Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kes penipuan pancing data lonjak; pelaku menyamar sebagai PUB, SP Group & Singpass

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Selasa (7 Jun) mengulangi gesaannya agar anggota masyarakat terus berwaspada di tengah-tengah lonjakan kes penipuan pancing data yang melibatkan emel dan kiriman SMS, kononnya daripada agensi-agensi pemerintah serta perkhidmatan awam.

Sekurang-kurangnya lima mangsa sudah terpedaya dalam penipuan itu sejak awal bulan Jun, menurut polis sambil menambah jumlah wang yang sudah kehilangan adalah lebih S$9,700.

Polis memberi amaran mangsa dalam kes penipuan sedemikian akan menerima emel atau SMS daripada penipu yang menyamar sebagai agensi-agensi pemerintah dan perkhidmatan awam, termasuk agensi air negara PUB dan SP Group, atau perkhidmatan pemerintah seperti Singpass.

Emel dan SMS ini akan mengumpan mangsa untuk menekan satu pautan. 

Mangsa kemudian akan diberitahu bahawa mereka sudah membayar bil bulanan mereka dua kali dan harus meminta bayaran kembali ataupun Singpass mereka sudah disekat atau dibekukan atas sebab keselamatan tetapi tidak dapat diaktifkan kembali. 

Selepas mangsa menekan pautan itu, mereka akan dibawa ke laman web palsu yang menyamar sebagai agensi-agensi pemerintah dan perkhidmatan awam. 

Mereka kemudian diarahkan untuk memberikan butiran peribadi, butiran log masuk Singpass serta butiran kad kredit atau debit.

Mangsa hanya akan sedar mereka sudah ditipu apabila mereka mendapati urus niaga tanpa kebenaran dibuat menggunakan kad kredit atau debit mereka.

Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menekan pautan yang tidak disahkan dalam emel dan SMS daripada pengirim yang tidak diketahui.

Orang ramai harus sentiasa semak kesahihan maklumat daripada sumber rasmi.  

Individu dinasihatkan supaya jangan sesekali memberikan butiran peribadi, butiran Singpass atau butiran kad kredit mahupun debit mereka kepada sesiapa. 

Caj kad yang mencurigakan hendaklah dilaporkan kepada bank dan kad tersebut harus dibatalkan serta-merta.

Mereka yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah sedemikian boleh menghubungi talian penting polis di 1800-255-0000 atau menyerahkannya secara online.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan