Skip to main content

Singapura

Kes Megan Khung: Pemerintah mohon maaf kepada agensi khidmat sosial 'tuding jari' dalam kenyataan awal

Anggaran Waktu Membaca:
Kes Megan Khung: Pemerintah mohon maaf kepada agensi khidmat sosial 'tuding jari' dalam kenyataan awal
Menteri Bertanggungjawab bagi Integrasi Khidmat Sosial Desmond Lee menjawab soalan mengenai kes Megan Khung di parlimen pada 5 November 2025
Diterbitkan : 05 Nov 2025 06:40PM Dikemas Kini : 05 Nov 2025 09:57PM
SINGAPURA: Pemerintah memohon maaf kepada Beyond Social Services dan agensi-agensi lain atas salah faham kerana dikatakan "menuding jari" apabila Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) membuat kenyataan awalnya mengenai kes Megan Khung pada April, menurut Menteri Bertanggungjawab bagi Integrasi Khidmat Sosial Desmond Lee pada Rabu (5 Nov).

Encik Lee, yang juga Menteri Pendidikan, berucap di parlimen semasa menjawab soalan mengenai kes penderaan kanak-kanak yang membawa maut itu.

Megan, yang berusia empat tahun, meninggal dunia pada 2020 selepas didera ibunya dan teman lelaki ibunya selama beberapa bulan. Pasangan itu dijatuhi hukuman pada April.

Pada April, MSF menyatakan bahawa agensi khidmat sosial Beyond Social Services, yang mengendalikan prasekolah yang dihadiri Megan, tidak memberi perincian penuh mengenai betapa teruknya kecederaan yang dialaminya dalam laporannya kepada Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA).

MSF menyatakan bahawa ini membawa kepada "campur tangan yang tidak mencukupi".

Laporan susulan oleh panel semakan, yang diterbitkan pada Oktober, menemukan kelemahan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk Perkhidmatan Perlindungan Kanak-kanak MSF dan polis, serta pekerja sosial.

Pada Rabu, Anggota Parlimen Cai Yinzhou (PAP-Bishan-Toa Payoh) bertanya kepada Encik Lee tentang laporan media awal mengenai kes tersebut, yang beliau kata "menyalahkan" agensi perkhidmatan sosial yang terlibat.

Encik Cai berkata ia mendorong pekerja sosial untuk bersuara tentang "persepsi" itu.

Encik Lee berkata perlu ada keseimbangan antara menyatakan fakta tentang apa yang berlaku dan mengekalkan keutuhan sektor khidmat sosial.

"Tujuannya adalah untuk merenung apa yang berlaku dan melihat bagaimana jurang tersebut boleh ditutup. Jadi tidak ada dan tidak seharusnya ada niat untuk menuding jari," kata menteri itu.

"Pada masa yang sama, orang ramai mengharapkan kebertanggungjawaban dan penjelasan fakta. Itulah yang berlaku dengan laporan panel bebas, dan kita telah membaca laporan itu dan melihat apa yang berlaku.

"Jadi sehingga wujud salah faham terdapat penudingan jari, kami telah memohon maaf kepada agensi-agensi berkaitan termasuk Beyond Social Services atas salah faham yang telah berlaku. Ia bukan niat kami, tetapi jika ia dilihat seperti sebegitu rupa, kami juga telah memohon maaf," kata Encik Lee.
SEMAKAN LANJUT SELEPAS MAKLUMAT BAHARU DIKEMUKA

Anggota Parlimen Xie Yao Quan (PAP-Jurong Central) bertanya kepada Encik Lee mengapa pemerintah memutuskan untuk menjalankan semakan lanjut kes Megan hanya selepas April.

Encik Lee menyatakan bahawa pada 2020, tahun Megan meninggal dunia, pertubuhan-pertubuhan yang terlibat dalam kes tersebut menjalankan semakan dalaman serta semakan dua hala dengan MSF.

"Namun pada 2025, semasa dan selepas hukuman dijatuhkan kepada pelaku-pelaku yang terlibat dalam kematian Megan, maklumat baharu muncul - contohnya, gambar-gambar, serta maklumat baharu daripada beberapa agensi yang terlibat," kata menteri tersebut.

"MSF memutuskan, walaupun (semakan dua hala) dilakukan sebelum ini, untuk mengadakan panel bebas untuk mengukuhkan perlindungan dalam sistem kita dan untuk menyiasat fakta-fakta baharu yang telah muncul."

AP Melvin Yong (PAP-Radin Mas) bertanya tentang rancangan untuk meningkatkan kemahiran pengamal perlindungan kanak-kanak dan menangani kebimbangan berterusan tentang beban kerja dalam sektor tersebut.

Beliau menyatakan bahawa selepas panel semakan menerbitkan dapatannya, sebilangan pekerja sosial menyatakan keperluan untuk lebih banyak sokongan kepada pengamal perlindungan kanak-kanak, dan bukannya "sekadar mempunyai lebih banyak prosedur operasi standard, garis panduan, protokol".

Mediacorp sebelum ini melaporkan tentang pekerja sosial yang menggesa lebih banyak sokongan untuk sektor tersebut, sambil memberi amaran terhadap pelaksanaan lebih banyak prosedur dan penguatkuasaan lebih banyak pematuhan prosedur tanpa menimbangkan naluri yang diperlukan oleh pengamal perlindungan kanak-kanak.

Encik Lee menjawab bahawa membina keupayaan pengamal perlindungan kanak-kanak barisan hadapan dan mengukuhkan sumber yang mereka ada adalah "perkara utama" dalam jawapan beliau sebelum ini.

"Sistem ini hanya boleh berfungsi jika barisan hadapan kita mempunyai kemahiran, pertimbangan, pengalaman dan semangat untuk memastikan jaringan keselamatan ini kukuh. Oleh itu, itulah yang menjadi keutamaan," katanya.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita