Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kes pemandu Bentley cuba langgar pengawal keselamatan sekolah dirujuk kepada Pendakwa Raya

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pihak polis sudah selesai menjalankan siasatan terhadap seorang pemandu berusia 61 tahun, yang dirakam menerusi video, sedang melanggar seorang pengawal keselamatan sekolah dengan keretanya di Sekolah Red Swastika di Bedok North. 

Demikian menurut Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam di Parlimen pada Isnin (4 Apr).

Menyusuli siasatan tersebut, pihak polis sudah merujuk perkara itu kepada Pendakwa Raya "untuk mengambil tindakan sewajarnya", tambah Encik Shanmugam.

Menteri tersebut memberi jawapan bertulis kepada pertanyaan yang dikemukakan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) Raj Joshua Thomas, yang juga merupakan Presiden bagi Pertubuhan Keselamatan Singapura, semasa perbicaraan minggu ini. 

Mediacorp difahamkan bahawa Pejabat Peguam Negara sedang meneliti perkara tersebut. Di Singapura, Peguam Negara juga merupakan Pendakwa Raya. 

Pemandu yang identitinya tidak didedahkan, mendapat perhatian pada Januari lalu apabila rakaman video tingkah lakunya di sekolah rendah berkenaan tular online. 

Dia kemudian diberkas dan disiasat atas kesalahan menyebabkan kecederaan akibat bertindak secara melulu di bawah Kanun Jenayah. 

Menerusi video tersebut, pemandu itu dilihat memandu kereta Bentley putihnya ke arah seorang pegawai keselamatan di luar pintu masuk sekolah tersebut pada pagi 11 Januari. 

Dia berkelakuan sedemikian meskipun pegawai itu dan seorang lagi kakitangan sekolah melarang kereta tersebut daripada memasuki premis sekolah. 

Kakitangan sekolah itu kemudian bercakap dengan penumpang kenderaan tersebut, yang berdiri di luar kereta. Selepas penumpang itu kembali masuk ke kereta, kenderaan itu mula bergerak ke hadapan, sekaligus memaksa pegawai keselamatan berkenaan untuk undur ke belakang. 

Kesatuan Pekerja Keselamatan (KSE) yang mengenal pasti identiti pegawai keselamatan itu sebagai Encik Neo Ah Whatt, kemudian membuat aduan polis terhadap pemandu tersebut. 

Encik Neo mengalami cedera ringan akibat kejadian tersebut. 

Setiausaha agung KSE, Encik Raymond Chin, menyatakan bahawa pemandu itu mempunyai pas yang sah untuk memasuki premis sekolah itu, namun cuba memotong jalan melalui pintu masuk di mana pegawai keselamatan itu sedang mengawal laluan trafik. 

Encik Chin menyatakan bahawa kelakuan pemandu tersebut membuat beberapa pemandu motor di hadapan berasa kurang selesa. Justeru, pemandu itu cuba memasuki melalui pintu keluar, sebelah pintu masuk. Encik Neo berdiri di hadapan pintu keluar itu untuk menghalangnya daripada memasuki melalui pintu tersebut. 

Sesiapa sahaja yang disabit kesalahan bertindak secara melulu dan menyebabkan kecederaan boleh dipenjara sehingga setahun, didenda sehingga S$5,000 atau kedua-duanya sekali. 

Sumber : Today/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan