Kes pertama kelompok KTV masuk S'pura menerusi ikatan keluarga
Pemegang pas lawatan jangka pendek warga Vietnam yang merupakan kes pertama COVID-19 dalam kelompok KTV memasuki Singapura pada Februari lalu melalui laluan ikatan keluarga, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada Jumaat (16 Jul).
(Gambar: Mediacorp)
SINGAPURA: Pemegang pas lawatan jangka pendek warga Vietnam yang merupakan kes pertama COVID-19 dalam kelompok KTV memasuki Singapura pada Februari lalu melalui laluan ikatan keluarga, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada Jumaat (16 Jul).
"Menurut pemeriksaan oleh ICA, warga Vietnam itu memasuki Singapura pada Februari 2021 melalui laluan ikatan keluarga, yang ditanggung oleh seorang rakyat Singapura yang merupakan teman lelakinya," menurut ICA dan MOM dalam satu kenyataan bersama.
Laluan ikatan keluarga memudahkan kemasukan warga asing yang mempunyai "pertalian rapat" di Singapura, menurut kenyataan itu.
Wanita itu tergolong dalam kalangan pemegang pas lawatan jangka pendek yang terkait dengan kelompok itu dan dilanjutkan tempoh tarikh luput pas mereka, menurut pihak berkuasa pada Jumaat.
Kes indeks atau kes COVID-19 pertama yang dilaporkan bagi kelompok KTV itu dikesan apabila wanita itu mengunjungi sebuah klinik GP pada 11 Julai setelah mengalami simptom jangkitan pernafasan akut.
Beliau dibawa ke hospital setelah diuji positif. Pihak berkuasa kemudian menjalankan siasatan epidemiologi dan pengesanan kontak dan mendapati bahawa wanita itu mengunjungi banyak KTV, dedah pengarah khidmat perubatan MOH Kenneth Mak.
Beberapa kes COVID-19 dalam kelompok itu tinggal serumah dengannya, kata Profesor Madya Mak.
8 PEMEGANG PAS JANGKA PENDEK LANJUTKAN TEMPOH LAWATAN
Pihak berkuasa turut memberikan perincian bagi sebilangan kes daripada 54 kes COVID-19 yang berhubung kait dengan kelompok itu setakat Rabu. 30 daripada 54 kes itu bukan rakyat Singapura.
Dalam kalangan 30 kes bukan rakyat Singapura, dua adalah penduduk tetap, 14 adalah pemegang pas kerja, seorang lagi adalah pemegang pas pelajar dan lima adalah pemegang pas lawatan jangka panjang. Baki lapan termasuk wanita Vietnam itu, merupakan pemegang pas lawatan jangka pendek.
Dalam kalangan 30 kes bukan rakyat Singapura, 25 memasuki Singapura sebelum 2021, menurut kenyataan bersama itu.
Dua daripada pemegang pas lawatan jangka pendek itu memasuki Singapura sebelum langkah-langkah kawalan sempadan dilaksanakan pada 21 Mac 2020.
Lagi dua memasuki Singapura pada lewat 2020 menerusi pas perjalanan udara yang membolehkan warga asing, termasuk pelawat rasmi dan bagi tujuan perniagaan, dari negara-negara dan wilayah tertentu dibenarkan memasuki Singapura. Ia ditawarkan kepada para pelawat dari Vietnam ke Singapura antara 8 Oktober 2020 dengan 13 Februari 2021.
Baki empat pemegang pas lawatan jangka pendek termasuk wanita Vietnam yang merupakan kes indeks, yang memasuki Singapura tahun ini menerusi laluan ikatan keluarga.
Kesemua pemegang pas lawatan jangka pendek itu melanjutkan tempoh pas lawatan mereka.
"Semasa pandemik ini, ICA menyemak permohonan untuk melanjutkan tempoh pas lawatan jangka pendek berdasarkan kes dengan mengambil kira alasan-alasan seperti sekatan perjalanan antarabangsa dan ketersediaan penerbangan dan sama ada pemohon mempunyai ikatan keluarga di Singapura," menurut pihak berkuasa.
"Misalnya, warga Vietnam hanya boleh pulang ke Vietnam melalui penerbangan yang diatur oleh pihak berkuasa Vietnam."
Mengikutundang-undang, para pelawat jangka pendek tidak dibenarkan melakukan sebarang pekerjaan, sama ada dibayar atau tidak, di Singapura.
Mereka yang didapati melanggar undang-undang itu boleh didakwa atau dibatalkan pas lawatan mereka, dan dihantar pulang dan dilarang memasuki semula Singapura, menurut MOM dan ICA.
Kenyataan itu menambah bahawa semua pemegang pas yang diluluskan MOM itu memasuki Singapura sebelum langkah kawalan sempadan berkuat kuasa pada 21 Mac tahun lalu. Ini setelah kelulusan kemasukan diperkenalkan untuk menangani risiko kes import dan penularan lanjut COVID-19.
Siasatan polis terhadap kemungkinan berlaku kegiatan haram di bawah kelompok KTV itu masih dijalankan. Kelompok itu bertambah kepada 88 kes pada Khamis.
"Jika siasatan itu menunjukkan terdapat sebarang kesalahan membabitkan warga asing itu, ICA dan MOM akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka, termasuk membatalkan pas kerja, pas pelajar atau pas lawatan dan menghantar mereka pulang," menurut kenyataan itu lagi.
Para majikan yang menggajikan pemegang pas secara haram atau membabitkan mereka dalam pekerjaan haram boleh didenda S$5,000 hingga S$30,000, dihukum penjara sehingga 12 tahun, atau kedua-duanya sekali. Kelayakan pas kerja mereka juga boleh digantung.
Polis juga sedang menyiasat KTV yang dikunjungi oleh kes-kes COVID-19. Ini akan menentukan jika sebarang kesalahan dilakukan dan jika terdapat sebarang pelanggaran langkah pengurusan selamat.
"Polis dan pihak berkuasa yang relevan juga akan mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap pelanggaran langkah pengurusan selamat, serta kegiatan maksiat dan kegiatan haram di KTV lain," tambah kenyataan tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.