Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kes Parti Liyani: Pegawai siasatan, penyelia 'abaikan tugas', kata K Shanmugam

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 14 Feb 2022 02:12PM Dikemas Kini : 14 Feb 2022 10:43PM

SINGAPURA: Siasatan dalaman mendapati kedua-dua pegawai siasatan polis dan penyelianya yang terlibat dalam kes Cik Parti Liyani "mengabaikan tugas mereka". 

Demikian menurut Menteri Ehwal Dalam Negeri dan Undang-undang, K Shanmugam di Parlimen pada Isnin (14 Feb). Beliau menjawab pertanyaan daripada Anggota Parlimen Zhulkarnain Abdul Rahim (PAP-Chua Chu Kang) bagi perkembangan siasatan dalaman terhadap pegawai-pegawai polis yang terbabit dalam kes Cik Parti Liyani. 

Cik Parti didapati bersalah pada Mac 2019 kerana mencuri barangan bernilai lebih S$30,000 daripada bekas pengerusi Changi Airport Group Liew Mun Leong dan keluarganya. 

Namun, beliau dibebaskan pada 4 September 2020 apabila rayuannya didengar Mahkamah Tinggi.


"Mengabaikan tugas bermakna gagal untuk mengambil tindakan yang betul semasa menjalankan tugas berkenaan," kata Encik Shanmugam. 

Pegawai siasatan yang mengendalikan aduan polis mengendalikannya sebagai kes pencurian yang biasa, namun, terdapat beberapa kelemahan, kata menteri tersebut lagi. 

Pegawai siasatan itu tidak pergi ke tempat kejadian "dengan segera" untuk menjalankan siasatan dan mengumpul bukti. 

Tambah Encik Shanmugam, pegawai itu juga tidak "mengesahkan dengan betul" beberapa dakwaan yang dibuat pihak-pihak terlibat semasa siasatan. 

Penyelianya juga tidak memberikan "bimbingan yang mencukupi" sekali gus menyumbang kepada kelemahan tersebut, katanya. 

Hukuman bagi mengabaikan tugas bergantung kepada setakat mana pegawai itu bersalah, dan akibat daripada tingkah lakunya, menurut Encik Shanmugam, sambil menambah ia merangkumi teguran atau denda, hingga diturunkan pangkat dan dipecat.

Denda kewangan yang jumlahnya dalam "lingkungan pertengahan" dikenakan ke atas kedua-dua pegawai kerana mengabaikan tugas mereka. Kenaikan gaji mereka buat beberapa bulan juga dipotong, kata Encik Shanmugam, namun, ia berbeza-beza bagi kedua-dua pegawai tersebut. 

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, yang bertanggungjawab terhadap tindakan disiplin ke atas kakitangan awam bersetuju dengan hukuman yang diberikan kepada dua pegawai itu, tambah Encik Shanmugam.

Pejabat Ehwal Dalaman polis juga mengambil kira bahawa pegawai siasatan itu bertugas di bawah "tekanan luar biasa", kata Encik Shanmugam. 

Pegawai tersebut mengendalikan banyak kes siasatan lain, dakwaan dan melakukan operasi penangkapan pada masa yang sama, tambahnya. 

"Saya pernah bercakap tentang tekanan akibat  beban kerja yang dihadapi pegawai siasatan polis. Satu-satunya cara mengatasi cabaran ini ialah dengan menambah jumlah pegawai polis. Namun, kami belum menghuraikan lagi isu tersebut. Ia adalah suatu masalah yang sukar, bukan mudah dihuraikan, kerana secara amnya kita kekurangan tenaga kerja," katanya. 

Sebelum insiden tersebut, pegawai dan penyelia berkenaan melaksanakan tugas mereka "dengan bertanggungjawab", kata Encik Shanmugam. 

"Saya bersimpati dengan keadaan yang mereka lalui ini. Namun, mereka tidak menepati jangkaan yang ditetapkan. Dan kes mereka dikendalikan sebagaimana pegawai-pegawai lain akan ditangani, dalam situasi yang sama," katanya. 

Denda kewangan maksimum yang dikenakan di bawah Arahan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (Tugas Disiplin) ialah jumlah kenaikan gaji mereka selama dua tahun dihentikan, menurut Encik Shanmugam. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan