Skip to main content

Singapura

Kes pengubahan wang haram berbilion dolar: 12 tuduhan baharu termasuk bohong kepada IRAS, MOM

Anggaran Waktu Membaca:
Kes pengubahan wang haram berbilion dolar: 12 tuduhan baharu termasuk bohong kepada IRAS, MOM

(Gambar: CNA/Lydia Lam, Calvin Oh)

Diterbitkan : 01 Apr 2024 02:16PM
SINGAPURA: Lelaki yang terjun daripada balkoni semasa serbuan untuk memberkas suspek terkait dengan kes pengubahan wang haram berbilion dolar, dikenakan 12 tuduhan baharu pada Isnin (1 Apr).

Ia menjadikan jumlah pertuduhan yang dihadapi Su Haijin kepada 14, dan jumlah keseluruhan hasil jenayah yang disyaki dimilikinya kepada kira-kira S$3.8 juta.

Pada mulanya, Su, 41 tahun, seorang warga Cyprus, dijadualkan untuk mengaku salah pada Khamis (4 Apr). Kedua-dua pendakwa dan peguam bela mengesahkan bahawa pengakuannya akan diteruskan seperti yang dirancang.

Su pada mulanya berdepan dua pertuduhan melawan daripada diberkas pada 15 Ogos 2023, dan memiliki kira-kira S$4.06 juta hasil daripada aktiviti perjudian haram jarak jauh dalam akaun UOB sekitar Ogos 2023.

Pada Isnin, pertuduhan kedua dipinda kepada pertuduhan memiliki hampir S$2.4 juta, yang disyaki hasil daripada aktiviti perjudian haram jarak jauh, dan gagal menjelaskan bagaimana dia memperolehi wang tersebut.

Pertuduhan yang dipinda itu membawa hukuman yang lebih ringan berbanding pertuduhan awal Su, iaitu memiliki hasil daripada kegiatan jenayah.

Su diberi tiga pertuduhan kerana didakwa bersubahat dengan Wang Junjie untuk menggunakan kenyataan kewangan palsu Yihao Cyber Technologies untuk:

Buka akaun bank korporat bersama DBS pada 13 Apr 2022

Mohon menyertai segmen pelanggan peribadi utama OCBC pada tahun 2022

Buka akaun bank korporat bersama UOB pada atau sekitar Mei 2022

Dua daripada pertuduhannya adalah kerana memiliki hasil aktiviti perjudian haram jarak jauh pada atau sekitar Ogos 2023, berjumlah kira-kira S$439,000 dalam akaun DBS Yihao dan kira-kira S$1 juta dalam akaun UOB Yihao.

Empat lagi pertuduhan adalah kerana bersubahat dengan Wang untuk berbohong kepada pihak berkuasa mengenai hasil pendapatan, keuntungan kasar dan hutang perniagaan Yihao.

Kenyataan palsu itu dipercayai dibuat kepada Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) bagi tahun kewangan 2019, 2020 dan 2021, dan terhadap Kementerian Tenaga Manusia (MOM) bagi tahun kewangan 2021.

Su juga mempunyai tiga pertuduhan, kerana membantu dua wanita memohon atau memperbaharui pas kerja dengan membuat kenyataan palsu kepada Pengawal Pas Kerja.

Hukuman bagi melawan daripada diberkas adalah hukuman penjara sehingga setahun, denda, atau kedua-duanya.

Atas kesalahan memiliki hartanah disyaki daripada hasil kegiatan jenayah dan gagal menjelaskan bagaimana ia diperolehi, pesalah boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda sehingga S$150,000, atau kedua-duanya.

Jika didapati bersalah menggunakan dokumen palsu bersama bank, Su boleh dihukum penjara sehingga empat tahun, didenda, atau kedua-duanya sekali.

Jika sabit kesalahan membuat kenyataan palsu kepada
IRAS dan MOM, Su boleh dipenjara sehingga 20 tahun, didenda, atau kedua-duanya sekali.

Hukuman membuat kenyataan palsu kepada Pengawal Pas Kerja adalah hukuman penjara sehingga dua tahun, denda sehingga S$20,000 atau kedua-duanya.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita