Fern meninggalkan Singapura selepas enggan menghadiri soal siasat polis pada Julai 2022 atas perkara berasingan.
Dalam responsnya, Encik Shanmugam menyatakan dalam catatan Facebook bahawa "rakyat Singapura yang tidak terkira banyaknya" telah menyaman di Mahkamah Singapura untuk saman fitnah yang diterbitkan untuk rakyat Singapura.
"Kenyataan Encik Lee berkaitan dengan peristiwa di Singapura, dan ditujukan terutamanya untuk rakyat Singapura. Sasaran utamanya bukan di UK. Kami telah menyaman Encik Lee kerana telah memfitnah yang diterbitkan kepada rakyat di Singapura, yang melibatkan rakyat Singapura, dan yang berdasarkan undang-undang Singapura," katanya.
"Jika Encik Lee berpendapat bahawa tiada asas untuk tindakan undang-undang, beliau harus mengalu-alukan peluang untuk membela dirinya di Mahkamah secara terbuka di mana beliau boleh menyoal balas kami, dan kami boleh menyoal balas beliau, di hadapan khalayak ramai di Singapura."
Menteri itu berkata Encik Lee harus menjelaskan mengapa beliau berhak membuat kenyataan fitnah "tetapi dikecualikan daripada undang-undang yang kita semua tertakluk".
"Apa yang Encik Lee benar-benar mahukan adalah layanan istimewa. Dia mahu dilayan secara berlainan daripada rakyat Singapura (dan juga warga asing) yang disaman di Singapura kerana memfitnah," tambahnya.
Menurut afidavit yang difailkan pada 14 Ogos, kedua-dua menteri berhujah supaya kes itu dibicarakan di Singapura. Mereka berkata mereka telah dinasihatkan oleh para peguam dan percaya bahawa Singapura dengan "jelas adalah forum yang paling sesuai untuk perbicaraan tersebut".
Kedua-dua menteri menegaskan bahawa mereka adalah menteri di Singapura, adalah penduduk negara ini dan perkataan yang menyinggung perasaan itu merujuk kepada peristiwa di Singapura.
Mereka turut menarik perhatian bahawa terdapat "penerbitan dan penerbitan semula yang banyak" berhubung perkataan yang menyinggung perasaan di Singapura, di mana pelbagai orang di Singapura mungkin sudah membacanya.
Dalam catatan Facebook pada 27 Julai, Encik Shanmugam berkata Encik Lee telah menuduh beliau dan Dr Balakrishnan "bertindak dengan cara mengambil rasuah dan untuk kepentingan peribadi dengan meminta Penguasa Tanah Singapura (SLA) memberi kami layanan istimewa dengan menebang pokok secara haram tanpa kelulusan, dan juga mengarahkan SLA menampung kos ubah elok pada 26 dan 31 Ridout Road".
Kedua-dua menteri Kabinet itu menghantar surat peguam kepada Encik Lee pada 27 Julai, mengatakan mereka akan menyaman jika Encik Lee tidak memohon maaf, menarik balik dakwaannya dan membayar ganti rugi S$25,000 yang akan didermakan kepada badan amal.
Selepas gagal mematuhi syarat dalam surat tuntutan yang dihantar pada 27 Julai, Encik Lee berkata di Facebook dua hari kemudian bahawa beliau setakat menyatakan fakta. Encik menambah bahawa kedua-dua menteri itu harus menyamannya di mahkamah UK kerana beliau berada di sana ketika itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.