Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kes penipuan mata wang kripto lonjak 5 kali ganda kepada 631 sejak 2019: Polis

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Laporan polis yang dibuat berhubung penipuan membabitkan mata wang kripto melonjak lebih lima kali ganda sejak 2019 kepada 631 tahun lepas dengan kebanyakannya dilakukan penjenayah di luar negara.

Dalam tempoh yang sama, jumlah kerugian yang dilaporkan pekerja hijrahan di Singapura terhadap beberapa jenis penipuan juga melonjak daripada S$4.5 juta pada 2019 kepada S$24.9 juta pada 2021.

Dalam jawapan bertulis kepada soalan parlimen, Menteri Undang-undang merangkap Ehwal Dalam Negeri, K Shanmugam berkata 125 laporan penipuan membabitkan mata wang kripto dibuat pada 2019. JIa meningkat kepada 397 pada 2020 dan 631 tahun lepas.

"Sebahagian besar penipuan mata wang kripto itu dilakukan penipu di luar Singapura. Dengan itu, apa yang boleh dilakukan agensi penguatkuasaan undang-undang di Singapura adalah terbatas," tambah beliau.

Sejauh mana pihak berkuasa dapat menyelesaikan kes juga bergantung kepada tahap kerjasama agensi penguatkuasaan undang-undang di luar negara, serta keupayaan mereka untuk mengesan pelaku, kata Encik Shanmugam.

Beliau menjawab soalan Anggota Parlimen Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Radin Mas Encik Melvin Yong, yang ingin tahu jumlah penipuan melibatkan mata wang kripto yang dilaporkan sepanjang tiga tahun lalu dan jika trend itu meningkat.

Menjawab, Encik Shanmugan berkata polis sudah menubuhkan sebuah pasukan bertindak mata wang kripto pada 2018 untuk "memantau landskap mata wang kripto, membangun dan membaiki prosedur operasi dalam siasatan dan rampasan mata wang kripto, serta mewujudkan hubungan kerja dengan agensi penguatkuasaan undang-undang luar negara, profesional dalam industri, dan pakar akademik".

Ia juga bekerja rapat dengan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) yang mengawal selia entiti berurusan atau memudahkan pertukaran mata wang kripto di Singapura.

Encik Shanmugan bagaimanapun menarik perhatian bahawa perlindungan terbaik terhadap jenayah sedemikian adalah, "orang awam yang bijak menilai'. Pihak berkuasa tambahnya sudah meningkatkan usaha pendidikan awam mengenai penipuan berkaitan mata wang kripto.

"Sejak 2017, MAS sudah berulang kali memberi amaran bahawa mata wang kripto bukan pelaburan yang sesuai disebabkan harga yang tidak menentu dan sifat spekulatifnya," kata beliau.

PEKERJA HIJRAHAN RUGI JUTAAN DOLAR

Dalam pada itu, AP GRC West Coast,
Rachel Ong bertanya Perdana Menteri mengenai jumlah kerugian yang dialami pekerja hijrahan akibat menjadi mangsa penipuan sepanjang tiga tahun yang lalu.

Beliau juga ingin tahu jika pekerja hijrahan dimasukkan dalam rangka kerja MAS bagi perkongsian kerugian sama rata akibat penipuan dan sama ada golongan pekerja itu diberikan pertimbangan khas berhubung pampasan memandangkan mereka dalam golongan terdedah kepada penipu yang mendakwa diri mereka dari pihak berkuasa pemerintah.

Dalam jawapannya bagi pihak Perdana Menteri, Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam berkata jumlah kerugian yang dilaporkan pekerja hijrahan akibat skim penipuan adalah sebanyak S$4.5 juta pada 2019, S$10.4 juta pada 2020, dan S$24.9 juta pada 2021.

Dua jenis penipuan yang melibatkan pekerja asing ialah pancingan data dan penipuan pekerjaan, tambahnya.

Encik Tharman berkata Pemerintah mengambil tindakan "dari pelbagai sudut" untuk mematahkan operasi penipuan, mengukuhkan penguatkuasaan terhadap penipu dan meningkatkan kesedaran awam.

Pihak berkuasa juga meningkatkan pendidikan awam dan usaha mendampingi pekerja hijrahan.

Encik Tharman berkata Kementerian Tenaga Manusia (MOM) sentiasa memberikan nasihat dan sumber antipenipuan kepada pekerja hijrahan dalam bahasa ibunda mereka.

Berhubung pertimbangan khas kepada pekerja hijrahan dalam soal pampasan, Encik Tharman berkata MAS sedang bekerjasama dengan agensi pemerintah yang lain untuk "melakarkan rangka kerja bagi tanggungjawab bersama dalam kalangan pihak berkaitan apabila penipuan berlaku".
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan