Kes rompakan barang kemas di Ang Mo Kio: Bekas pemandu Grab dipenjara 3 tahun dan sebat
Seorang bekas pemandu Grab berusia 37 tahun menjadi orang pertama yang dihukum kerana merompak barang kemas bernilai S$100,000 dari sebuah kedai emas di Ang Mo Kio pada tahun lalu.
Kedai emas di Ang Mo Kio dirompak pada 14 Aug tahun lalu. (Gambar fail: TODAY)
SINGAPURA: Seorang bekas pemandu Grab berusia 37 tahun menjadi orang pertama yang dihukum kerana merompak barang kemas bernilai S$100,000 dari sebuah kedai emas di Ang Mo Kio pada tahun lalu.
Veeramani Subran Das hari ini (2 Nov) dikenakan hukuman penjara tiga tahun dan enam sebatan rotan.
Dia mengaku bersalah atas satu tuduhan bersubahat dengan dua lagi lelaki - bekas pemandu Gojek, M Jegatheesh, 27 tahun, dan Sharavindran Suppiah, 31 tahun - untuk merompak pemilik kedai emas Hock Cheong Jade & Jewellery Shop.
Ketiga-tiga lelaki itu memasuki kedai emas tersebut dan merompak barang kemas termasuk rantai emas, gelang dan loket bernilai S$119,288.
Jegatheesh dan Sharavindran juga menghadapi tuduhan yang sama dan sedang menantikan untuk dibicarakan.
Mahkamah diberitahu bahawa ketiga-tiga lelaki itu berjumpa di Lorong Geylang 30 pada 13 Ogos tahun lalu. Jegatheesh didakwa memberitahu dua lelaki itu rancangannya untuk merompak kedai emas tersebut pada keesokan hari.
"Jegatheesh menyasarkan kedai itu erana ia kelihatan tua dan merasakan ia tidak mempunyai alat penggera. Lagipun, pemiliknya juga sudah lanjut usia dan tidak akan dapat lawan," kata Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Thiagesh Sukumaran dan Jeremy Bin.
Menurut DPP, Jegatheesh juga memberitahu Veeramani yang dia akan dibayar untuk memandu mereka selepas rompakan itu.
Pada hari kejadian, Jegatheesh menyuruh Veeramani memandu keretanya ke tempat letak kereta di Blok 565, Ang Mo Kio Avenue 3, dan menunggunya di situ.
Dia kemudian berjalan ke kedai emas berkenaan dengan membawa beg hitam.
Apabila Jegatheesh masuk kedai, dia cuba tutup pintu tariknya tetapi ia tersendat.
Dia kemudian memekik ke arah kedua pemilik kedai itu agar: "Jangan bergerak, jangan bercakap!"
Pemilik kedai itu memicit butang penggera kecemasan yang tersembunyi dan syarikat keselamatan dimaklumkan.
Jegatheesh terjumpa kunci bagi kabinet emas dan terus membukanya dan memasukkan semua barang kemas ke dalam beg, menurut pendakwa.
Seorang individu yang lalu di situ menelefon polis selepas mendengar teriakan meminta tolong dari kedua-dua pemilik kedai tersebut.
Jegatheesh melarikan diri dan dijemput oleh Veeramani.
Pada Ogos 16 tahun lalu, polis menggeledah rumah Veeramani dan dia membuang tiga barang kemas yang diambilnya ke luar tingkap. Polis menemui semula barang kemas yang dirompak.
Veeramani boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan dirotan tidak kurang dari enam sebatan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.