Kes pemandu Maserati seret pegawai polis trafik sejauh 124 meter dibicarakan
Pemandu Maserati yang dituduh tidak memberhentikan keretanya meskipun diarahkan supaya berbuat demikian oleh seorang pegawai polis trafik dan sebaliknya mengheret pegawai itu sejauh sekitar 124 meter, dihadapkan ke mahkamah pada Khamis (3 Okt).
Lee Cheng Yan berdepan dengan 23 tuduhan. (Gambar: Jason Quah/TODAY)
SINGAPURA: Pemandu Maserati yang dituduh tidak memberhentikan keretanya meskipun diarahkan supaya berbuat demikian oleh seorang pegawai polis trafik dan sebaliknya mengheret pegawai itu sejauh sekitar 124 meter, dihadapkan ke mahkamah pada Khamis (3 Okt).
Lee Cheng Yan, 35 tahun, berdepan dengan 10 tuduhan termasuk sengaja menyebabkan kecederaan pada seorang pegawai perkhidmatan awam.
Dalam hujah pembukaannya hari ini (3 Okt), pihak pendakwa berkata Lee gagal memberhentikan kenderaannya atau membantu pegawai yang mengalami kecederaan yang akan terus menjejasnya sehingga ke hari ini.
Lee memandu keretanya dengan laju dan secara cuai tanpa berhenti meskipun lampu trafik merah menyala, meninggalkan kereta Maseratinya dan membuang baju kemeja yang dipakainya semata-mata untuk melarikan diri daripada polis, kata Timbalan Pendakwa Raya Timotheus Koh.
Insiden itu berlaku pada 17 November 2017.
Mahkamah diberitahu bahawa pada masa itu, tertuduh sudah diharamkan daripada memandu. Dia baru sahaja mengambil sebuah komputer riba daripada seorang lelaki di Bedok Reservoir Road apabila pegawai berkenaan mendapati dia memandu tanpa memakai tali pinggang keledar.
SAYA BERTERIAK KEPADANYA SUPAYA BERHENTI, KATA MANGSA
Mangsa, Staf Sarjan Khairulanwar Abd Kahar, memberikan keterangan di kandang saksi tengah hari tadi (3 Okt) berhubung insiden tersebut.
Staf Sarjan Khairulanwar berkata beliau sedang dalam perjalanan pulang ke ibu pejabat selepas menangani kes kemalangan jalan raya di Eksprewe Rentas Pulau (PIE) apabila beliau ternampak Lee tidak memakai tali pinggang keledar ketika memandu keretanya di Bedok Reservoir Road.
Staf Sarjan Khairulanwar cuba mengarahkan Lee supaya menghentikan kenderaannya beberapa kali, namun Lee hanya melakukan demikian apabila lampu trafik bertukar kepada warna merah.
"Saya memberhentikan motosikal saya di depannya sebelum turun daripada motosikal," katanya. "Saya terus berjalan ke arah pintu pemandu."
Lampu trafik kemudian bertukar menjadi hijau dan para pemandu terus memandu kereta.
"Secara tiba-tiba, dia melencong ke arah kanan dan melanggar saya," kata pegawai itu. "Lengan kiri saya masuk ke dalam tingkapnya dan dia tiba-tiba mula memecutkan keretanya dengan selaju mungkin."
Lengan kirinya tersepit antara tali pinggang keledar Lee dan tempat duduk keretanya. Pegawai itu juga tidak dapat mengimbangkan dirinya kerana diheret sedang Lee terus memandu.
"Saya berteriak supaya berhenti tetapi dia terus memandu keretanya," kata pegawai itu.
Pegawai itu akhirnya berjaya melepaskan dirinya dan beliau diberikan cuti sakit selama lebih 20 hari kerana mengalami kecederaan pada lutut, leher dan bahagian belakang tubuh.
Lembaga Perubatan Home Team juga menurunkan tahap kecergasannya akibat kecederaan yang dialaminya, yang "terus menjejas tugas yang dapat dilakukannya sebagai seorang pegawai polis trafik," kata pihak pendakwa raya.
Bagi tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan serius terhadap seorang pegawai perkhidmatan awam sehingga mencegahnya daripada melakukan tugasnya, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara maksimum selama 15 tahun, didenda atau dirotan.
Kes itu akan terus dibicarakan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.