Kes pengubahan wang haram S$3 bilion: 10 apartmen mewah bakal dilelong pada 23 Sep
Sepuluh apartmen mewah yang dilucutkan hak dalam kes pengubahan wang haram S$3 bilion di Singapura akan dilelong pada harga panduan antara S$2.238 juta hingga S$6.78 juta.
Kondominium Martin Modern di River Valley. (Gambar: Google Street View)
Apartmen-apartmen yang terletak di River Valley dan Tanjong Pagar itu merupakan antara lebih 80 hartanah yang dilucutkan hak berkaitan kes pengubahan wang haram terbesar di Singapura.
Agensi hartanah SRI akan mengendalikan lelongan 10 hartanah tersebut di pejabatnya di Great World City pada 23 September, 2.30 petang.
Empat apartmen terletak di Wallich Residence di Daerah Pusat Perniagaan (CBD), dengan harga panduan antara S$4.42 juta hingga S$6.78 juta.
Ia terdiri daripada unit tiga dan empat bilik tidur dengan keluasan sekitar 1,313 kaki persegi hingga 1,991 kaki persegi. Harga bermula daripada S$3,347 bagi setiap kaki persegi (psf).
Wallich Residence merupakan sebahagian daripada pembangunan bersepadu Guoco Tower dan mempunyai akses langsung ke stesen MRT Tanjong Pagar.
ENAM UNIT DI MARTIN MODERN
Enam apartmen lain terletak di Martin Modern di River Valley, dengan harga panduan antara S$2.238 juta hingga S$4.98 juta.
Ia terdiri daripada unit dua, tiga dan empat bilik tidur dengan keluasan antara 764 kaki persegi hingga 1,733 kaki persegi. Harga bermula daripada S$2,874 psf.
Selain SRI, Edmund Tie & Company dan Knight Frank turut dilantik untuk mengendalikan lelongan hartanah lain yang dilucutkan hak.
Beberapa hartanah terpilih juga akan ditawarkan untuk dijual menerusi proses penyataan minat yang dikendalikan List International Realty, di luar proses lelongan.
Firma audit Deloitte menyatakan pada 29 Ogos bahawa lebih 1,000 barangan mewah dan 80 hartanah yang dilucutkan hak dalam kes pengubahan wang haram S$3 bilion itu akan mula dilelong dari 7 September 2026.
Aset-aset berkenaan akan dijual secara berperingkat antara September 2026 hingga pertengahan 2027.
Deloitte, yang dilantik Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Julai 2025 untuk menguruskan dan merealisasikan aset bukan tunai yang dilucutkan hak dalam kes tersebut, menyatakan jumlah dan jenis barangan dalam setiap fasa masih dimuktamadkan dan mungkin berubah sementara proses pengesahan serta persiapan diteruskan.
Kes pengubahan wang haram itu terbongkar selepas serbuan di seluruh Singapura pada Ogos 2023 menemukan wang berjuta-juta dolar yang diperolehi daripada kegiatan perjudian haram yang berpangkalan di Asia Tenggara.
Kesemua 10 pesalah, yang berasal dari China, sudah disabitkan kesalahan dan dihantar pulang selepas selesai menjalani hukuman masing-masing.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.