Skip to main content

Singapura

Kes penipuan jongkong emas berulang kembali; warga China lesapkan S$120,000

Kes penipuan jongkong emas berlaku semula di negara ini minggu lalu selepas tidak lagi kedengaran sekurang-kurangnya lima tahun.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 20 Dec 2019 08:15PM Dikemas Kini : 20 Dec 2019 08:56PM

SINGAPURA: Kes penipuan jongkong emas berlaku semula di negara ini minggu lalu selepas tidak lagi kedengaran sekurang-kurangnya lima tahun.

Dua warga China menipu seorang lelaki berusia 83 tahun sebanyak S$120,000 dengan menjual beberapa barang emas palsu.

Salah seorang penipu itu memberitahu mangsanya bahawa dia terjumpa sebuah pasu hiasan semasa melakukan kerja menggali di sebuah tapak binaan.

Di dalam pasu itu berisi jongkong-jongkong emas, patung Buddha dan beberapa mata wang lama.

Terdapat juga surat wasiat yang kononnya milik seorang lelaki kaya untuk waris-warisnya.

Kedua-dua penipu berkenaan kemudian berjumpa mangsa di kedainya selepas mereka mendakwa bahawa warga tua itu mempunyai nama keluarga yang sama dengan lelaki kaya tersebut.

Mangsa diberitahu bahawa mereka mendapat nombor telefonnya dari seorang rakan yang merupakan pelanggan lelaki berkenaan.

Si penipu itu juga berkata mereka perlu meninggalkan Singapura tetapi tidak dapat melepasi kastam dengan jongkong-jongkong emas tersebut.

Mereka kemudian menawarkan menjualnya kepada lelaki tersebut pada harga di bawah nilai pasaran.

Mereka dijemput ke rumah mangsa, yang mana barangan itu semua ditimbang beratnya iaitu sekitar 20 kilogram.

Tanpa mengesahkan ketulenan barangan tersebut, mangsa membelinya pada harga S$120,000.

Mangsa cuba menghubungi dua lelaki China itu keesokan harinya tetapi gagal.

Beliau juga mendapati barangan dan jongkong emas itu palsu selepas mendapatkan kepastian di sebuah kedai pajak gadai.

 Polis pada Jumaat (20 Dis) menasihati orang awam supaya berhati-hati dengan penipuan melibatkan penjualan jongkong emas palsu.

Bagi mengelak daripada terjerat dalam kes penipuan sedemikian, polis menyatakan anggota masyarakat seharusnya membeli hanya daripada peruncit-peruncit yang mantap dan dibenarkan. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita