Skip to main content

Singapura

Kes pengubahan wang haram berbilion dolar: Hartanah, kenderaan antara aset dijual

Anggaran Waktu Membaca:
 Kes pengubahan wang haram berbilion dolar: Hartanah, kenderaan antara aset dijual

Kereta Rolls-Royce yang dikaitkan dengan kes pengubahan wang haram berbilion dolar ditarik dari sebuah rumah di Third Avenue di Bukit Timah. (Gambar: CNA/Jeremy Long)

Diterbitkan : 26 Feb 2025 11:33PM Dikemas Kini : 27 Feb 2025 12:00AM
SINGAPURA: Aset yang diserahkan kepada negara sebagai sebahagian daripada kes pengubahan wang haram berjumlah S$3 bilion kini secara progresif dijual dan hasilnya dikembalikan ke dalam pemerintah.

Sebanyak 54 hartanah, 33 kenderaan dan 11 keahlian kelab telah dijual setakat Disember 2024, kata Menteri Undang-undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada Rabu (26 Feb).

Hasil daripada penjualan aset itu akan disalurkan ke dalam dana pemerintah, kata Encik Shanmugam dalam jawapan parlimen kepada soalan oleh Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Leong Mun Wai (PSP).

Dana Disatukan itu serupa dengan akaun bank yang dipegang oleh pemerintah. Menurut laman web Parlimen, pendapatan Singapura dibayar ke dalam dana tersebut dan ia juga digunakan untuk membiayai perbelanjaan pemerintah.

Encik Shanmugam berkata sekitar S$1.8 juta telah dibayar ke dalam dana itu setakat Disember 2024.

Lagi S$390 juta, termasuk hasil daripada penjualan tersebut juga bakal disalurkan ke dalam dana itu bagi tahun kewangan 2024.

Setakat Disember 2024, aset berjumlah berjumlah sekitar S$2.79 bilion telah diserahkan kepada negara, kata Encik Shanmugam lagi.

Daripada jumlah itu, S$1.54 bilion adalah dalam bentuk wang tunai atau aset kewangan, kata beliau. Bakinya adalah dalam bentuk aset bukan wang tunai termasuk hartanah, kenderaan dan barangan mewah.

Jumlah S$2.79 bilion itu termasuk aset bernilai S$944 juta yang dirampas daripada sembilan lelaki dan seorang wanita yang sudah dijatuhkan hukuman.

Beberapa keahlian country club yang dirampas dari mereka termasuk bagi kelab Sentosa Golf Club bernilai S$550,300 dan Singapore Island Country Club bernilai S$410,000.

Pesalah terakhir daripada 10 orang yang disabitkan dalam kes itu sudah diusir ke negara asalnya pada Julai 2024.

Aset bernilai S$1.85 bilion juga diserahkan oleh 15 daripada 17 warga asing yang melarikan diri dari Singapura semasa siasatan dijalankan.

Encik Shanmugam menyatakan polis membelanjakan lebih S$600,000 dalam tahun kewangan 2023 untuk menguruskan aset tersebut.

"Ini adalah angka terkini yang kami ada, kerana polis menjejaki perbelanjaan ini mengikut tempoh 12 bulan," katanya.

Tambahnya lagi, pada Mei 2024 sejumlah terpaksa ditanggung untuk menyimpan dan menjaga aset yang dirampas termasuk mendapatkan perkhidmatan pakar daripada rakan industri atau penyedia perkhidmatan untuk mengawasi pengendalian, penjagaan dan pemeliharaan nilai aset.

"Perbelanjaan ini ditanggung oleh negara," kata Encik Shanmugam.

Beberapa barangan yang dirampas, seperti "ribuan" botol minuman keras dan wain, serta hiasan seperti figura Bearbrick dan beg berjenama serta kenderaan mesti disimpan dan dijaga dengan baik.
Sumber : BERITA Mediacorp/NK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita