Kes pembunuhan kejam 'One-Eyed Dragon' dihidupkan semula di pameran SPF200
Anda masih ingat lagi kes pembunuhan kejam oleh 'One-Eyed Dragon' pada 2006 di Serangoon, di mana seorang gengster menembak mati mangsa dengan lima das tembakan? Kes yang pernah menggemparkan Singapura itu adalah antara 10 kes yang dibongkar semula dalam pameran anjuran SPF.

SINGAPURA: Anda masih ingat lagi kes pembunuhan kejam oleh 'One-Eyed Dragon' pada 2006 di Serangoon, di mana seorang gengster menembak mati pemilik kelab malam dengan lima das tembakan?

(Gambar: Syawal Yusoff/BERITAmediacorp)
Tapak kejadian jenayah pembunuhan yang mengerikan itu membabitkan penjenayah bernama Tan Chor Jin, atau gelarannya 'One-Eyed Dragon' direka semula dalam pameran SPF200.
Kes yang pernah menggemparkan Singapura itu juga adalah antara 10 kes yang dibongkar semula dalam pameran anjuran Pasukan Polis Singapura (SPF).
Orang ramai kini boleh menyelami kes tersebut menerusi satu permainan interaktif, di mana mereka boleh mainkan peranan menjadi pegawai penyiasat untuk menyelesaikan kes tersebut.

Kru BERITAmediacorp sempat bertemu empat mata dengan Superintendan (Supt) Abdul Halim Osman, 55 tahun iaitu salah seorang pegawai penyiasat dari Bahagian Siasatan Khas CID yang berjaya menangkap 'One-Eyed Dragon' dalam masa 10 hari pembunuhan dilakukan.
"Saya rasa kes ini unik. Ia juga sesuai untuk dikongsi dengan orang ramai. Sekurang-kurangnya mereka faham bagaimana kes ini berlaku dan bagaimana ia ditangani secara profesional sehingga kami berjaya menangkap pesalah itu," kata Supt Abdul Halim yang sudah berkhidmat dengan SPF sejak 1985.
SETIA KEPADA SPF, PESARA POLIS BERBAKTI SEMULA SEBAGAI PEMANDU PAMERAN
Anggota polis veteran, Stesen Inspektor Kanan 2 (SSI2) Nasir Said pula orang yang perlu anda jumpa, jika ingin dengar kisah-kisah "hell riders" - iaitu pelumba-pelumba motosikal haram pada tahun-tahun 70-an dan 80-an.
Penunggang tersebut disifatkan sebagai 'dahsyat' oleh mantan pegawai polis trafik ini yang pernah berkhidmat selama 45 tahun dalam SPF.
Walaupun kini sudah bersara, pengalaman dan pelbagai kisah yang beliau lalui akan dihidupkan semula menerusi peranannya selaku 'pemandu pameran' di SPF200.

"Saya akan mengongsikan pengalaman yang saya lihat, kemalangan yang dahsyat, tragedi dimana keluarga-keluarga yang datang menangis di tempat kemalangan apabila melihat saudara mara atau keluarga yang terlibat dalam kemalangan itu.
"Kadang-kadang kalau kita mengiringi VIP, kadang-kadang 3-4 hari tak balik, duduk di hotel tunggu VIP. Jadi ini pengalaman yang sungguh berharga," kata Encik Nasir yang mula berkhidmat sejak 1972.
Bapa kepada tiga cahaya mata itu bercita-cita menggunakan platform ini untuk memberikan peringatan kepada para pengunjung kepentingan keselamatan.
Pesanan beliau: "Saya boleh nasihatkan mereka, cuba patuhi undang-undang, jalan tak perlu kelam kabut. Kita bawa motor, pandu dengan berhati-hati, patuhi undang-undang yang sedia ada memang untuk menolong kita membawa dengan lebih selamat."
Orang ramai yang berminat untuk menyertai lawatan percuma kendalian Encik Nasir serta pegawai polis pesara lain, boleh mendaftar di laman ini: https://go.gov.sg/spf200exhibition
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.