Kes pekerja SMRT cedera di landasan: 'Kami akan jaga kakitangan kami' kata CEO
Syarikat SMRT "amat bersedih" atas kemalangan di tempat kerja baru-baru ini yang mengakibatkan seorang kakitangan cedera semasa melakukan kerja-kerja penyenggaraan, menurut CEO SMRT Group Neo Kian Hong pada Jumaat (14 Dis).

CEO SMRT Neo Kian Hong (Gambar: TODAY)
SINGAPURA: Syarikat SMRT "amat bersedih" atas kemalangan di tempat kerja baru-baru ini yang mengakibatkan seorang kakitangan cedera semasa melakukan kerja-kerja penyenggaraan, menurut CEO SMRT Group Neo Kian Hong pada Jumaat (14 Dis).
Bercakap kepada Channel NewsAsia di satu acara previu pusat tukaran bas Choa Chu Kang, Encik Neo berkata bahawa SMRT mengambil kemalangan itu dengan serius.
"Kami amat bersedih atas kemalangan tempat kerja itu," kata beliau. "Siasatan sedang dijalankan dan kami mengambilnya secara serius."
"Atas sebab itu kami menggantungkan kerja buat sementara waktu bagi tujuan keselamatan, untuk memastikan kakitangan kami menghentikan rutin seharian buat seketika dan menyemak kembali semua proses-proses sebelum menyambung khidmat. Begitulah sungguh-sungguhnya kami terhadap hal ini."
Encik Neo berkata beliau melawat pesakit tersebut di hospital.
"Sepanjang dua hari lalu, setiap hari saya berkunjung ke hospital untuk bertemu dengan kakitangan dan ahli keluarga untuk memberi mereka jaminan," kata beliau.
"Tentu sekali ahli keluarga ... risau tentang peluang pekerjaannya selepas ini dan sebagainya," tambah Encik Neo. "Kami memberi jaminan bahawa kami menjaga kakitangan kami."
Pekerja terlibat mengalami kecederaan kaki semasa membuat kerja-kerja penyenggaraan dekat stesen MRT Joo Koon pada awal pagi Rabu.
Tapak kaki kanannya cedera semasa beliau berada di atas landasan menyediakan laluan bagi kenderaan kejuruteraan untuk kembali ke depot selepas selesai kerja-kerja penyenggaraan, menurut SMRT.
Kemalangan yang berlaku pada 4.10 pagi itu menyebabkan khidmat kereta api terganggu antara Gul Circle dan Boon Lay sepanjang Laluan Timur Barat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.