Skip to main content

Singapura

Kes Parti Liyani: Karl Liew disiasat kerana mungkin lakukan kesalahan jenayah termasuk berbohong

Karl Liew, anak lelaki mantan pengerusi Changi Airport Group Liew Mun Leong, disiasat atas kemungkinan melakukan kesalahan jenayah termasuk berbohong, menurut Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam kepada Parlimen pada Rabu (4 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Kes Parti Liyani: Karl Liew disiasat kerana mungkin lakukan kesalahan jenayah termasuk berbohong

Parti Liyani. (Gambar: Hanidah Amin)

Diterbitkan : 04 Nov 2020 06:00PM Dikemas Kini : 04 Nov 2020 06:05PM

SINGAPURA: Karl Liew, anak lelaki mantan pengerusi Changi Airport Group Liew Mun Leong, disiasat atas kemungkinan melakukan kesalahan jenayah termasuk berbohong, menurut Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam kepada Parlimen pada Rabu (4 Nov).

"Karl disiasat bagi menentukan sama ada beliau sudah melakukan sebarang kesalahan jenayah, termasuk berbohong," menurut Encik Shanmugam dalam kenyataan menteri yang disampaikannya di Parlimen berhubung kes bekas pembantu rumah warga Indonesia, Parti Liyani.

"Siasatan sudah selesai dijalankan. Satu kenyataan akan dikeluarkan pada lewat petang ini berdasarkan siasatan yang dijalankan."

Berbohong dalam kes ini adalah memberikan keterangan palsu kepada mahkamah.

Cik Parti didapati bersalah pada Mac tahun lalu oleh sebuah mahkamah rendah atas tuduhan mencuri S$34,000 daripada Encik Liew dan keluarganya tetapi keputusan itu dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi pada 4 Sep.

Berdasarkan pengadilan Hakim Chan Seng Onn, beliau menggariskan beberapa isu berhubung dapatan pada hukuman bersalah terhadap Cik Parti dan bagaimana kes tersebut ditangani.

Khususnya, Mahkamah Tinggi menarik perhatian kepada bukti yang dikemukakan oleh Karl yang dianggap tidak boleh dipercayai. Maka itu, mahkamah tidak menimbangkan bukti tersebut.

TIDAK KONSISTEN

Mahkamah Tinggi juga meragui keterangan Karl berhubung beberapa barangan yang kononnya adalah miliknya. Barangan itu diberikan kepada Cik Parti.

Sebagai contoh, Mahkamah Tinggi menyatakan bahawa Karl tidak menyatakan dengan jelas mengenai sesetengah pakaian seperti pakaian wanita berwarna hitam yang berada dalam simpanannya dan mengalami kesulitan berhubung pakaian lain seperti blaus berwarna merah.

"Mahkamah Tinggi meragui dakwaan Karl yang mengatakan bahawa beliau memakai kemeja-T wanita," kata Encik Shanmugam.

Apabila Karl memberikan keterangan yang mendakwa bahawa dompet Gucci dan dompet Braun Buffel adalah miliknya dan adalah hadiah daripada keluarganya, tiada seorang pun anggota keluarganya yang boleh ingat mengenai dompet-dompet itu, dedah Encik Shanmugam.

"Mahkamah Tinggi tidak percaya pada keterangannya dan berpendapat bahawa beliau tidak bercakap benar," kata Encik Shanmugam.

Mahkamah Tinggi juga tidak percaya pada keterangannya yang mendakwa bahawa jam tangan Helix adalah pemberian daripada bapanya, kata Encik Shanmugam sambil menambah bahawa Encik Liew sendiri menafikan bahawa beliau memiliki jam tersebut.

"Karl berkata pisau berwarna merah jambu yang menurut beliau dibeli sebelum 2002 mungkin dihasilkan selepas tarikh tersebut," kata Encik Shanmugam.

"Mahkamah Tinggi menyatakan bahawa ini menjejas kewibawaan Karl dan tuntutannya terhadap hak milik barangan itu."

Encik Shanmugam turut mendedahkan bahawa Mahkamah Tinggi juga tidak percaya pada bukti yang mendakwa bahawa Karl membeli cadar dari Habitat di UK dan menurut Encik Shanmugam, Mahkamah Tinggi berpendapat bahawa 'keterangan Karl dibuat-buat'.

"Cadar itu mempunyai corak yang sama dengan penutup selimut yang mempunyai label IKEA," kata Encik Shanmugam. "Isteri Karl, juga memberi keterangan yang menyatakan bahawa beliau belum pernah ternampak cadar itu di atas katil biliknya."

"SIKAP SANTAI MENGENAI PERKARA PENTING"

Menyusuli kes ini, Encik Shanmugam berkata Pejabat Peguam Negara sudah memutuskan bahawa ia akan "menimbangkan dengan serius" sama ada perlu ada siasatan lebih lanjut atau prosiding terhadap kesalahan-kesalahan serius yang dikenal pasti dalam penemuan yang dikeluarkan semasa proses undang-undang.

Menurut Encik Shanmugam, Karl sudah memberikan keterangan mengenai sama ada barang-barangan yang dibangkitkan oleh Mahkamah Tinggi berada dalam simpanannya dan 'penjelasan tidak konsisten' Karl berhubung barang-barangan itu dalam perbicaraan kes tersebut.

Menurut Encik Shanmugam lagi, Karl memberikan 'jawapan tidak konsisten' bagi sesetengah soalan dan bagi beberapa contoh, keterangan daripada salah seorang anggota keluarga Liew sama ada bercanggah atau berbeza dengan bukti yang dikemukakan oleh seorang lagi anggota keluarga.

"Terdapat banyak aspek tingkah laku Karl dan bukti yang dikemukakannya ... yang sangat tidak memuaskan, yang menimbulkan keraguan, berdasarkan apa yang dikatakannya dalam perbicaraan di mahkamah," kata Encik Shanmugam. "Beliau nampaknya bukan saksi yang boleh dipercayai."

Encik Shanmugam turut menarik perhatian bahawa terdapat pertikaian pada nilai sesetengah barangan, sambil mengatakan bahawa saksi pakar ada menyatakan bahawa sesetengah jam tangan sama ada palsu atau tidak bernilai.

"Keterangan ini tidak bertentangan secara langsung," tegas beliau.

Encik Shanmugam berkata Karl juga ada mengatakan bahawa sebilangan barangan dibuang dalam tong sampah, sekali gus membayangkan bahawa barang-barangan mahal seperti beg-beg berjenama dibuang di tong sampah di Singapura.

"Hujahnya ialah Cik Parti Liyani mungkin menjumpai, sebagai contoh, beg Prada dan barang kemas yang (anak perempuan Encik Liew) May mendakwa adalah miliknya, di dalam tong sampah," tambah Encik Shanmugam.

Apabila membuat aduan polis, membuat tuntutan kata Encik Shanmugam, terhadap barang-barangan perlu diberikan perhatian yang serius.

"Tidak semestinya memberikan butiran yang sangat terperinci, asalkan ia dilakukan dengan pertimbangan yang teliti," kata Encik Shanmugam.

"Berdasarkan bukti yang dikumpulkan, gambaran yang dipaparkan adalah sikap santai mengenai perkara penting dalam keluarga Encik Liew, seperti dengan cara sebilangan barang yang dikenal pasti menjadi milik mereka dan dengan cara nilai diberikan kepada sesetengah barang." 

Sumber : CNA/AW/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita