Kes penderaan kanak-kanak berisiko tinggi naik 14.5% kepada 2,303 tahun lalu: Laporan MSF
SINGAPURA: Jumlah kes baharu penderaan kanak-kanak berisiko tinggi pada 2024 meningkat sebanyak 14.5 peratus berbanding tahun sebelumnya, menurut laporan oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) yang diterbitkan pada Rabu (10 Dis).
Terdapat 2,303 kes baharu pada tahun lalu, berbanding dengan 2,011 kes yang dilaporkan pada 2023.
Secara keseluruhan, 3,292 kes penderaan kanak-kanak berisiko rendah hingga sederhana dilaporkan pada 2024, naik 18 peratus daripada 2,787 kes yang dilaporkan pada tahun sebelumnya.
Ia adalah peningkatan tahunan terbesar sejak 2022.
Kes-kes berisiko rendah hingga sederhana dikategorikan oleh MSF sebagai kes Tahap 1 yang diselia oleh agensi-agensi masyarakat seperti pusat pakar perlindungan kanak-kanak dan pusat khidmat keluarga.
Kes berisiko tinggi dikenali sebagai kes Tahap 2, yang mungkin memerlukan campur tangan Perkhidmatan Perlindungan MSF bagi memastikan keselamatan kanak-kanak, termasuk mengeluarkan kanak-kanak itu daripada rumah mereka.
Kes-kes itu diselia oleh Perkhidmatan Perlindungan (PSV) MSF.
Jika kes diselia oleh kedua-dua MSF dan sebuah agensi masyarakat, ia akan diterterakan sebagai kes dalam kedua-dua set data Tahap 1 dan 2.
Justeru, jumlah itu tidak boleh digabungkan bersama bagi menentukan keseluruhan jumlah kes dalam tempoh setahun, kerana ia bermakna sesetengah kes dikira sebanyak dua kali.
JUMLAH KESELURUHAN KES
Edisi kedua laporan Trend Keganasan Rumah Tangga menggariskan trend-trend utama bagi kes penderaan kanak-kanak, penderaan pasangan, penderaan warga emas, penderaan golongan dewasa yang rentan dan kes pengabaian diri.
Secara keseluruhan, terdapat 5,787 kes baharu penderaan Tahap 1 pada 2024, iaitu kenaikan 14 peratus daripada 5,092 kes yang dilaporkan pada 2023.
Kenaikan itu sebahagian besar didorong oleh lebih banyak kes penderaan kanak-kanak dan penderaan pasanga.
Secara serupa, keseluruhan jumlah kes penderaan Tahap 2 yang baharu juga meningkat sebanyak 14 peratus pada tempoh yang sama - daripada 2,076 kepada 2,373 - sebahagian besar didorong oleh kenaikan dalam kes-kes penderaan kanak-kanak.
Kenaikan dalam kedua-dua kes penderaan Tahap 1 dan 2 itu "mencerminkan kesedaran lebih tinggi dan kesediaan semakin meningkat" oleh para mangsa, keluarga dan orang awam untuk melaporkan kejadian keganasan, menurut MSF dalam edisi kedua Laporan Trend Keganasan Rumah Tangga.
"Ini membolehkan lebih ramai individu mengakses sokongan lebih awal, mengurangkan kemungkinan kes itu kekal tersembunyi atau bertambah lebih berisiko," ia menambah.
"Usaha kesedaran yang berterusan, perlindungan undang-undang yang lebih kukuh serta rangkaian perkhidmatan sokonga yang menyeluruh berkemungkinan menyumbang kepada trend tersebut.
"Kes-kes yang dilaporkan dijangka terus meningkat pada jangka sederhana, sejajar dengan usaha penambahbaikan berterusan dalam pengesanan dan laporan, sebelum ia menjadi stabil dalam jangka masa panjang."
KES PENDERAAN KANAK-KANAK BERISIKO TINGGI
Kes penderaan kanak-kanak membentuk purata tertinggi daripada kes-kes baharu pada 2024.
Jumlah kes baharu penderaan kanak-kanak Tahap 2 - atau kes berisiko tinggi - menunjukkan trend kemerosotan mulai 2021 hingga 2023, namun ia meningkat pada tahun lalu.
Kenaikan dalam jumlah kes-kes tersebut sebahagian besar didorong oleh kenaikan dalam kes di mana penderaan fizikal adalah bentuk penderaan utama - daripada 888 kes pada 2023 kepada 1,171 pada 2024.
Terdapat juga kenaikan dalam jumlah kes penderaan kanak-kanak Tahap 2 di mana penderaan seksual adalah bentuk penderaan utama.
"Walaupun jumlah kes penderaan seksual meningkat pada 2024, jumlah keseluruhannya masih lebih rendah berbanding 2022," menurut MSF dalam laporannya.
"Sebaliknya, kes-kes di mana penderaan atau pengabaian emosi dan psikologi adalah bentuk penderaan utama pula semakin merosot."
Menurut laporan itu, jumlah kes baharu penderaan kanak-kanak Tahap 2 meningkat bagi tiga kumpulan usia iaitu daripada usia 0 hingga enam tahun, tujuh hingga 12 tahun dan 13 hingga 18 tahun.
Pihak berkuasa melaporkan 834 kes dalam kalangan kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun, diikuti dengan 824 kes yang melibatkan kanak-kanak berusia 0 hingga enam tahun, dan 645 kes melibatkan mereka yang berusia 13 hingga 18 tahun.
“Mendidik murid-murid sekolah rendah mengenai keselamatan diri dan perlindungan daripada penderaan, serta latihan dan kewaspadaan berterusan pakar profesional, mungkin sudah menyumbang kepada lebih banyak laporan yang dibuat,” menurut MSF.
Walaupun terdapat peningkatan dalam kes penderaan kanak-kanak Tahap 2, jumlah keseluruhan kanak-kanak dalam penjagaan luar rumah merosot daripada 1,509 pada 2023 kepada 1,454 pada 2024.
Kanak-kanak berusia 13 hingga 18 tahun merupakan kumpulan usia terbesar berada dalam penjagaan luar rumah, diikuti oleh mereka yang berusia tujuh hingga 12 tahun, dan 0 hingga enam tahun.
"Salah satu sebab berlaku penurunan dalam jumlah penempatan luar rumah mungkin disebabkan oleh pelaksanaan dan peningkatkan pemeriksaan keselamatan oleh pegawai pemeriksaan keselamatan pada 2024, yang membantu yang membantu pegawai perlindungan melalui lawatan rumah dan panggilan video untuk memantau keselamatan kanak-kanak di rumah,” menurut MSF.
Secara keseluruhan, kadar kejadian bagi kes penderaan baharu Tahap 2 naik kepada 2.8 bagi setiap 1,000 kanak-kanak pada 2024, naik daripada 2.4 pada 2023.
"Jumlah itu kekal rendah berbanding negara-negara lain; sebagai contoh, kadar kejadian di Australia adalah 21 bagi setiap 1,000 kanak-kanak pada 2022 hingga 2023," menurut MSF.
Dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp, MSF menyatakan tiada sebarang rekod kes kematian kanak-kanak dari 2021 hingga 2024 di mana seorang kanak-kanak berada di bawah pengurusan kes Perkhidmatan Perlindungan Kanak-Kanak MSF sebelum kematian kanak-kanak itu.
Dalam tempoh yang sama, kira-kira 10 peratus kes penderaan kanak-kanak Tahap 2 yang disiasat oleh Perkhidmatan Perlindungan adalah kes mahkamah, menurut MSF.
Kes-kes mahkamah merujuk kepada kes yang mempunyai Perintah Penjagaan di bawah Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda, yang diberikan oleh Mahkamah Belia
"Kenaikan dalam kes baharu penderaan kanak-kanak Tahap 2 sebahagiannya boleh dikaitkan dengan orang awam dan pihak sekolah yang lebih berwaspada dalam mengenal pasti dan melaporkan lebih banyak kejadian melibatkan kebimbangan keselamatan dan risiko yang berpotensi tinggi, sekali gus menyebabkan lebih banyak kes terbongkar," menurut laporan itu.
MSF memberitahu Mediacorp bahawa jumlah laporan kepada Talian Bantuan Kebangsaan Anti-Keganasan dan Gangguan Seksual (NAVH) meningkat - daripada 8,400 laporan pada 2021 kepada 11,100 pada 2024.
Jumlah laporan berkaitan penderaan dan pengabaian kanak-kanak juga meningkat dalam tempoh itu iaitu daripada 2,200 kepada 4,500.
"Dalam kalangan laporan berkaitan kanak-kanak yang diterima oleh NAVH dan MSF pada 2024, kira-kira 17 peratus dirujuk kepada Perkhidmatan Perlindungan MSF dan diambil sebagai kes penderaan kanak-kanak Tahap 2," menurut MSF.
Laporan kepada NAVH boleh dibuat menerusi panggilan telefon atau borang laporan online.
Borang laporan online dilancarkan pada Disember 2022 dan beberapa aduan sama boleh dibuat mengenai isi rumah yang sama.
Data awal menunjukkan kes-kes penderaan kanak-kanak baharu Tahap 1 dan 2 pada separuh pertama 2025 adalah lebih rendah berbanding tempoh yang sama pada 2024.
Namun, terdapat kenaikan dalam jumlah kes penderaan kanak-kanak baharu Tahap 2 pada Oktober 2025 berbanding beberapa bulan sebelumnya.
MSF menyatakan ia menyaksikan peningkatan dalam kes-kes baharu yang dirujuk kepada MSF pada beberapa minggu pertama selepas laporan mengenai kematian kanak-kanak berusia empat tahun, Megan Khung, diterbitkan pada Oktober 2023.
“Memandangkan salah satu sumber rujukan utama adalah orang awam, kes Megan yang mendapat liputan meluas berkemungkinan menyumbang kepada peningkatan tersebut,” kata kementerian itu.
PENDERAAN PASANGAN
Kes baharu penderaan pasangan meningkat daripada 2,008 kes pada 2023 kepada 2,136 kes pada 2024, meneruskan dengan trend peningkatan, menurut MSF dalam laporannya.
MSF menarik perhatian bahawa rujukan diri meliputi "purata besar" kes-kes dikendalikan oleh pusat khidmat keluarga, di mana para klien tampil mendapatkan bantuan sendiri.
"Walaupun ada yang mahu mendapatkan sokongan berkaitan keganasan rumah tangga, yang lain pada awalnya tampil dengan isu seperti isu kewangan atau cabaran keibubapaan, dengan keprihatinan penderaan hanya muncul selepas interaksi antara pusat khidmat keluarga dengan klien tersebut," menurut MSF.
Pusat khidmat keluarga dan pusat pakar perlindungan juga menyaksikan peningkatan dalam jumlah rujukan daripada polis dan Pasukan Respons Kecemasan (DVERT) yang dilancarkan pada April 2023.
Dari segi perintah perlindungan peribadi antara 2021 dan 2024, sekitar 75 peratus pemohon adalah wanita, menurut MSF dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp.
"Walaupun jumlah lelaki yang tampil mendapatkan bantuan tidak ramai, ini tidak bermakna kaum lelaki tidak mengalami penderaan.
"Ada yang mungkin mendapati ia sukar untuk mengenal pasti atau berkongsi pengalaman mereka disebabkan oleh stigma atau jangkaan masyarakat," menurut MSF.
PENDERAAN WARGA EMAS
Jumlah kes baharu penderaan warga emas Tahap 1 meningkat daripada 297 kes pada 2023 kepada 359 kes pada 2024, meneruskan dengan trend peningkatan sejak 2021.
Kenaikan itu sebahagiannya dapat dikaitkan dengan masyarakat yang semakin menua, di samping lebih kesedaran mengenai penderaan melibatkan warga emas, menurut MSF.
Jumlah kes baharu penderaan warga emas yang dianggap sebagai orang dewasa yang rentan Tahap 2 terus menyaksikan trend merosot, di mana ia turun daripada 42 kes pada 2023 kepada 38 kes pada 2024.
Warga emas yang berusia 65 tahun dan ke atas yang dianggap sebagai orang dewasa yang rentan, ddisebabkan oleh ketidakupayaan mental atau fizikal, kurang upaya atau ketidakmampuan, tidak dapat melindungi diri daripada penderaan, pengabaian atau pengabaian diri.
"Kemerosotan ini mungkin disebabkan oleh agensi masyarakat, jagaan warga emas dan jagaan kesihatan yang bekerjasama dengan warga emas yang rentan dan keluarga mereka bagi mengatasi punca utama penderaan atau pengabaian, sekali gus mengelakkan kes daripada bertambah lebih berisiko," menurut MSF.
Daripada 38 kes penderaan baharu Tahap 2 pada tahun lalu, 17 kes dikaitkan dengan pengabaian, 14 kes kerana penderaan fizikal, empat kes kerana penderaan emosi dan psikologi dan lagi tiga kes kerana penderaan seksual.
Kadar insiden bagi kes-kes baharu penderaan warga emas merosot kepada 0.4 bagi setiap 1,000 warga emas yang rentan, berbanding 0.5 pada 2023.
PENDERAAN DEWASA RENTAN BUKAN WARGA EMAS
Laporan itu turut memberikan perincian mengenai kes-kes penderaan melibatkan orang dewasa rentan yang bukan warga emas.
Ia adalah individu berusia antara 18 dengan 64 tahun yang mengalami kecacatan atau kelemahan yang menghalang mereka daripada melindungi diri.
Golongan itu dilindungi di bawah Akta Dewasa Rentan, dan Perkhidmatan Perlindungan MSF menyelia kes-kes sedemikian.
Jumlah kes baharu penderaan orang dewasa rentan bukan warga emas Tahap 2 meningkat kepada 32 kes pada 2024 daripada 23 kes pada 2023, menyusuli trend kemerosotan pada 2021 hingga 2023.
Daripada 32 kes itu, 13 kes dikaitkan dengan penderaan fizikal, 12 kes dikaitkan dengan pengabaian, enam kes penderaan seksual dan satu kes penderaan emosi dan psikologi.
Jumlah kes baharu pengabaian diri orang dewasa rentan Tahap 2 terus merosot, daripada 28 kes pada 2023 kepada 14 kes pada 2024.
Kes-kes demikian ditarifkan sebagai kes di mana orang dewasa yang rentan hidup dalam persekitaran yang "sangat tidak bersih atua berbahaya", mengalami kekurangat zat makanan atau dehidrasi, atau menanggung penyakit fizikal atau mental yang tidak dirawat.
"Golongan dewasa yang rentan ini tidak mampu melakukan tugas asas untuk menjalani kehidupan harian atau menjaga diri, yang menjejas keselamatan dan kesejahteraan mereka," menurut MSF.
Kemerosotan itu mungkin disebabkan oleh sokongan masyarakat yang dipertingkatkan bagi individu berisiko melakukan pengabaian diri, menurut MSF.
Inisiatif-insiatif itu termasuk khidmat berasaskan rumah seperti Meals-on-Wheels dan Jagaan Peribadi Rumah, yang menyediakan penghantaran makanan dan bantuan penjagaan diri kepada golongan individu yang rentan.
Pada 2023 dan 2024, orang dewasa warga emas yang rentan membentuk sebahagian besar kes-kes baharu pengabaian diri Tahap 2.
“MSF akan terus bekerjasama dengan agensi masyarakat untuk kekal berwaspada dalam mengesan dan bertindak balas terhadap tanda awal pengabaian diri,” kata kementerian itu.
Jika anda atau kenalan anda sedang mengalami penderaan, hubungi Talian Bantuan Kebangsaan Anti-Keganasan dan Gangguan Seksual (NAVH) di 1800-777-0000 atau membuat laporan online.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.