Kes pengubahan wang haram berbilion dolar: MAS denda 9 institusi kewangan sebanyak S$27.45 juta
Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mengenakan denda berjumlah S$27.45 juta terhadap sembilan institusi kewangan atas pelanggaran berhubung kes pengubahan wang haram pada 2023, yang melibatkan lebih S$3 bilion dalam bentuk aset.
Tindakan juga sudah diambil terhadap 18 individu yang terlibat dalam menguruskan hubungan dengan suspek dalam kes tersebut, menurut MAS pada Jumaat (4 Jul).
Credit Suisse menerima denda komposisi tertinggi sebanyak S$5.8 juta. Bank itu diambil alih oleh bank Switzerland, UBS, pada 2023.
UOB, UBS, UOB Kay Hian dan Citibank merupakan antara institusi yang menerima denda tertinggi seterusnya.
Bank Switzerland Julius Baer, iaitu firma pengurusan aset Blue Ocean Invest, syarikat perkhidmatan kewangan Trident Trust Company dan LGT Bank dari Liechtenstein juga dikenakan denda.
MAS tidak memberikan perincian kepada media mengenai jumlah wang yang dikendalikan oleh institusi-institusi kewangan tersebut dalam kes yang melibatkan aset bernilai berbilion dolar itu.
Mediacorp difahamkan bahawa jumlah denda yang terkumpul adalah yang kedua tertinggi pernah dikenakan oleh MAS bagi pelanggaran berkaitan pencegahan pengubahan wang haram dan pembiayaan pengganasan (AML/CFT), menyusuli kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dalam kes 1MDB, MAS mengenakan denda sebanyak S$29.1 juta terhadap lapan bank antara 2016 dan 2017, serta menutup dua daripadanya.
MAS menyatakan dalam kenyataan medianya bahawa pihaknya mengenal pasti pelanggaran itu semasa pemeriksaan kawal selia terhadap institusi-institusi kewangan tersebut dari awal 2023 hingga awal tahun ini.
Denda terhadap Credit Suisse turut mengambil kira pelanggaran keperluan AML/CFT oleh bank itu dari November 2017 hingga Oktober 2023 dalam satu lagi kes berasingan.
Kes tersebut berkaitan dengan penyenggaraan akaun luar pesisir di Singapura bagi pelanggan yang mahu mengelak cukai di Amerika Syarikat, yang mana Credit Suisse mencapai perjanjian tanpa pihak pendakwa dengan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat pada 5 Mei.
MAS menyatakan pihaknya mendapati kebanyakan institusi kewangan tersebut sudah mewujudkan dasar dan kawalan AML/CFT.
“Pelanggaran tersebut berpunca daripada pelaksanaan dasar dan kawalan yang lemah atau tidak konsisten. Institusi-institusi kewangan ini sudah memulakan langkah pemulihan dan MAS akan memantau kemajuan mereka dengan teliti,” katanya.
MAS menambah bahawa tindakan tersebut menandakan penutupan proses penguatkuasaannya terhadap institusi kewangan yang mempunyai “hubungan penting” berkaitan kes pengubahan wang haram tersebut.
Siasatan ke atas kes rentas sempadan itu bermula sejak 2021 dan disusuli dengan serbuan polis di seluruh negara pada Ogos 2023.
Sepuluh warga asing diberkas. Kesemua daripada mereka sudah disabitkan kesalahan dan dihantar pulang selepas menjalani hukuman.
Kesemua 10 penjenayah tersebut dipercayai merupakan anggota kumpulan Fujian, iaitu sindiket jenayah terancang yang berpangkalan di wilayah Fujian, China.
Sekitar S$2.79 bilion aset berkaitan kes tersebut diserahkan kepada negara, termasuk S$944 juta yang dilucut hak daripada 10 penjenayah tersebut dan S$1.85 bilion aset yang diserahkan oleh 15 warga asing yang melarikan diri dari Singapura semasa siasatan.
Kes jenayah yang berkaitan dua mantan pengurus hubungan bank, Liu Kai dan Wang Qiming, masih dibicarakan di mahkamah.
KELEMAHAN INSTITUSI KEWANGAN DIKENAL PASTI
Menurut MAS, ia menemui kelemahan dalam empat aspek utama.
Pertama, terdapat kelemahan dalam penilaian risiko pelanggan di Bank Julius Baer, Blue Ocean Invest, Citibank, Credit Suisse dan UOB Kay Hian.
Institusi-institusi itu gagal melaksanakan dasar atau proses yang mencukupi untuk menilai tahap risiko pengubahan wang haram bagi sebahagian daripada pelanggan mereka.
Kegagalan itu membawa kepada penilaian risiko yang salah, dan menjejas keupayaan institusi-institusi berkenaan untuk menangani risiko lebih tinggi yang ditimbulkan oleh beberapa individu berkepentingan, menurut MAS.
Kedua, kesemua sembilan institusi gagal mengenal pasti dan mengesahkan sumber kekayaan pelanggan yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi bagi pengubahan wang haram.
Mereka tidak mengesan atau mengambil tindakan susulan terhadap "perbezaan ketara atau tanda amaran" yang seharusnya menimbulkan keraguan terhadap sumber kekayaan yang didakwa pelanggan, menurut MAS.
Dalam beberapa kes, tiada pengesahan dilakukan terhadap aspek penting berkaitan sumber kekayaan, tambah badan kawal selia itu.
Ketiga, selain Blue Ocean Invest, lapan institusi kewangan gagal dari segi pemantauan transaksi, kerana tidak menyemak dengan teliti transaksi yang ditandakan sebagai mencurigakan oleh sistem mereka sendiri.
"Transaksi tersebut adalah luar biasa besar, tidak konsisten dengan profil pelanggan, atau menunjukkan corak yang luar biasa," jelas MAS.
Keempat, UOB dan UOB Kay Hian gagal mengambil tindakan susulan yang mencukupi dan tepat pada masanya terhadap laporan transaksi mencurigakan yang difailkan terhadap pelanggan mereka.
Institusi-institusi tersebut tidak melaksanakan langkah-langkah untuk menangani risiko dengan sewajarnya, seperti pemantauan tambahan dan semakan semula pengelasan risiko pelanggan.
Mediacorp sudah menghubungi institusi-institusi kewangan yang dikenakan denda untuk mendapatkan maklum balas.
TINDAKAN TERHADAP BEBERAPA INDIVIDU
MAS turut mengeluarkan perintah larangan terhadap empat individu dari Blue Ocean Invest:
- Encik Tsao Chung-yi, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif, menerima perintah larangan selama enam tahun yang berkuat kuasa mulai 1 Ogos
- Cik Wong Xuan Ling, Ketua Pegawai Operasi, menerima perintah larangan selama lima tahun yang berkuat kuasa mulai 1 Ogos
- Encik Hsia Lun Wei @ Henry Hsia, Pengarah Eksekutif dan Pengurus Hubungan, menerima perintah larangan selama tiga tahun yang berkuat kuasa sejak 30 Jun
- Cik Deng Xixi, mantan Pengurus Hubungan, menerima perintah larangan selama tiga tahun yang berkuat kuasa sejak 30 Jun
Mereka dilarang daripada menyediakan perkhidmatan kewangan yang dikawal selia atau menyertai pengurusan institusi kewangan sepanjang tempoh larangan tersebut.
MAS menyatakan bahawa Encik Tsao dan Cik Wong gagal memastikan kawalan AML/CFT Blue Ocean Invest sejajar dengan pertumbuhan pesat syarikat itu sejak ia ditubuhkan selama tiga tahun.
Ini termasuk kelemahan dari segi pengesahan sumber kekayaan dan usaha wajar pelanggan.
Keempat-empat individu itu juga gagal membangkitkan tanda amaran walaupun mempunyai maklumat yang seharusnya menimbulkan syak wasangka, dan gagal melaksanakan usaha wajar tambahan terhadap beberapa individu berkepentingan.
MAS turut menegur lima individu dari Trident Trust dan UOB:
- Encik Sean Andrew Coughlan, Pengarah Urusan, Pengarah Eksekutif dan Pengurus Tetap, Trident Trust
- Encik Tan Ho Kiat, Ketua Pegawai Operasi, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pematuhan, Trident Trust
- Cik Kek Yen Leng, Pengarah Eksekutif, Ketua Pentadbiran Amanah dan Pengurus Tetap, Trident Trust
- Encik Ang Sze Hee Alvin, mantan Ketua Pasukan Perbankan Keistimewaan Runcit Kumpulan, UOB
- Encik Tan Sheng Rong Leonard, mantan Ketua Pasukan Perbankan Keistimewaan Runcit Kumpulan, UOB
Encik Coughlan dan Encik Tan gagal memastikan dasar Trident Trust menyediakan garis panduan praktikal yang mencukupi mengenai cara untuk mengesahkan sumber kekayaan pelanggan.
Ketiga-tiga eksekutif Trident Trust itu juga gagal mengesan atau menilai kelemahan dalam pengesahan sumber kekayaan pelanggan.
Encik Ang dan Encik Tan pula gagal menjalankan atau memastikan usaha dan tindakan susulan yang sewajarnya diambil terhadap laporan transaksi mencurigakan bagi beberapa individu berkepentingan di UOB, menurut MAS.
Badan kawal selia itu turut menegur secara tertutup sembilan lagi pengurus hubungan dan penyelia pengurusan hubungan atas pelanggaran yang lebih terhad. Nama mereka tidak didedahkan MAS kepada media.
MAS juga menyatakan bahawa ia sudah menyemak tingkah laku sebilangan besar kakitangan institusi kewangan yang terlibat, namun tidak menemui bukti pelanggaran besar oleh kebanyakan daripada mereka.
Bagaimanapun, MAS mungkin mengambil tindakan terhadap "baki beberapa individu" selepas prosiding mahkamah atau siasatan yang sedang berjalan diselesaikan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.