Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kes mingguan denggi 'kekal tinggi', kata NEA

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 05 Dec 2022 06:36PM Dikemas Kini : 05 Dec 2022 09:09PM
SINGAPURA: Sebanyak 200 hingga 300 kes denggi dilaporkan setiap minggu di Singapura ketika ini, satu angka yang masih dianggap "tinggi" bagi tahun ini.

Demikian menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada Isnin (5 Dis).

Jumlah kes itu adalah kira-kira 20 peratus lebih tinggi daripada purata kes yang dilaporkan bagi tempoh yang sama dari 2019 hingga 2021.

Ini meskipun jumlah mingguan merosot sekitar 80 peratus daripada tahap kemuncaknya pada Mei lalu.

Setakat Jumaat (2 Dis) lalu, sebanyak 30,969 kes denggi dilaporkan tahun ini iaitu hampir enam kali ganda jumlah kes yang dicatatkan pada 2021.

Ia juga sekitar 90 peratus daripada jumlah kes yang dicatatkan pada 2020.

"Kes denggi yang meningkat dengan banyaknya buat masa ini, boleh menyebabkan Singapura memasuki tahun berikutnya dengan jumlah kes denggi yang sangat besar," kata NEA.

Tambahnya lagi, keadaan itu seakan yang berlaku pada 2019 dan 2021, apabila jumlah kes denggi yang tinggi pada hujung tahun menyebabkan penularan yang besar di Singapura.

NEA menggesa orang ramai supaya kekal berwaspada dan membuang air bertakung untuk membasmi habitat pembiakan nyamuk bagi mengurangkan lagi risiko penularan denggi.

NEA turut menggesa ramai supaya memastikan rumah mereka dicegah daripada kemungkinan pembiakan nyamuk sebelum mereka ke luar negara, terutama sekali menjelang musim cuti hujung tahun ini.

NEA menekankan bahawa pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan para penasihat akar umbi dan sukarelawan masyarakat untuk menasihatkan penduduk mengenai usaha pencegahan denggi.

BAKI KELOMPOK YANG ADA

Setakat Jumaat lalu, NEA sudah menutup 2,959 daripada 3,028 kelompok, iaitu sekitar 97 peratus daripada kelompok yang dimaklumkan sejak permulaan 2022.

Terdapat baki 69 kelompok denggi, dengan kelompok-kelompok yang mempunyai kadar penularan denggi yang pantas, yang masih wujud. Ini termasuk kelompok di Pasir Ris Street 71 dengan 37 kes denggi dan kelompok di Jurong East Avenue 1 dengan 19 kes denggi.

Menurut NEA, kebanyakan habitat pembiakan nyamuk di kelompok-kelompok denggi dikesan di sekitar tempat kediaman.

NEA melakukan kira-kira 841,000 pemeriksaan kes denggi di sekitar Singapura, termasuk sekitar 5,200 pemeriksaan di tapak binaan.

Sekitar 21,300 tempat pembiakan nyamuk Aedes dikesan setakat 26 November lalu. NEA juga mengeluarkan denda kepada 3,500 isi rumah semasa tempoh yang sama kerana membiarkan pembiakan nyamuk berlaku di rumah mereka.

Sejak penguatkuasaan hukuman berat ke atas kediaman pada 15 Julai 2020, NEA mengesan beberapa tempat pembiakan nyamuk di 1,470 premis kediaman yang diperiksa, dan tempat pembiakan nyamuk yang berulang di sekitar 1,890 kediaman.

Agensi tersebut juga mengeluarkan 119 arahan berhenti kerja kepada tapak-tapak binaan dan mendakwa 61 kontraktor di mahkamah disebabkan pembiakan nyamuk dan pengurusan kawasan yang kurang baik.

Sebanyak 16 kontraktor diberikan arahan berhenti kerja berulang kali kerana pengurusan tapak binaan yang kurang baik.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan