Kes pemandu Bentley di Sekolah Red Swastika: Lelaki 61 tahun akan didakwa atas tindakan melulu menyebabkan kecederaan
SINGAPURA: Seorang lelaki 61 tahun dan anak lelakinya yang berusia 28 tahun akan didakwa di Mahkamah pada Rabu (11 Mei) kerana disyaki terlibat dalam kejadian membabitkan sebuah kereta Bentley di Sekolah Red Swastika pada permulaan tahun ini.
Dalam satu kenyataan media bersama yang dikeluarkan polis dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Selasa malam (10 Mei), pihak berkuasa menyatakan polis menerima aduan pada 11 Januari sekitar 11.40 pagi tentang kes membabitkan seorang pemandu kereta yang didakwa membahayakan keselamatan seorang pegawai keselamatan di sekolah tersebut.
Pemandu kereta itu diberkas pada hari yang sama sekitar 3.35 petang.
Lelaki tua itu akan didakwa atas tuduhan bertindak melulu yang menyebabkan kecederaan, dan memandu kenderaan tanpa perlindungan insurans.
Anak lelakinya yang merupakan pemilik kereta itu akan didakwa kerana menukar nombor plat kereta dan membenarkan orang lain untuk menggunakan kenderaan tanpa perlindungan insurans.
Dalam satu rakaman video yang tersebar luas susuli kejadian tersebut, sebuah kereta putih dilihat dilarang masuk ke Sekolah Red Swastika. Pemandu itu memandu keretanya ke hadapan beberapa kali, sekali gus menolak lelaki yang sedang berdiri di hadapan kereta tersebut.
Kesalahan melakukan tindakan secara melulu dan menyebabkan kecederaan membawa hukuman penjara sehingga setahun, denda sehingga S$5,000, atau kedua-duanya sekali.
Mereka yang didapati menukar nombor plat kenderaan boleh dihukum penjara sehingga setahun, denda sehingga S$5,000, atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan menggunakan atau membenarkan kenderaan digunakan tanpa insurans, pesalah berdepan dengan hukuman penjara sehingga tiga bulan, denda sehingga S$1,000, atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, pesalah tidak boleh memegang atau mendapatkan lesen memandu untuk tempoh 12 bulan mulai tarikh hukuman, menurut polis dan LTA.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.