Skip to main content

Singapura

Kes pembunuhan Orchard Towers: Tertuduh diberkas setelah larikan diri dari perbicaraan mahkamah

Tertuduh yang mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan Orchard Towers diberkas, setelah gagal menghadiri perbicaraan mahkamah selepas dibebaskan dengan ikat jamin dan dibawa ke mahkamah pada Jumaat (27 Sep) di mana dia menghadapi dakwaan baru.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes pembunuhan Orchard Towers: Tertuduh diberkas setelah larikan diri dari perbicaraan mahkamah

Kertas tisu berdarah di pintu masuk Orchard Towers pada 2 Julai 2019. (Gambar: 8world News/Cai Youxia)

Diterbitkan : 27 Sep 2019 12:31PM Dikemas Kini : 27 Sep 2019 12:34PM

SINGAPURA: Tertuduh yang mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan Orchard Towers diberkas, setelah gagal menghadiri perbicaraan mahkamah selepas dibebaskan dengan ikat jamin dan dibawa ke mahkamah pada Jumaat (27 Sep) di mana dia menghadapi dakwaan baru.

Tan Hong Sheng, 22 tahun, dikenakan tuduhan merusuh dengan empat lelaki lain pada sekitar 3.30 pagi di luar Kelab Secret di 5 Magazine Road pada 9 Ogos 2019.

Dia bersama kesemua lelaki itu dituduh menggunakan keganasan ke atas seorang lelaki berusia 30 tahun dengan menumbuk dan menendang mangsa.

Tan ditangkap pada Khamis (26 Sep), hampir sebulan setelah dia gagal menghadirkan diri ke mahkamah untuk perbicaraan lanjut kesnya.

Tertuduh muncul di Mahkamah Negara dalam tahanan polis dan dilihat memakai baju berwarna hitam.

Pihak pendakwa memohon agar dia ditahan reman selama seminggu dengan kebenaran untuk dibawa keluar bagi siasatan dan ke tempat kejadian.

Peguam bela Josephus Tan berkata mereka mencatatkan pada perbicaraan terakhir bahawa beliau masih berkhidmat selaku peguam Tan walaupun tertuduh melarikan diri.

Apabila Hakim Daerah Terence Tay bertanya Tan jika dia masih berniat untuk mengambil Encik Tan sebagai peguamnya, tertuduh berkata: "Ya, yang arif. Bolehkah saya bercakap dengan peguam saya?"

"Bukan pada masa ini,"jawab hakim, menangguhkan kes Tan untuk sebutan lanjut pada 4 Okt.

Tan pada asalnya didakwa bersama lima lelaki dan seorang wanita atas pembunuhan dengan niat sama.

Tuduhan Tan kemudiannya dikurangkan kepada bersubahat dengan salah seorang tertuduh, Tan Sen Yang, di Kelab Naughty Girl pada 2 Julai. Tan didakwa mempunyai pisau karambit lipat iaitu pisau melengkung yang kecil bersamanya pada waktu itu.

Mangsa 31 tahun, Satheesh Noel Gobidass, meninggal dunia di hospital menyusuli insiden di Orchard Towers tersebut.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita