Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kes lelaki dikatakan mengaku nabi masih disiasat MUIS

Kes lelaki mengaku nabi dan mengamalkan nikah batin masih disiasat Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), menurut Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kes lelaki dikatakan mengaku nabi dan mengamalkan nikah batin masih disiasat Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), menurut Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli.

Beliau menjelaskan demikian sebagai menjawab soalan bertulis dari Anggota Parlimen Parti Pekerja Faisal Manap, semasa sesi parlimen pada Isnin (5 Apr). AP pembangkang itu bertanya tentang hasil siasatan kes tersebut selepas MUIS mendapatkan maklum balas awam sehingga 11 Dis 2020.

"Siasatan masih dijalankan. MUIS akan berkongsi dapatannya dengan orang ramai apabila ia siap kelak," kata Encik Masagos dalam jawapan bertulisnya itu.

Beliau menambah, langkah-langkah sesuai diambil MUIS dan Jawatankuasa Fatwa untuk menangani kes ajaran songsang seperti itu. MUIS juga hanya boleh bertindak jika ada bukti-bukti kukuh.

GARIS MASA KES DARI TAHUN 2015

Encik Faisal turut bertanya sama ada MUIS boleh mengesahkan bahawa ia menerima aduan terhadap individu terbabit pada 2015. Menjawab, Encik Masagos mengesahkan bahawa badan penguasa Islam itu pertama kali menerima aduan mengenai lelaki itu pada 6 Oktober 2015 dan beberapa langkah diambil selepas itu.

"Para pegawai MUIS bertemu dengan pihak yang memfailkan aduan, dan juga individu-individu lain yang mempunyai maklumat tentang aduan tersebut. Berdasarkan maklumat yang diberikan ketika itu, tidak ada bukti mencukupi untuk MUIS mengambil tindakan lanjut terhadap individu berkenaan," terang Encik Masagos.

Antara Oktober 2015 dengan Oktober 2017, MUIS terus menyiasat kes ini berdasarkan maklumat tambahan yang disediakan oleh pihak-pihak sama yang membuat aduan, kata Encik Masagos lagi. Perkara itu selanjutnya dibentangkan kepada Jawatankuasa Fatwa pada 2017.

Pada awal 2018, Jawatankuasa Fatwa mengundang pihak-pihak relevan untuk bertemu dengan Mufti dan beberapa anggota jawatankuasa lain.

"Selepas menjalankan siasatan lanjut, Jawatankuasa Fatwa mendapati keyakinan individu terbabit tidak berlandaskan sumber rujukan dan tradisi agama," tambah beliau.

Lantaran itu, MUIS mengarahkannya supaya segera berhenti menawarkan khidmat rawatan dan tidak menyebarkan ajaran yang bukan berlandaskan sumber-sumber sahih. Menurut Encik Masagos, individu berkenaan juga dinasihati supaya mendalami ilmu agama daripada para asatizah yang bertauliah.

Kes itu kembali disiasat semula apabila ada laporan diterbitkan mengenai lelaki itu, di mana ada maklumat-maklumat baru.

"MUIS selaku penguasa tertinggi bagi Islam di Singapura sudah dan akan terus menawarkan panduan dan nasihat keagamaan kepada masyarakat mengenai bahaya-bahaya ajaran sesat.

"MUIS juga menggalak masyarakat supaya bersikap bertanggungjawab terhadap pembelajaran agama mereka sendiri dengan hanya mendapatkan bimbingan daripada sumber-sumber berwibawa dan asatizah yang berdaftar di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS)," kata Encik Masagos lagi.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan