Kes pesalah dadah remaja bunuh diri tekankan perlunya dipertingkat kesedaran sistem S'pura 'beri peluang kedua': Faishal
Terdapat jarak lapan bulan antara masa seorang remaja dituduh mengedar dadah dengan insiden dia bunuh diri.
SINGAPURA: Terdapat jarak lapan bulan antara masa seorang remaja dituduh mengedar dadah dengan insiden dia bunuh diri.
Ini menimbulkan persoalan tentang apa yang berlaku di antara tempoh kedua-dua insiden itu, kata Menteri Negara bagi Kementerian Ehwal Dalam Negeri Faishal Ibrahim pada Selasa (2 Nov).
Kes Justin Lee yang ditahan pada 3 Februari dan meninggal dunia pada 16 September, juga menekankan perlunya menyampaikan kepada golongan muda rakyat Singapura bahawa sistem di negara ini memberi peluang kedua kepada pesalah dan membantu mereka menjalani pemulihan, tambah beliau.
Profesor Madya Faishal berkata demikian di Parlimen mengenai kes kematian Justin ketika menjawab pertanyaan daripada lima Anggota Parlimen (AP).
Kes Justin, yang berusia 17 tahun ketika itu, menjadi viral baru-baru ini apabila ibunya menulis surat kepada Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-undang K Shanmugam tentang bagaimana anaknya yang ditahan oleh Biro Narkotik Pusat (CNB) dan kemudian membunuh diri sendiri.
Beliau berkata siasatan secara "kasar" yang dilalui dan tekanan akibat kes itu menyebabkan anaknya melalui gangguan tekanan selepas trauma dan kemudian menyebabkan kematiannya.
Ini menggerakkan CNB untuk melancarkan sisatan tentang cara kes ditangani.
Dalam berkongsi rentetan kejadian itu, Profesor Madya Faishal menarik perhatian Justin ditahan pada 3 Februari dan didakwa di mahkamah pada 24 Jun. Dia kemudian membunuh diri pada 16 September, seminggu sebelum kesnya dijadualkan dibicarakan di mahkamah.
"Apa yang berlaku sepanjang lapan bulan itu - dia sudahpun didakwa dan kes sudahpun dijadualkan untuk dibicarakan. Apa lagi yang berlaku? Saya rasa ia sukar untuk kita tahu. Adakah ia disebabkan kes semakin hampir, dalam tujuh hari lagi?" tanya Profesor Madya Faishal.
"Remaja itu mempunyai masa depan yang jauh lebih cerah... Anda melakukan kesalahan tetapi itu bukan penamat. Sistem kami dibentuk untuk memberi peluang kedua, untuk membantu anda menjalani pemulihan. Dan ramai sudahpun berjaya. Kami harus menyampaikan perkara itu."
Menjawab pertanyaan para AP tentang protokol agensi penguatkuasaan undang-undang dalam menangani suspek muda dengan keperluan khas, Dr Faishal berkata terdapat semakan kerap untuk memastikan ia dikemas kini.
"Jika dimaklumkan kepada pegawai bahawa individu itu mempunyai keadaan perubatan atau kesihatan mental dan memerlukan tumpuan khas sebelum membawa masuk individu itu untuk membantu dalam siasatan, pegawai CNB akan menghubungi ibu bapa atau pihak sekolah dahulu, sekiranya ia boleh dilaksanakan, kata beliau.
"Dalam keadaan sedemikian, mereka akan mengerahkan 'Orang Dewasa Wajar' untuk hadir sewaktu disoal siasat."
Beliau menambah bahawa pegawai CNB juga akan menggunakan kebijaksanaannya tentang sama ada individu itu mampu ditemu bual.
Skim Orang Dewasa yang Wajar bagi Suspek-Suspek Muda (AAYS) disediakan bagi suspek bawah 16 tahun dan individu rentan secara mental di mana seorang individu dewasa tidak berpihak dan terlatih boleh menemaninya sewaktu disoal.
Mengulas perkara itu, AP GRC Aljunied Sylvia Lim menarik perhatian usia yang ditetapkan bagi skim itu tidak sejajar dengan pindaan yang dibuat ke atas Akta Kanak-kanak dan Orang Muda (CYPA) yang diluluskan di Parlimen pada 2019, yang memberi perlindungan di sisi undang-undang dilanjutkan kepada mereka berusia bawah 18 tahun berbanding 16 tahun sebelum ini.
"Maksud saya kita boleh memahami bahawa ia perlu diperkenalkan secara beransur-ansur dan sebagainya tetapi sekurang-kurangnya, tidakkah kementerian bersetuju bahawa kita mesti memberi komitmen untuk membuat pindaan ke atas semua perlindungan ini, tidak kira dari segi undang-undang atau prosedur kepada usia 18 tahun, sejajar dengan pindaan yang dilakukan ke atas CYPA tentang takrifan mengenai seorang kanak-kanak?" tanya Cik Lim.
Profesor Madya Faishal menekankan bahawa usia yang ditetapkan bagi Skim Orang Dewasa Wajar akan disemak semula dan hasil semakan itu akan diumumkan dalam bulan-bulan mendatang.
MEMUDAHKAN PEMULIHAN
Beliau juga menambah bahawa daripada 9,485 individu bawah 18 tahun yang ditahan antara 2016 dengan 2020, hanya 16 peratus sahaja yang didakwa.
Beliau menekankan bahawa kes Justin merupakan "sebilangan kecil" daripada 16 peratus itu kerana dia secara terbuka mengedar dadah.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab permintaan AP Jurong Tan Wu Meng bagi statistik mengenai individu bawah 18 tahun yang ditahan yang mempunyai sejarah keadaan mental.
"Pendekatan umum apabila menangani suspek-suspek muda adalah, di mana boleh, mengelak daripada menganggap tindakan mereka sebagai jenayah, memberi mereka peluang kedua dan membantu mereka menjalani pemulihan," jelas Prof Madya Faishal.
Oleh itu, pesalah muda yang layak akan dimasukkan ke program-program pemulihan yang membolehkan mereka mengambil tanggungjawab atas tindakan mereka dan mengelak gangguan dalam bidang pembangunan lain seperti pendidikan, tambahnya.
"Justin sepatutnya dimasukkan ke dalam proses sedemikian, selepas dijatuhi hukuman, jika sabit kesalahan."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.