Skip to main content

Singapura

Kes penipuan di SG turun 14.4%, kerugian susut kepada S$410.6 juta pada separuh pertama 2026

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 26 Aug 2026 05:48PM Dikemas Kini : 14 Sep 2026 04:23PM
  • Pasukan Polis Singapura melaporkan penurunan 14.4 peratus kes penipuan dan 17.9 peratus kerugian pada separuh pertama 2026, namun penipuan kekal jenayah paling banyak berlaku.
  • Penipuan e-dagang meningkat, terutama melibatkan kad dagangan Pokemon, manakala penipuan pelaburan dan penyamaran pegawai pemerintah masih menyebabkan kerugian besar.
  • Trend baharu dikesan termasuk penipuan melalui penyamaran entiti terkenal, pencerobohan emel perniagaan, dan pancingan data menggunakan mesej palsu.
  • Pusat Antipenipuan berjaya membekukan lebih S$97.7 juta dana penipuan dan mencegah kerugian lanjut, dengan kebanyakan mangsa memindahkan wang sendiri akibat kejuruteraan sosial.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Jumlah kes penipuan di Singapura terus berkurangan pada separuh pertama 2026, meneruskan trend penurunan yang bermula tahun lalu selepas meningkat selama beberapa tahun.

Sebanyak 16,821 kes penipuan dilaporkan antara Januari dengan Jun tahun ini, turun 14.4 peratus berbanding 19,644 kes dalam tempoh sama tahun lalu, menurut laporan pertengahan tahun mengenai penipuan dan jenayah siber yang dikeluarkan Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Rabu (26 Ogos).

Jumlah kerugian akibat penipuan turut turun 17.9 peratus kepada sekitar S$410.6 juta.

Daripada jumlah itu, sekitar S$65.5 juta atau 16 peratus melibatkan mata wang kripto, turun 43 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Meskipun keadaan bertambah baik, penipuan kekal sebagai jenis jenayah paling banyak berlaku di Singapura.

Ia membentuk 91.5 peratus daripada 18,391 kes penipuan dan jenayah siber yang dilaporkan pada separuh pertama tahun ini.

"Walaupun keadaan penipuan bertambah baik, jumlah kes dan kerugian yang tinggi kekal membimbangkan, dan menangani penipuan terus menjadi keutamaan negara," menurut SPF.

PENIPUAN E-DAGANG MENINGKAT

Penipuan e-dagang merupakan jenis penipuan paling kerap berlaku, dengan jumlah kes meningkat 19.3 peratus kepada 3,865 pada separuh pertama 2026.

Kerugian akibat penipuan tersebut turut meningkat 18.9 peratus kepada sekitar S$8.3 juta.

Kad dagangan Pokemon kekal sebagai barangan paling kerap terlibat dalam penipuan tersebut, dengan jumlah kes melonjak 116.8 peratus kepada 605, manakala kerugian meningkat 172.4 peratus kepada S$1.2 juta.

Polis menyatakan peningkatan itu sebahagian besarnya berpunca daripada penipuan prapesanan.

Mangsa biasanya menemui penyenaraian kad Pokemon atau barangan koleksi lain di platform seperti Carousell sebelum membayar deposit atau harga penuh, beberapa bulan sebelum tarikh penghantaran yang dijanjikan.

Mangsa hanya menyedari mereka ditipu apabila barangan tidak diterima pada tarikh yang dijanjikan atau selepas menemui catatan online daripada pembeli lain yang ditipu penjual sama.

PENIPUAN PELABURAN CATAT KERUGIAN TERTINGGI

Penipuan pelaburan menyebabkan kerugian paling besar, dengan mangsa kehilangan S$169.8 juta menerusi 2,256 kes pada separuh pertama tahun ini.

Walaupun jumlah kes turun 16.2 peratus, kerugian berkurangan 5.1 peratus.

Polis turut mengesan trend baharu penipu menyamar sebagai entiti seperti Universiti Nasional Singapura (NUS) dan broker online Moomoo menerusi iklan yang menawarkan tip atau strategi pelaburan percuma.

Mangsa yang menunjukkan minat kemudian diundang menyertai kumpulan WhatsApp yang menyamar sebagai "masyarakat pembelajaran pelaburan".

Dalam kumpulan tersebut, penipu yang menyamar sebagai mentor akan memberikan tip pelaburan dan cadangan saham yang kelihatan boleh dipercayai, manakala penipu lain menyamar sebagai anggota kumpulan untuk menyokong "nasihat" tersebut.

PENIPUAN PENYAMARAN PEGAWAI PEMERINTAH

Penipuan penyamaran pegawai pemerintah mencatat kerugian kedua tertinggi sebanyak S$90.8 juta, turun 31.7 peratus berbanding S$132.9 juta pada separuh pertama tahun lalu.

Sebanyak 1,363 kes dilaporkan pada separuh pertama 2026, berbanding 1,772 kes setahun sebelumnya.

Polis terus mengesan kes mangsa diarahkan memasukkan wang tunai menerusi mesin ATM atau menyerahkan wang tunai dan barangan berharga secara fizikal kepada penipu.

Satu lagi trend baharu melibatkan penipu yang menyamar sebagai pertubuhan seperti Singtel, YouTrip dan Prudential sebelum menghubungkan mangsa kepada individu yang kononnya pegawai Kementerian Undang-Undang (MinLaw), Penguasa Kewangan Singapura (MAS) atau SPF.

Mangsa kemudian didesak memindahkan wang ke akaun yang dikawal penipu.

PENIPUAN PENCEROBOHAN EMEL PERNIAGAAN LONJAK

Kerugian akibat penipuan pencerobohan emel perniagaan melonjak 193.1 peratus kepada S$57.3 juta pada separuh pertama tahun ini, manakala jumlah kes meningkat 67.9 peratus kepada 262.

Penipuan sedemikian melibatkan penggunaan akaun emel palsu atau yang diceroboh serta manipulasi digital untuk menyamar sebagai perniagaan, pembekal, pelanggan atau individu dalam sesebuah pertubuhan bagi mengalihkan pembayaran ke akaun penipu.

Penipuan penyamaran media sosial turut meningkat, dengan jumlah kes naik 47.9 peratus kepada 587 dan kerugian meningkat 71.3 peratus kepada S$3.9 juta.

Daripada jumlah itu, 391 kes melibatkan penipu yang mendekati kenalan menerusi akaun WhatsApp yang diceroboh.

PENIPUAN PANCINGAN DATA, PEKERJAAN

Penipuan pancingan data kekal jenis penipuan kedua paling kerap berlaku, dengan kerugian S$9.6 juta melibatkan 3,104 kes pada separuh pertama 2026.

SPF terus mengesan kes melibatkan mesej menerusi Apple iMessage, dengan penipu menyamar sebagai syarikat penghantaran dan mendakwa bungkusan tidak dapat dihantar disebabkan alamat tidak sah.

Mangsa kemudian diarahkan ke laman pancingan data yang menyerupai platform penghantaran sebenar untuk memberikan butiran kad pembayaran atau perbankan internet.

Kes penipuan pekerjaan pula turun 17.3 peratus kepada 2,247, manakala kerugian merosot 45.5 peratus kepada sekitar S$34.9 juta.

LEBIH 80% MANGSA PINDAHKAN WANG SENDIRI

Sekitar 80.8 peratus kes penipuan yang dilaporkan pada separuh pertama 2026 melibatkan mangsa memindahkan wang sendiri, meningkat daripada 78.8 peratus dalam tempoh sama tahun lalu.

Menurut SPF, dalam kebanyakan kes, penipu tidak menguasai akaun mangsa secara langsung tetapi memperdayakan mereka supaya melakukan urus niaga menerusi penipuan dan kejuruteraan sosial.

Sekitar 69.5 peratus kes melibatkan kerugian kurang S$5,000, manakala 4.7 peratus melibatkan kerugian sekurang-kurangnya S$100,000.

Golongan berusia bawah 50 tahun membentuk 64.4 peratus mangsa, manakala mereka berusia 65 tahun dan ke atas membentuk 14.4 peratus.

Mangsa warga emas mengalami kerugian purata S$42,347 seorang, paling tinggi dalam kalangan semua kumpulan usia dan meningkat daripada S$35,374 dalam tempoh sama tahun lalu.

LEBIH S$97 JUTA BERJAYA DIDAPATKAN SEMULA

Pusat Antipenipuan (ASC) berjaya mendapatkan semula lebih S$97.7 juta kerugian pada separuh pertama tahun ini, terdiri daripada lebih S$89.7 juta dalam mata wang fiat dan lebih S$8 juta dalam mata wang kripto.

Jumlah itu merujuk kepada dana yang dibekukan dalam akaun bank atau dompet mata wang kripto milik penipu atau keldai wang, dan bukan wang yang sudah dikembalikan kepada mangsa.

ASC dan rakan kongsinya turut membantu mencegah sekurang-kurangnya S$127.1 juta dalam potensi kerugian menerusi campur tangan proaktif terhadap individu pada pelbagai peringkat penipuan.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita