Skip to main content

Singapura

Kes penderaan Kinderland Woodlands: Pengendali didenda S$5,000; ECDA mengaku patut pecat guru lebih awal

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 04 Sep 2023 06:50PM Dikemas Kini : 04 Sep 2023 08:57PM
SINGAPURA: Pengendali Kinderland Preschool @ Woodlands Mart didenda S$5,000 akibat kesan serius insiden baru-baru ini yang berlaku di pusat prasekolah tersebut.

Demikian menurut Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA).

Dalam satu kenyataan media pada Isnin (4 Sep), ECDA juga mengaku bahawa ia sepatutnya bertindak lebih pantas dalam memecat seorang guru yang dikenal pasti sebagai Pendidik A, daripada terus memainkan peranan dalam bilik darjah di Kinderland Woodlands Mart.

Pendidik A sebelum ini dirakam menuang air ke dalam mulut seorang kanak-kanak serta memukulnya.

Mantan guru Lin Min, didakwa di mahkamah pada 30 Ogos kerana menganiayai seorang kanak-kanak. Pertuduhan mahkamah menunjukkan warga Singapura berusia 33 tahun itu disyaki memaksa seorang budak perempuan berusia 23 bulan untuk berbaring sebelum menuang air ke dalam mulutnya.

Insiden itu diketahui pada 28 Ogos lalu apabila tiga rakaman Lin yang didakwa menganiayai kanak-kanak di bawah jagaannya, tersebar di platform online.

Lin telah diberikan amaran di bawah peraturan Pusat Pembangunan Awal Kanak-Kanak dan dilarang daripada bekerja dalam sektor prasekolah. Siasatan polis masih dijalankan.

Siasatan ECDA juga mendapati seorang lagi pendidik di prasekolah tersebut menggunakan "kaedah yang tidak wajar" untuk mengehadkan pergerakan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun semasa dua kejadian.

Pada satu ketika, guru tersebut menarik kemeja kanak-kanak itu dari belakang kerusi. Guru tersebut juga menggunakan tali dari kerusi bayi untuk menghalang budak lelaki itu daripada bangun.

Pengetua pusat tersebut tidak "menyelia dengan secukupnya" kakitangannya dan "gagal untuk mengelakkan penggunaan kaedah pengurusan kanak-kanak yang tidak wajar di prasekolah tersebut", nyata ECDA.

Dia tidak boleh ditugaskan sebagai seorang pengetua sebuah prasekolah dan diberi amaran. "ECDA akan mempertimbangkan kesesuaiannya sebagai pengetua setelah dia menyelesaikan latihan ulang kaji setelah tempoh 2 tahun."

"Disebabkan kesan serius insiden tersebut di prasekolah ini, ECDA memberi amaran, mengenakan hukuman denda S$5,000 ke atas pengendali itu, dan mengurangkan tempoh lesennya kepada 6 bulan berkuat kuasa serta-merta.

"Pada akhir 6 bulan, ECDA tidak akan memperbaharui semula lesen tersebut jika prasekolah tersebut gagal untuk menunjukkan peningkatan ketara dalam piawai penjagaannya untuk kanak-kanak," nyata agensi tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif ECDA Tan Chee Wee menyatakan agensi tersebut boleh melakukan lebih baik.

Pihaknya memohon maaf kerana tidak mengarahkan Kinderland untuk menggugurkan pendidik tersebut daripada peranan bilik darjah sementara siasatan dijalankan. Mereka menambah akan memperkukuhkan protokol dan latihan pegawai-pegawai mereka.

SIASATAN DI PUSAT SUNSHINE PLACE


ECDA juga menyediakan satu kemas kini berhubung dua laporan yang dibuat ke atas insiden yang berlaku di Kinderland @ Sunshine Place di Choa Chu Kang.

Seorang guru yang dikenal pasti sebagai pendidik C dilihat "menolak (seorang kanak-kanak berusia 5 tahun) secara paksa" pada April 2022 dan siasatan oleh ECDA dan pihak polis masih dijalankan.

Laporan kedua itu merupakan sebuah kes yang sudah diselesaikan, di mana dua pendidik mengaku mengikat seorang kanak-kanak berusia dua tahun di kerusinya beberapa kali, menggunakan tali dari tempat duduk bayi.


"Niat pendidik tersebut adalah supaya kanak-kanak itu memberikan tumpuan kepada kegiatan berkenaan dan menghindarkannya daripada menyebabkan kecederaan kepada dirinya sendiri dan kanak-kanak lain," nyata kenyataan media.


"ECDA mengarahkan pusat tersebut agar menghentikan amalan ini dengan serta-merta dan memastikan kesemua pendidik mengguna pakai kaedah yang wajar dan bekerja rapat dengan ibu bapa dalam menangani tingkah laku setiap kanak-kanak," nyatanya, sambil menambah bahawa peringatan tegas telah diberikan kepada pihak sekolah dan dua pendidik itu.

Lebih banyak tindakan tegas akan diambil sekiranya insiden seumpama itu berlaku pada masa depan, jelas ECDA.


Ibu pejabat Kinderland telah diminta untuk melaksanakan satu semakan semula secara bebas terhadap amalan pengurusan kanak-kanak di kesemua prasekolah mereka "memandangkan (terdapat berlakunya) insiden salah urus kanak-kanak baru-baru ini", kata ECDA.

Pihaknya dikehendaki untuk melaporkan semula dapatan dan saranannya dalam tempoh tiga bulan.

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita