Kes penipuan emel samaran perniagaan meningkat, hampir S$40 juta lesap tahun ini
Kes penipuan penyamaraan e-mel perniagaan kian meningkat dan polis memberi amaran berjaga-jaga. Pada sembilan bulan pertama tahun ini, hampir S$40 juta ditipu, S$4 juta lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
SINGAPURA: Kes penipuan penyamaraan e-mel perniagaan kian meningkat dan polis memberi amaran berjaga-jaga.
Pada sembilan bulan pertama tahun ini, hampir S$40 juta ditipu, S$4 juta lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Jumlah terbesar yang ditipu dalam satu kes adalah sebanyak S$5.5 juta.
DITIPU 3 KALI SEPANJANG 3 MINGGU
Sepanjang tiga minggu, 'Bob' bukan nama sebenar, menjadi sasaran penipu sebanyak tiga kali. Akibatnya, beliau ditipu S$15,000.
"Kami tidak tahu yang kami selama ini berhubung dengan seorang penipu. Rasa sangat teruk apabila dapat tahu ditipu. Saya tidak pernah mengalaminya selama 20-30 tahun bekerja dalam industri perkapalan," kongsi 'Bob'.
Menurut polis, syarikat-syarikat tempatan kerugian lebih S$44 juta bagi penipuan penyamaraan emel tahun lalu.
Dalam sembilan bulan pertama, mereka ditipu sehingga S$40 juta.
Wang yang dipindahkan disalurkan ke negara-negara termasuk Hong Kong, China, UK dan Amerika Syarikat.
CARA PENIAGA DITIPU
Pertama, si penipu menceroboh akaun emel syarikat untuk menyekat dan memantau emel-emel syarikat itu.
Mereka kemudian mereka alamat emel palsu yang seakan-akan dengan emel pembekal.
Akhirnya, mereka menyamar sebagai pembekal dan meminta mangsa membuat pembayaran ke akaun bank yang berbeza.
Seorang lagi peniaga yang berkecimpung dalam industri pembuatan acuan selama lebih sedekad menjadi sasaran pada Ogos lalu.
Dia mahu memindahkan lebih S$20,000 kepada pembekalnya di China apabila si penipu cuba untuk 'menyerang'.
Mujur dia membuat pemeriksaan dan wangnya tidak lesap.
Menurut pakar, ia memang sukar untuk menjejaki si penipu.
Maka itu, polis menasihati para peniaga supaya berwaspada.
Polis juga menggesa para mangsa supaya memberi amaran kepada pihak bank secara serta merta dan melaporkan kepada pihak berkuasa untuk bantuan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.