Kes pandu bertentangan trafik di AYE: Lelaki dipenjara 1 tahun; dilarang memandu 12 tahun
Seorang lelaki yang memandu keretanya bertentangan trafik di Lebuh Raya Ayer Rajah (AYE) tiga tahun lalu, hari ini (25 Nov) dijatuhi hukuman penjara setahun.
Seorang pemandu maut dalam kemalangan berbilang kenderaan di AYE pada 2016. (Gambar: Nurul Zaidy/Facebook)
SINGAPURA: Seorang lelaki yang memandu keretanya bertentangan trafik di Lebuh Raya Ayer Rajah (AYE) tiga tahun lalu, hari ini (25 Nov) dijatuhi hukuman penjara setahun.
Lim Chai Heng juga dilarang memandu selama 12 tahun.
Tindakannya memandu bertentangan trafik sejauh hampir 2 kilometer dari Pusat Pemeriksaan Tuas, pada 2016 itu menyebabkan seorang terkorban dan empat cedera.
Menurut penghakiman Pesuruhjaya Kehakiman Vincent Hoong, Lim mengalami masalah psikosis akut semasa berlaku insiden tersebut.
Lelaki berusia 56 tahun itu, mengaku bersalah atas tuduhan menyebabkan kematian akibat perbuatan terburu-buru.
Lagi empat tuduhan kerana menyebabkan kecederakan atau kecederaan teruk akibat tindakan terburu-buru sehingga membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain juga dipertimbangkan semasa perbicaraan.
"JANGAN TAKUT, SAYA TAHU JALANNYA"
Pada Disember 2016, hari kejadian tersebut, Lim sedang memandu anak lelakinya ke tempat kerja di Pangkalan Tenaga Manusia Pusat (CMPB) di Depot Road, menurut mahkamah. Ia merupakan hari pertama anaknya bekerja.
Lim memandu dari rumahnya di Hougang sepanjang Ekspreswe Central (CTE) menghala ke AYE. Setelah melepasi susur keluar Braddel Road, anak Lim bertanya mengapa dia tidak mengikuti susur keluar di CTE bagi mengelak bayaran ERP.
"Jangan takut, saya tahu jalannya," kata Lim.
Namun, Lim terus memandu ke AYE dan menambah kelajuan kereta sehingga sekitar 100 kilometer sejam.
"Dia tidak keluar dari AYE meski ada 14 susur keluar hingga tiba di hujung AYE di Pusat Pemeriksaan Tuas setelah memandu sejauh kira-kira 23 kilometer di AYE," menurut penghakiman itu.
"Pada waktu ini, dia sudah jauh tersasar daripada destinasi yang hendak dituju."
Lim kemudian memandu ke lorong motosikal di Pusat Pemeriksaan Tuas dan hanya berhenti apabila lorong itu terlalu sempit untuk dilalui keretanya.
Lim kemudian "perlahan-lahan cuba membuat pusingan tiga penjuru" dan mula memandu bertentangan arah trafik, dengan motosikal terpaksa berhenti apabila melihat keretanya, menurut penghakiman itu.
Lim akhirya kembali ke lorong kereta namun terus memandu bertentangan trafik menerusi jejambat Pelepasan Pusat Pemeriksaan Tuas dan terus ke AYE semula.
Ketika itu, Lim memandu di lorong pertama dan dihampiri kenderaan yang dipandu Tan Han Boon.
Tan cuba mengelak dan bertembung dengan sebuah bas di lorong sebelah. Kereta Tan juga berpusing di hadapan bas tersebut dan melanggar tembok.
Kereta Lim kemudian bertembung dengan sebuah lagi kereta di lorong pertama, menyebabkannya masuk ke lorong ketiga dan merempuh tembok konkrit.
Pemandu kereta Toyota Vios itu, yang merupakan pelakon Jackie Liong Kuo Hwa, disahkan mati di tempat kejadian, manakala isterinya mengalami beberapa keretakan tulang dan perlu menjalani pembedahan.
Selepas pertembungan itu, kereta Lim merempuh sebuah motosikal menyebabkan penunggangnya, Teh Tze Yong dan isteri Choo Yat Chiam tercampak ke jalan raya.
Kereta Lim hanya berhenti setelah merempuh tembok konkrit.
Kedua-dua Encik Teh dan Cik Choo mengalami beberapa keretakan dan perlu menjalani pembedahan, manakala Encik Tan mengalami luka-luka.
MENGALAMI PSIKOSIS AKUT
Ketika insiden itu, Lim mengalami masalah psikosis akut menjejas pertimbangannya, menurut laporan Dr Jerome Goh, Perunding Kanan dan Ketua Jabatan Psikiatri Am dan Forensik di Institut Kesihatan Mental, yang menjalankan penilaian ke atas Lim.
Sehari sebelum insiden, Lim dilaporkan berasa dirinya seolah-olah "dikawal oleh Tuhan" dan dia mendengar suara-suara yang tidak didengar orang lain.
Pada hari kejadian, Lim berkata dia berasa dirinya "tidak dibenarkan" melalui susur keluar berdekatan tempat kerja anaknya.
Dia memberitahu anaknya bahawa "hari ini Tuhan tidak membenarkan kamu pergi kerja".
Sekalipun demikian, Lim tidak didapati tidak waras dan menyedari "apa yang dilakukan", termasuk memandu bertentangan arah trafik, menurut pesuruhjaya kehakiman.
Hakim Hoong menambah meskipun hukumannya kelihatan tegas, beliau menekankan bahawa terdapat kematian dan "banyak yang cedera parah" akibat insiden tersebut.
"Penilaian saya terhadap prinsip-prinsip berkenaan membawa kepada kesimpulan bahawa ini adalah hukuman paling wajar setelah menimbangkan keseluruhan keadaan dalam kes yang rumit dan malang ini," kata beliau.
"Di tengah-tengah berbagai kecederaan yang berlaku, seorang juga terkorban."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.