Kes pancingan data OCBC: Polis bertindak padam laman web palsu, kesan wang tunai yang hilang
Gambar: CNA/Calvin Oh
SINGAPURA: Timbalan Penolong Pesuruhjaya Polis (DAC) Aileen Yap masih ingat lagi peristiwa pada awal Disember tahun lalu, apabila aduan mengenai penipuan pancingan data akaun OCBC menerusi SMS mula diterima.
Sepanjang tempoh itu, satu atau dua laporan dibuat dalam sehari kata DAC Yap, yang juga penolong pengarah Divisyen Anti-Penipuan.
Jumlah aduan naik mendadak menjelang Krismas dan seterusnya, kata beliau.
"Apabila semua aduan ini masuk, akaun bank (mangsa)yang berkaitan juga perlu diperiksa, kata Penolong Superintendan Polis (ASP) Lim Min Siang, pegawai penyiasat kanan divisyen itu, kepada wartawan semasa taklimat di Pusat Anti-Penipuan pada Khamis (27 Jan).
Polis mengumumkan pada 30 Disember, sekurang-kurangnya S$8.5 juta hangus dalam kes penipuan pancingan data menerusi SMS yang menyamar sebagai OCBC pada bulan itu, dengan 469 pelanggan menjadi mangsa sejak 1 Dis.
Antara 8 Dis dengan 17 Dis, 26 pelanggan melaporkan mereka hilang hampir S$140,000 kepada penipuan pancingan data itu, menurut OCBC. Serangan itu menjadi semakin "agresif" semasa hujung minggu Krismas tambah bank itu, dengan 186 pelanggan kehilangan sekitar AS$2.7 juta (S$3.6 juta) dari 24 Dis hingga 26 Dis.
BACA: Pelanggan OCBC hangus S$8.5 juta dek muslihat pancing data
ASP Lim berkata pada Khamis keutamaan pegawanya ialah untuk memadam laman web pancingan data berkenaan.
Siasatan terhadap kes penipuan pancingan data itu masih dijalankan oleh pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah (CID).
Satu lagi tugas mendesak ialah untuk mengesan wang tunai yang hilang, kata beliau dengan wang itu dipindahkan ke beberapa akaun berlainan untuk mengelak daripada dikesan.
Polis berjaya mendapatkan kembali wang tunai yang dipindahkan ke luar negara, namun ini tidak terjamin, terutamanya dengan sesetengah negara mungkin memerlukan mangsa melalui proses undang-undang yang rumit dan mahal.
Meskipun wang itu tidak dipindah keluar dari Singapura, DAC Yap berkata mengesannya "bukan kerja yang mudah". Beliau menekankan bahawa penipu akan "memecahkan" dana itu kepada jumlah lebih kecil yang dimasukkan ke pelbagai akaun bank.
Atas sebab itu polis membekukan secepat mungkin akaun bank mereka disyaki menjadi "keldai wang" yang membantu memindahkan wang diperoleh hasil penipuan.
Pada 26 Dis tahun lalu, yang kebetulan jatuh pada hari Ahad, polis bekerjasama dengan pihak bank untuk menjejaki wang yang hilang dalam kes penipuan OCBC, kata DAC Yap.
ASP Lim berkata bank juga ada cabaran sendiri dan ia boleh menjejas siasatan polis.
"Jika kami inginkan maklumat dan mereka tidak boleh memberikan maklumat itu atau mengambil masa untuk memberikan maklumat berkenaan, ia akan menyebabkan proses analisa dan siasatan terpaksa megambil masa lebih lama," kata beliau.
Menurut DAC Yap meskipun bank tempatan komited dalam memberikan maklumat dan "banyak sokongan", sebahagian daripada wang itu sudah disalurkan ke tempat lain.
"Tugas kita ketika itu adalah untuk mendapatkan semula dana, malah sehingga ke hari ini. Namun, siasatan masih dijalankan. Kami belum lagi putus asa kerana kami melihat rakan kerja CID kami masih bekerja keras mengendalikannya."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.