Skip to main content

Singapura

Kes polis bunuh diri: Dakwaan perkauman di tempat kerja dalam SPF akan disiasat sebagai pelanggaran disiplin, kata Shanmugam

Anggaran Waktu Membaca:
Kes polis bunuh diri: Dakwaan perkauman di tempat kerja dalam SPF akan disiasat sebagai pelanggaran disiplin, kata Shanmugam

Gambar fail: Try Sutrisno Foo/CNA

Diterbitkan : 06 Feb 2024 03:03PM Dikemas Kini : 06 Feb 2024 03:18PM

SINGAPURA: Pasukan Polis Singapura (SPF) telah mengkaji semula dasarnya mengenai kes yang melibatkan penghinaan kaum atau unsur perkauman biasa (casual racism) dalam kalangan pegawainya.

Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-undang K Shanmugam pada Selasa (6 Feb) berkata kes sedemikian akan disiasat sebagai "kemungkinan satu salah laku" dan "pelanggaran disiplin". 

Tambah beliau, ia bagi memastikan terdapat rekod bagi kejadian sedemikian, tindakan disiplin diambil dan tingkah laku pegawai terbabit dipantau dengan rapi.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan Kenyataan Menteri di Parlimen mengenai kematian Sarjan Uvaraja Gopal pada tahun lalu.

Pegawai berusia 35 tahun itu meninggal dunia akibat bunuh diri pada 21 Jul 2023, selepas dia ditemui dalam keadaan tidak sedar diri di kaki blok flat HDB di Yishun. SGT Uvaraja telah berkhidmat dengan polis selama lebih 10 tahun dan kali terakhir bertugas di Divisyen Polis Ang Mo Kio.

Dalam catatannya Facebook yang kemudiannya dipadamkan, SGT Uvaraja mendakwa dia telah dibuli oleh orang atasannya dan dianiaya secara perkauman oleh rakan sepasukannya.

Dia juga mendakwa bahawa beberapa salah laku beberapa pegawai ditutup, penilaian prestasinya tidak adil dan dia dipulaukan di tempat kerja.

Tidak lama selepas itu, SPF berkata SGT Uvaraja telah membuat dakwaan pada 2015, sambil menambah bahawa ia telah menjalankan siasatan dan mendapatinya tidak berasas.

Mengenai aduan yang dibuatnya terhadap pegawai atasan dan rakan sepasukan selama ini, SPF berkata ia telah disiasat dan ditangani. Tetapi berikutan kematian SGT Uvaraja, Encik Shanmugam meminta SPF menjalankan satu lagi siasatan dan bagi Jabatan Peguam Negara (AGC) menyemak penemuan itu.

TIADA TINDAKAN LANJUT DIPERLUKAN: AGC

Encik Shanmugam pada Selasa memberitahu Dewan bahawa AGC telah meneliti penemuan siasatan terbaru SPF dan menentukan bahawa "tiada tindakan lanjut diperlukan".

Sebagai sebahagian daripada siasatan itu, saksi - termasuk pegawai sekarang dan bekas pegawai telah ditemu bual, manakala dokumentasi dan rekod lalu juga diteliti.

Siasatan mendapati beberapa dakwaan SGT Uvaraja adalah benar. Beberapa pegawai yang terlibat telah dikenakan tindakan disiplin atau hukuman pada masa itu.

Tetapi dakwaan lain adalah palsu, kata Encik Shanmugam.

Menurutnya, beliau "lebih suka untuk tidak memberikan butiran" mengenai penemuan siasatan sebagai menghormati SGT Uvaraja dan atas pertimbangan keluarganya. Bagaimanapun, dakwaan mendiang perlu ditangani untuk kepentingan awam.

Keluarga SGT Uvaraja telah diberitahu secara terperinci kandungan kenyataan menteri itu, dan mereka "tahu dan faham mengapa kami perlu menyatakan fakta", kata Encik Shanmugam.

“Siasatan penuh adalah penting. Jika ada sebarang salah laku, ia mesti ditangani dan pegawai yang ingkar mesti dikenakan tindakan. Jika kita tidak berbuat demikian, lama kelamaan orang ramai akan hilang kepercayaan kepada polis,” katanya lagi.

“Namun, jika dakwaan itu tidak berasas, fakta mesti dinyatakan dan kita mesti mempertahankan polis secara terbuka, teguh.

“Jika ini tidak dilakukan, dan kenyataan tidak benar dibiarkan berleluasa, semangat dalam SPF akan turun, dan kepercayaan orang ramai akan terhakis. Kami telah melihat ini, dan banyak perkara lain, berlaku di Amerika Syarikat, UK dan negara lain.”

BAHASA BERUNSURKAN PERKAUMAN

Encik Shanmugam kemudian menjelaskan secara terperinci dakwaan khusus yang dikenakan oleh SGT Uvaraja dalam catatan Facebooknya.

Pegawai itu berkata dia dilayan dengan buruk dan dibuli oleh pihak atasan dan rakan sekerja. Ini termasuk penggunaan bahasa perkauman yang tidak sesuai terhadapnya.

Beliau membuat aduan mengenai perkara itu pada 2015 dan siasatan dalaman yang dijalankan ketika itu mendapati pegawai terbabit bercakap sesama mereka sendiri. Kenyataan itu tidak ditujukan secara khusus atau ditujukan kepada SGT Uvaraja, kata Encik Shanmugam.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kenyataan itu "tidak boleh diterima sama sekali".

"Tidak kira sama ada ia diarahkan kepada Uvaraja atau mereka tidak tujukan kepada Uvaraja. Mereka telah dan tidak boleh diterima, sama sekali,” tambah Encik Shanmugam.

Pihak atasan Uvaraja telah menjelaskan kepada pasukan mereka bahawa bahasa sedemikian tidak boleh digunakan walaupun sebagai jenaka. Pegawai yang membuat kenyataan itu memohon maaf kepada Uvaraja serta-merta di hadapan seluruh pasukan.

“Jika dia tidak meminta maaf, dia akan diminta berbuat demikian. Tindakandisiplin juga akan diambil terhadapnya.”

Pihak atasan SGT Uvaraja "terus memantau keadaan" untuk mengelakkannya daripada berulang lagi, kata Encik Shanmugam.

SGT Uvaraja telah diberitahu mengenai keputusan itu dan menolak cadangan timbalan komandernya supaya dia membuat aduan rasmi.

Encik Shanmugam memberitahu Dewan: “Sejak kejadian itu, polis menjalankan semakan semula dasar mereka, dan terdapat rangka kerja pendekatan untuk kes sedemikian

“Kes yang melibatkan penghinaan kaum atau perkauman santai akan disiasat sebagai kemungkinan satu salah laku, sebagai pelanggaran disiplin. Ini bagi memastikan ada rekod kejadian sedemikian dan tindakan disiplin diambil dan tingkah laku pegawai itu akan dipantau dengan rapi."

Polis "juga akan terus mendampingi pegawai, membentuk budaya, dan melibatkan mereka dalam perbincangan terus terang" mengenai isu-isu seperti penghinaan kaum atau perkauman santai melalui platform seperti seminar etika tahunan, kata Encik Shanmugam.

KOYAKKAN BORANG CUTI, BAHASA KESAT

SGT Uvaraja juga mendakwa bahawa pada 2019, pegawai atasannya telah mengoyakkan borang cutinya dan memuat naik video tindakan itu dalam sebuah sembang kumpulan.

SGT Uvaraja telah memohon cuti mengikut budi bicara yang tidak memerlukan penyerahan borang sedemikian. Dia menghantar permohonan itu pada saat-saat akhir apabila cuti pegawai lain telah pun diluluskan, tetapi pegawai atasannya meluluskan permohonannya, kata Encik Shanmugam.

Ini bukan kali pertama dia berbuat demikian. Pada kesempatan sebelumnya, rakan sepasukannya yang sedang bercuti terpaksa dipanggil balik kerana kekurangan tenaga kerja, tambah Encik Shanmugam.

Dalam kes itu, pegawai atasan SGT Uvaraja bercakap dengannya tentang bagaimana tindakannya menyusahkan pasukan. SGT Uvaraja tidak berganjak daripada permintaan untuk mendapatkan cuti dan meminta pihak atasan menamatkan perbualan mereka dalam sembang peribadi mereka.

Pegawai itu kemudiannya mengoyakkan borang cuti berkenaan dan memuat naik rakaman tersebut pada kumpulan sembang pasukan. Menurutnya, beliau berbuat demikian kerana borang itu tidak diperlukan dan ia mengandungi maklumat peribadi.

Encik Shanmugam berkata: “Tindakan pihak atasan itu tidak profesional. Dia tidak sepatutnya melakukan itu, walaupun seseorang dapat memahami rasa tidak senangnya itu.

“Uvaraja membangkitkan perkara ini ke pihak atasan, dan penyelianya kemudian ditegur. Uvaraja telah ditugaskan semula buat sementara waktu ke unit lain supaya kedua-dua pegawai mempunyai masa untuk bertenang.”

Encik Shanmugam menarik perhatian dakwaan lanjut SGT Uvaraja bahawa pihak atasan lain menggunakan bahasa kesat terhadapnya.

Tuduhan itu tidak disokong bukti siasatan. Malah, SGT Uvaraja sering menghantar mesej secara langsung atau menelefon pegawai atasannya yang membalasnya secara profesional, tambah Encik Shanmugam.

"SEMBUNYIKAN" PERBUATAN PEGAWAI MEROKOK, VAPE

Mengenai aduan SGT Uvaraja bahawa salah laku pegawai lain 'disembunyikan', Encik Shanmugam berkata ini adalah tidak benar.

SGT Uvaraja telah membuat aduan pada tahun 2021 tentang rakan pegawainya yang menghisap vape di dalam kawasan polis. Dia mendakwa bahawa tiada tindakan diambil perbuatan itu 'ditutup'.

Encik Shanmugam berkata komander SGT Uvaraja telah bertindak atas maklumat itu dan mengarahkan seorang atasan bebas daripada unit lain untuk menjalankan pemeriksaan mengejut. Semua loker dan barangan peribadi di dalam kawasan polis telah diperiksa, walaupun aduan hanya ditujukan kepada beberapa pegawai tertentu.

Para pegawai telah ditemu bual dan aduan itu tidak dibuat, kata Encik Shanmugam.

Identiti SGT Uvaraja sebagai pemberi maklumat tidak didedahkan kepada pegawai atasan bebas atau pegawai terbabit.

Secara berasingan, pada Januari 2023, SGT Uvaraja melaporkan pegawai lain kerana merokok di dalam kawasan polis yang berbeza. Apabila bukti perkara itu ditemui semasa siasatan, pegawai terbabit dirujuk ke Pejabat Hal Ehwal Dalamam polis dan dikenakan tindakan disiplin, kata Encik Shanmugam.

KERJA “DISEKAT SECARA TIDAK ADIL"

Encik Shanmugam kemudiannya menangani dakwaan SGT Uvaraja bahawa kerjayanya disekat dan diberi penilaian prestasi yang tidak adil.

"Ini adalah tidak benar," kata Encik Shanmugam.

“Uvaraja diberi peluang untuk memohon jawatan, seperti rakan-rakannya di Bahagian Polis Darat. Apabila Uvaraja meminta untuk dipindahkan, orang atasannya telah memudahkan dan memenuhi permintaannya, di mana mungkin.”

Atas permintaan SGT Uvaraja, dia dipindahkan ke enam unit kerja berbeza dalam tempoh sembilan tahun - lebih banyak daripada kebiasaan, tambah Encik Shanmugam.

Dua daripadanya adalah berkaitan dengan tindakannya sebagai pemberi maklumat mengenai dakwaan kesalahan merokok kerana dia berasa tidak selesa bekerja dengan rakan sekerja yang dilaporkannya.

Mengenai penilaian prestasinya, Encik Shanmugam berkata siasatan mendapati gred prestasinya "adalah penilaian yang adil terhadap sumbangan kerjanya". Dia juga dianugerahkan Pingat Daya Tahan COVID-19.

DISINGKIRKAN

SGT Uvaraja juga mendakwa dia dilayan seperti orang buangan oleh pasukannya. Menurunya dia telah menjemput pasukannya ke majlis perkahwinannya tetapi tiada siapa yang datang.

Encik Shanmugam berkata ini adalah tidak benar. SGT Uvaraja hanya menjemput pegawai atasannya, yang menerima jemputan itu tetapi jatuh sakit pada hari itu dan tidak dapat hadir. Dia meminta maaf kepada SGT Uvaraja atas perkara ini.

SGT Uvaraja juga memberitahu pegawai kanannya tentang perkahwinan itu tetapi tidak membuat susulan dengan kad jemputan. Namun begitu, pegawai itu mengucapkan tahniah di hadapan rakan sepasukannya.

PEGAWAI BERDEPAN CABARAN PERIBADI, DIBERI SOKONGAN

Encik Shanmugam kemudiannya memberikan perincian sokongan profesional yang diterima SGT Uvaraja daripada SPF di tengah-tengah masalah dengan keluarga dan kesihatannya.

Sarjan itu yang menghadapi tekanan psikologi, telah menghadiri pelbagai perundingan psikologi untuk insomnia kronik sejak 2017.

Dia menunjukkan gejala kegelisahan dan kemurungan, dan juga kelihatan mempunyai "hubungan tegang" dengan isteri dan keluarganya, kata Encik Shanmugam.

Pada April 2023, isteri SGT Uvaraja menghubungi polis selepas satu pertengkaran rumah tangga. Pada Julai 2023 - bulan dia meninggal dunia - abang, ibu dan kakak iparnya juga membuat laporan polis berhubung pertengkaran yang melibatkan sarjan itu.

Terdapat tiga siasatan jenayah dan disiplin terhadap SGT Uvaraja pada masa kematiannya. Pertama, dia di bawah siasatan jenayah atas kesalahan termasuk di bawah Akta Perlindungan daripada Gangguan.

Kedua, dia di bawah siasatan disiplin kerana meninggalkan rumahnya beberapa kali pada Julai 2023 ketika cuti sakit. Ini adalah asatu kesalahan disiplin dalam SPF.

Ketiga, dia diletakkan di bawah satu lagi siasatan disiplin pada April 2023 kerana meninggalkan kerja yang belum selesai tanpa pengawasan dan enggan menyelesaikan tugas sehingga dia diberitahu kali ketiga untuk berbuat demikian.

Encik Shanmugam berkata polis telah memberikan sokongan profesional kepada SGT Uvaraja dalam bentuk masa rehat yang banyak, kaunseling psikologi dan bimbingan.

Dari 2014 hingga kematiannya pada 2023, dia mengambil purata 120 hari cuti setiap tahun - "lebih banyak" daripada yang biasanya diperoleh seorang pegawai, kata beliau.

Ini termasuk lebih 100 hari cuti tanpa gaji pada 2015 dan 2022, dan lebih daripada 200 hari pada 2016. Dia diberi cuti selepas menghabiskan cuti perubatan dan tahunannya.

Seorang kaunselor para dirujukkan kepadanya sebanyak dua kali - pada Januari 2023 selepas dia melaporkan mengalami tekanan kerja, dan kemudian pada Februari 2023 apabila dia menunjukkan "tanda-tanda tidak stabil" selepas dipindahkan ke unit baharu atas permintaannya. Seorang ahli psikologi polis turut merawatnya pada kejadian kedua.

Encik Shanmugam berkata pihak atasan SGT Uvaraja telah menilai prestasinya berada di bawah tahap purata. Mereka membimbingnya melalui penglibatan bersemuka, menyemak rancangan untuknya dan menetapkan sasaran yang boleh dicapai.

Sebagai contoh, semasa dia berada di unit polis masyarakat dari 2018 hingga 2021, "pelbagai templat dan sumber kerja" diberikan kepada sarjan itu untuk membantunya, kata beliau.

Encik Shanmugam menambah bahawa rakan sekerja SGT Uvaraja sedih kerana dia mengambil nyawanya sendiri, tetapi juga kecewa dengan dakwaan palsunya terhadap pasukan polis.

“Seorang pegawai yang telah bekerja dengan Uvaraja berkongsi bahawa dia telah menggalakkan mendiang untuk memulakan kehidupan baharu apabila dia diberi jawatan baharu, walaupun dia tidak berpuas hati pada masa lalu. Tetapi dia kecewa apabila mendiang kerap tidak hadir bekerja,” katanya.

“Seorang pegawai lain mengimbas kembali bagaimana dia telah berusaha untuk mengatur pertemuan sembang dan makan dengan Uvaraja dan menghantar ucapan selamat pada hari lahirnya untuk memberinya motivasi.”

Beberapa rakan sepasukan SGT Uvaraja cuba membantunya, termasuk menguruskan syif ketika dia tidak hadir, tambah Encik Shanmugam.

Terdapat "rasa mendalam" di kalangan pegawai bahawa banyak yang dilakukan untuk SGT Uvaraja oleh mereka secara individu dan oleh SPF sebagai sebuah organisasi.

“Walaupun begitu, dia nampaknya telah menimbulkan banyak isu kepada rakan sekerjanya dan SPF. Dan terdapat rasa amat sedih ia berlaku,” kata Encik Shanmugam.
Sumber : CNA/SU/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita