Skip to main content

Singapura

Kes pengubahan wang haram berbilion dolar: Cabaran Presiden terima sumbangan S$350,000, Dana Masyarakat terima S$30,000

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Cabaran Presiden dan Dana Masyarakat telah menerima sumbangan lebih S$380,000 secara kolektif daripada individu-individu yang namanya serupa dengan mereka yang didakwa dalam kes pengubahan wang haram berbilion dolar.

Sepuluh suspek sudahpun diberkas dalam siasatan anti pengubahan wang haram yang dijalankan di merata negara pada Ogos tahun ini. Nilai aset yang dirampas atau dibekukan meningkat kepada lebih S$2.8 bilion daripada S$1 bilion, yang dianggarkan pada awalnya.

Kedua-dua badan amal itu tidak menamakan suspek-suspek yang telah memberikan sumbangan itu.

Cabaran Presiden telah mengenal pasti sumbangan bernilai lebih S$350,000 daripada individu-individu yang namanya sama dengan mereka yang didakwa, kata jurucakap badan amal tersebut dalam satu kenyataan pada Rabu (11 Okt).

Dalam satu kenyataan berasingan pada Rabu, Charmaine Leung, pengarah pengurusan Dana Masyarakat, turut berkata bahawa badan amal itu menerima sumbangan S$30,000 daripada individu-individu yang mempunyai nama yang sepadan dengan suspek yang didakwa di mahkamah atas kesalahan pengubahan wang haram.

Kedua-dua badan amal itu menyatakan dalam kenyataan masing-masing bahawa pihaknya sudah memfailkan laporan polis dan Laporan Urus Niaga Mencurigakan (STR).

Mereka juga mendedahkan bahawa sumbangan yang telah diagihkan kepada agensi-agensi yang mendapat bantuan, tidak akan terjejas.

Kedua-dua badan amal itu menambah bahawa pihaknya sedang bekerja rapat dengan Pesuruhjaya Badan Amal untuk menentukan cara mengendalikan sumbangan berkenaan.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita