Skip to main content

Singapura

Kes pengubahan wang haram S$1 bilion: 105 hartanah berkait suspek termasuk banglo Sentosa Cove

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 18 Aug 2023 04:52PM Dikemas Kini : 18 Aug 2023 10:14PM
SINGAPURA: Hartanah-hartanah yang dikaitkan dengan 10 warga asing yang diberkas dalam siasatan pengubahan wang haram bernilai S$1 bilion termasuk tujuh banglo tunggal di Sentosa Cove, 79 unit kondominium dan 19 ruang komersial.

Dalam satu kemas kini pada Jumaat (18 Ogos), polis menyatakan 105 hartanah kini dikenakan arahan larangan pelupusan sedang siasatan dijalankan. Jumlah itu bertambah daripada 94 yang diumumkan pada Rabu (16 Ogos).

Tujuh puluh sembilan unit kondominium itu termasuk 19 unit yang sedang dibina.

Hartanah tersebut ditaksirkan bernilai kira-kira S$831 juta.

"Hartanah-hartanah itu dimiliki oleh individu-individu yang sedang disiasat (yang sama ada sudah diberkas atau diburu oleh polis), pasangan mereka atau syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan individu-individu yang sedang disiasat atau pasangan mereka," menurut polis dalam kemas kininya.

Sekalipun demikian, polis menarik perhatian bahawa banglo-banglo mewah (Good Class Bungalows atau GCB), di mana semua suspek diberkas bukan milik mereka.

"GCB tersebut bukan sebahagian daripada 105 hartanah yang dikenakan arahan larangan pelupusan," menurut polis. Polis belum merampas mahupun mengenakan arahan larangan pelupusan terhadap mana-mana GCB berkait kes ini."

Semua suspek menetap di kediaman yang terletak di kawasan seperti Sentosa Cove, Tanglin, Orchard, Holland dan River Valley, menurut polis pada Rabu.

Aset bernilai sekitar S$1 bilion - termasuk hartanah, akaun bank, kereta, wang tunai dan barangan - sudah dirampas, dibekukan atau dikenakan arahan larangan pelupusan sedang siasatan dijalankan.
Hartanah, kereta mewah dan aset bernilai S$1 bilion dirampas dalam kes pemalsuan, pengubahan wang haram>>

WARGA ASING PEGANG PAS PEKERJAAN, TANGGUNGAN

Dalam satu kenyataan berasingan pada Jumaat, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menyatakan 10 warga asing - sembilan lelaki dan seorang wanita berusia antara 31 dengan 44 tahun - merupakan pemegang pas pekerjaan dan pas tanggungan.

Sepuluh suspek tersebut ialah rakyat Cyprus, Turki, China, Kemboja dan Ni-Vanuatu.

MOM menambah pihaknya akan "mengambil tindakan yang diperlukan ke atas mereka jika kesalahan-kesalahan serius dibongkar, sedang ia berunding dengan Polis dan Pejabat Peguam Negara (AGC)".

Semua 10 suspek sedang ditahan reman.

MOM menyatakan "semua majikan dan pemohon pas kerja mesti mengisytiharkan bahawa semua maklumat yang tertera pada permohonan pas kerja mereka adalah sahih dan betul".

"Ini termasuk maklumat syarikat dan butiran peribadi pemohon serta pengalaman kerja, gaji dan kelayakan," tambahnya.

"MOM akan menilai semua permohonan dan meneliti sebarang maklumat mencurigakan."
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita