Skip to main content

Singapura

Kes pengubahan wang haram S$1.8 bilion: Lelaki terjun balkoni semasa serbuan polis dikenakan tuduhan baharu

Anggaran Waktu Membaca:
Kes pengubahan wang haram S$1.8 bilion: Lelaki terjun balkoni semasa serbuan polis dikenakan tuduhan baharu

(Gambar: CNA/Lydia Lam, Calvin Oh)

Diterbitkan : 06 Sep 2023 02:12PM Dikemas Kini : 06 Sep 2023 02:24PM
SINGAPURA: Seorang lelaki yang terjun dari balkoni tingkat dua banglo yang diserbu polis dikenakan satu tuduhan baharu pada Rabu (6 Sep).

Sebuan itu adalah sebahagian daripada siasatan pengubahan wang haram berjumlah S$1.8 bilion.

Cyprus Su Haijin, 40 tahun, didakwa atas satu tuduhan memiliki wang hasil daripada kesalahan jenayah.

Menurut kertas pertuduhan, Su mempunyai lebih S$4 juta di dalam akaun bank UOB, yang merupakan keuntungan daripada kesalahan perjudian haram jarak jauh.

Bekas pengarah restoran No Signboard Holdings tersebut, sebelum ini didakwa enggan membuka pintu biliknya di 16 Ewart Park pada awal pagi 15 Ogos lalu.

Semasa serbuan berkenaan, Su terjun dari tingkat dua banglo tersebut dan bersembunyi di dalam longkang.

Dia mengalami keretakan tulang di tumit,paha dan pergelangan tangan dan hadir melalui pautan video dari Hospital Besar Changi, di mana dia menjalani rawatan perubatan.

Timbalan Pendakwa Raya Ng Jean Ting meminta tempoh reman dilanjutkan lapan hari lagi, dengan berhujah kes "dijalankan lebih perlahan" kerana rawatan kecederaannya. Su menjalani pembedahan pada 28 Ogos.

"Baru-baru ini pada Isnin (4 Sep), dia memberitahu (pegawai siasatan) bahawa dia kurang sihat dan tidak boleh memberi kenyataan. Walau bagaimanapun, pada petang itu, dia tetap berjumpa peguamnya selama dua jam," kata Cik Ng.

Beliau menambah bahawa susuli tuduhan baharu itu, "banyak lagi perkara yang perlu diteliti" kerana aset yang dirampas daripada Su dan isterinya bernilai kira-kira S$160 juta.

Peguam Su, Julian Tay dari firma guaman Lee & Lee membantah permohonan itu, dengan berhujah bahawa siasatan sepatutnya diselesaikan dalam masa 22 hari dia direman dan tiada kaitan dengan keadaan kesihatannya. Tambahnya lebih 10 kenyataan sudah diambil daripada anak guamnya.

Hakim Daerah Brenda Tan membenarkan permohonan bagi tempoh reman Su dilanjutkan.

Kes Su ditangguh ke 13 Sep. Dia akan dipindahkan ke Pusat Perubatan Changi apabila keluar dari hospital.

Su dan sembilan yang lain individu diberkas dalam salah satu operasi antipengubahan wang haram terbesar di Singapura, melibatkan aset bernilai lebih S$1.8 bilion.

Aset ini termasuk hartanah, kenderaan, barangan mewah dan jongkong emas.

Sembilan lagi yang ditahan ialah: Wang Baosen, Zhang Ruijin, Wang Dehai, Lin Baoying, Su Jianfeng, Vang Shuiming, Chen Qingyuan, Su Wenqiang, dan Su Baolin.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita