Skip to main content

Singapura

Kes pengubahan wang haram berbilion dolar: Apa yang dirampas polis sejauh ini?

Anggaran Waktu Membaca:
 Kes pengubahan wang haram berbilion dolar: Apa yang dirampas polis sejauh ini?

(Gambar: Singapore Police Force)

Diterbitkan : 04 Oct 2023 07:40PM

SINGAPURA: Sedang siasatan ke atas kes pengubahan wang haram berbilion dolar diteruskan, nilai aset dan wang tunai yang terlibat terus meningkat.

Apabila polis mendedahkan kes ini kepada umum pada pertengahan Ogos, pihaknya menganggarkan wang berjumlah S$1 bilion terlibat.

Perintah larangan pelupusan kemudiannya dikeluarkan terhadap 94 hartanah dan 50 kenderaan, manakala polis turut merampas lebih S$110 juta daripada lebih 35 akaun bank, wang tunai lebih S$23 juta, lebih 270 barang kemas serta 250 beg dan jam tangan mewah.

Namun, dalam kemas kini oleh Menteri Kedua Hal Ehwal Dalam Negeri Josephine Teo di parlimen pada Selasa (3 Okt), beliau mendedahkan bahawa aset bernilai lebih S$2.8 bilion - iaitu hampir tiga kali ganda daripada jumlah asal - kini dikaitkan dengan kes itu.

Berikut butiran terkini:

Sentosa Cove (Gambar: iStock)

HARTANAH

Sebanyak 152 hartanah dikenakan perintah larangan pelupusan.

Daripada itu, 94 merupakan hartanah kediaman, terdiri daripada 60 unit jualan semula yang sudah siap dan 34 unit belum siap yang dijual terus oleh pemaju perumahan.

Lapan hartanah merupakan rumah banglo di Sentosa Cove di mana tiada sekatan dikenakan ke atas pemilikan oleh warga asing

(Gambar: Singapore Police Force)

KENDERAAN

Dua belas kenderaan dirampas sejak operasi itu diumumkan, menjadikan jumlah keseluruhan kenderaan sebanyak 62 setakat ini.

Antaranya adalah kereta jenama mewah seperti Bentley dan Rolls-Royce.

Nilai keseluruhan hartanah dan kenderaan itu dijangka melebihi S$1.24 bilion.

(Gambar: Singapore Police Force)

WANG DAN KRIPTO

Lebih $1.45 bilion kini dirampas daripada akaun bank, menurut laporan terkini di parlimen pada Selasa.

Turut dirampas adalah wang tunai, termasuk wang tunai dalam mata wang asing yang bernilai lebih S$76 juta, serta mata wang kripto bernilai lebih S$38 juta.

JONGKONG EMAS

Sebanyak 68 jongkong emas dirampas, satu lonjakan besar daripada hanya dua pada awalnya.

(Gambar: Singapore Police Force)

BARANG MEWAH

Jumlah barang mewah yang dirampas meningkat hampir dua kali ganda kepada 1,004.

Ia terdiri daripada 294 beg berjenama seperti Hermes, Dior, Chanel dan Louis Vuitton, 164 jam tangan termasuk Rolex dan Patek Philippe, serta 546 barang kemas.

MINUMAN ARAK

Tiada jumlah tepat diberikan, tetapi didedahkan di parlimen bahawa "ribuan botol minuman keras dan wain" turut dirampas.

Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita