Kes 'pempengaruh agama' gugat ketenteraman masyarakat; MUIS perlu kaji apa perlu diperbaiki: Zaqy
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Zaqy Mohamad berkata kes jenayah seksual yang melibatkan 'pempengaruh agama' menggugat ketenteraman masyarakat.
- Zaqy Mohamad menyatakan kebimbangan terhadap kes jenayah seksual melibatkan pempengaruh agama yang berlaku di kawasan masjid di Singapura.
- Beliau menegaskan masjid sepatutnya menjadi tempat selamat untuk keluarga dan masyarakat, namun insiden ini menggugat kepercayaan ramai.
- Zaqy menjelaskan individu terlibat bukan kakitangan atau asatizah bertauliah, tetapi interaksi berlaku di masjid, menyebabkan keperluan penambahbaikan keselamatan.
- MUIS telah memperkenalkan langkah seperti rondaan dan pemantauan CCTV, serta akan meneliti kegiatan tidak rasmi demi memastikan keselamatan kanak-kanak dan belia di masjid.
SINGAPURA: Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Zaqy Mohamad berkata kes jenayah seksual yang melibatkan 'pempengaruh agama' menggugat ketenteraman masyarakat.
Ini kerana masjid merupakan ruang selamat bukan sahaja bagi mengenali agama tetapi juga membina hubungan.
Encik Zaqy berkata demikian dalam video yang dikeluarkan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) pada petang Selasa (18 Ogos) menyusuli laporan berhubung seorang 'pempengaruh agama' yang melakukan jenayah seksual terhadap sepasang adik-beradik.
"Bagi kita sebagai umat Islam, masjid bukan sekadar tempat kita datang, untuk menunaikan solat. Di sini, anak-anak kita mula mengenali agama. Di sini, keluarga kita berkumpul. Di sini, kita belajar mencari ketenangan dan membina hubungan sesama masyarakat.
"Kita datang ke masjid dengan satu keyakinan bahawa ini satu tempat selamat untuk kita dan anak-anak kita.
"Sebab itu, apabila kepercayaan tersebut dicemari, apatah lagi apabila melibatkan golongan muda, kesannya bukan sahaja dirasakan oleh mangsa dan keluarga. Ia turut menggugat ketenteraman masyarakat kita," kata Encik Zaqy.
Beliau turut menzahirkan rasa sedih dan prihatin terhadap apa yang berlaku terhadap para mangsa.
Selain itu, Encik Zaqy turut mengulas lebih lanjut tentang pertanyaan yang dibangkitkan masyarakat tentang bagaimana perkara sedemikian boleh berlaku di masjid.
"Individu terbabit bukan kakitangan atau sukarelawan masjid. Beliau juga bukan asatizah yang diiktiraf di bawah ARS. Beliau tidak mengendalikan kelas agama rasmi yang dianjurkan atau diluluskan oleh pihak masjid.
"Tetapi bagi saya, penjelasan itu sahaja tidak mencukupi. Kita tidak boleh berhenti setakat mengatakan bahawa individu tersebut bukan kakitangan masjid, atau bukan asatizah ARS.
"Kerana hakikatnya, sebahagian daripada interaksi itu telah berlaku di kawasan masjid. Apabila ia berlaku di ruang yang masyarakat percayai sebagai selamat, kita bertanggungjawab untuk melihat dengan teliti apa yang boleh kita lakukan," kata beliau.
Encik Zaqy juga meminta MUIS untuk meneliti dengan lebih mendalam lagi apa yang perlu diperbaiki, khususnya berkaitan kegiatan dan pertemuan tidak rasmi yang melibatkan kanak-kanak dan belia.
Ini bagi memastikan golongan tersebut terus berasa selesa dan selamat untuk berkunjung ke masjid, di samping menjadikan masjid sebahagian daripada kehidupan keluarga mereka.
"Saya telah berbincang dengan MUIS dan para pemimpin masjid. MUIS telah mengumumkan beberapa langkah keselamatan, termasuk rondaan dan pemantauan CCTV.
"Saya juga telah meminta MUIS melihat lebih mendalam, apa lagi yang perlu diperbaiki, khususnya berkaitan kegiatan dan pertemuan yang tidak rasmi yang melibatkan kanak-kanak dan belia.
"Bukan kerana kita mahu menjadikan masjid tempat yang penuh sekatan. Masjid kita mesti terus terbuka. Anak-anak kita mesti terus berasa senang datang ke masjid," kata Encik Zaqy.
Di dalam video tersebut, Encik Zaqy turut memberi peringatan kepada golongan belia dan anak-anak muda.
"Jika seseorang membuat kamu berasa tidak selesa, meminta kamu merahsiakan sesuatu daripada ibu bapa, atau orang yang kamu percayai, atau melakukan sesuatu yang kamu rasa melampaui batas, beritahu seseorang. Jangan tanggung diri sendiri. Suara kami penting dan suara kamu mesti didengar. " ujar Encik Zaqy.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.