Skip to main content

Singapura

Kes rompakan atas kapal di Selat S'pura naik meski insiden serantau merosot

Insiden-insiden rompakan bersenjata atas kapal di Selat Singapura meningkat pada separuh pertama 2021, dengan kebanyakan kes membabitkan kapal-kapal lebih besar seperti kapal-kapal induk.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes rompakan atas kapal di Selat S'pura naik meski insiden serantau merosot

Gambar fail: CNA

Diterbitkan : 16 Jul 2021 05:42PM Dikemas Kini : 16 Jul 2021 05:46PM

SINGAPURA: Insiden-insiden rompakan bersenjata atas kapal di Selat Singapura meningkat pada separuh pertama 2021, dengan kebanyakan kes membabitkan kapal-kapal lebih besar seperti kapal-kapal induk.

Dari Januari hingga Jun tahun ini, 20 insiden rompakan bersenjata berlaku di Selat Singapura, naik 16 kes berbanding tempoh yang sama setahun lalu, menurut sebuah pusat perkongsian maklumat maritim hari ini (16 Jul).

Ini berbanding penurunan 35 peratus dalam bilangan insiden di rantau ini sepanjang tempoh yang sama, menurut Pusat Perkongsian Maklumat, Perjanjian Kerjasama Serantau bagi Memerangi Kegiatan Lanun dan Rompakan Bersenjata ke atas Kapal di Asia (ReCAAP).

Dalam enam bulan pertama tahun ini, terdapat 37 insiden rompakan bersenjata di Asia, merosot berbanding 57 kes sepanjang tempoh yang sama tahun lalu, dengan kes-kes yang dilaporkan di lokasi-lokasi seperti India, Indonesia, Filipina dan Laut China Selatan berkurangan.

Encik Masafumi Kuroki, pengarah eksekutif pusat tersebut berkata bahawa "insiden-insiden berterusan" atas kapal di Selat Singapura kekal menjadi keprihatinan, sambil menambah bahawa insiden-insiden kemungkinan akan terus berlaku jika pelaku-pelakunya tidak diberkas.

INSIDEN-INSIDEN DI SELAT SINGAPURA

Related article image
Gambar fail: CNA

Lokasi-lokasi insiden rompakan di Selat S'pura. (Gambar: ReCAAP)

Dalam kalangan insiden di Selat Singapura, 16 berlaku di laluan menghala ke arah timur Skim Pemisah Trafik (TSS) di perairan di Tanjung Pergam, Pulau Bintan, Indonesia.

Insiden-insiden itu berlaku pada sebelah malam di atas kapal-kapal induk, minyak dan kargo, menurut ReCAAP, sambil menambah bahawa kebanyakan insiden melibatkan kumpulan empat orang.

Tujuh insiden pula melibatkan pelaku-pelaku yang menggunakan pisau.

Bercakap kepada para wartawan dalam satu taklimat maya, Encik Kuroki berkata: "Ia bukan lagi pencurian kecil, ia adalah jenayah lebih serius apabila para pelaku bersenjatakan pisau atau senjata lain atau sekiranya kru kapal diancam atau cedera.

"Oleh itu, ia satu kebimbangan kepada masyarakat maritim memandangkan insiden-insiden sedemikian berlaku di Selat Singapura."

Malah, beliau menambah bahawa sebahagian insiden berlaku hampir serentak di lokasi-lokasi berbeza. Ini menunjukkan bahawa terdapat beberapa kumpulan pelaku lain.

"Apa yang penting adalah untuk mengukuhkan usaha-usaha penguatkuasaan undang-undang oleh negara-negara di pesisir," tegas Encik Kuroki.

SITUASI KESELURUHAN

Secara keseluruhan, situasi di rantau ini ada menunjukkan peningkatan, menurut ReCAAP.

Tiada insiden yang dikategorikan di paras paling tinggi, Kategori 1 dan hanya terdapat satu insiden dalam Kategori 2.

Sekitar 70 peratus insiden pula dikategorikan sebagai paras rendah di mana para pelaku tidak bersenjata dan kru kapal tidak dicederakan.

Selain itu, ReCAAP juga menambah bahawa tiada insiden melibatkan penculikan anggota kru di Laut Sulu-Celebes dan perairan bahagian Timur Sabah pada separuh pertama tahun ini. Insiden terakhir adalah pada Januari 2020.  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita