Skip to main content

Singapura

Kes pergaduhan maut di Verdun Road: 1 lelaki didakwa membunuh, 5 merusuh

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 23 Sep 2024 05:23PM Dikemas Kini : 23 Sep 2024 11:50PM
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 22 tahun dikenakan tuduhan membunuh menyusuli satu pergaduhan di kawasan Farrer Park pada awal pagi Ahad (22 Sep).

Seorang lelaki 25 tahun maut dalam kejadian itu.

Muhammad Sajid Saleem dikenakan tuduhan membunuh manakala lima lagi didakwa merusuh dalam kejadian yang sama.

Sajid dituduh menyebabkan kematian Encik Dhinessh Vasie antara 4.00 pagi dan 4.08 pagi pada 22 Sep berhampiran Verdun Road, di kawasan Farrer Park.

Ketika pertuduhan pembunuhan dibacakan dalam bahasa Tamil, seorang wanita di barisan hadapan galeri awam meraung dan rebah ke lantai.

Keluarganya kemudian membantu wanita itu sementara pengawal keselamatan mengingatkannya tentang kesopanan di mahkamah.

Keenam-enam suspek didakwa selepas pergaduhan tercetus di Verdun Road, dekat Kitchener Road, pada kira-kira jam 4.00 pagi pada 22 Sep.

Lima yang didakwa merusuh ialah: Satish Jason Prabahas, 23 tahun, Kirrthik Roshan Prem Ananth, 22 tahun, Pradave Shashi Kumar, 20 tahun, Nur Diyana Harun Al Rasheed, 24 tahun, dan Kasthuri Kallidas Marimuthu, 24 tahun.

Menurut kertas pertuduhan, sekurang-kurangnya seorang daripada mereka didakwa menggunakan senjata yang boleh membawa maut semasa rusuhan itu, dan tiga orang - Encik Dhinessh, Encik Naviinjaay C Nathan dan Encik K Vicknesh cedera akibatnya.

Pendakwa raya meminta kesemua enam direman untuk siasatan lanjut, melakukan serbuan, merampas barang bukti dan melawat tempat kejadian.

Kesalahan membunuh membawa hukuman mati, manakala merusuh dengan senjata yang boleh membawa maut membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan rotan.
Sumber : CNA/SU/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita