Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kes langgar peraturan MOP HDB meningkat; ejen hartanah dikenakan tindakan disiplin

Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) menerima sekitar 4,700 maklum balas dalam tempoh enam tahun lalu tentang dakwaan melanggar peraturan tempoh penginapan minimum (MOP) flat.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) menerima sekitar 4,700 maklum balas dalam tempoh enam tahun lalu tentang dakwaan melanggar peraturan tempoh penginapan minimum (MOP) flat.

Dalam tempoh yang sama, HDB mengambil semula flat dari 21 pemilik atas kesalahan tersebut.

Demikian perangkaan yang didedahkan menyusuli beberapa laporan media tentang flat Bina Ikut Tempahan (BTO) kosong yang disenaraikan untuk dijual di pasaran terbuka.
Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee turut menarik perhatian di Parlimen pada Isnin (9 Jan) bahawa hampir 70 ejen hartanah disiasat kerana dipercayai membantu pelanggan mereka melanggar peraturan HDB.

Tindakan disiplin diambil terhadap 18 ejen hartanah antara tahun 2017 hingga 2022, kerana membantu pelanggan mereka, memasarkan flat HDB yang mungkin belum memenuhi MOP.

Mereka adalah dalam kalangan 51 kes melibatkan 69 ejen hartanah yang disiasat Majlis Agensi Hartanah (CEA) antara 2017 hingga 2022.

Siasatan ke atas 32 kes sudahpu selesai manakala lagi 19 kes masih lagi disiasat.

Di bawah Kod Etika dan Penjagaan Pelanggan Profesional, ejen hartanah perlu melaksanakan langkah ketat untuk memastikan tiada undang-undang dicabuli, termasuk yang melibatkan hartanah HDB.

Di bawah syarat HDB pemilik harus memenuhi tempoh MOP lima tahun sebelum boleh menjual rumah mereka dan pemilik perlu tinggal di flat itu.

Daripada 18 ejen hartanah yang didapati melanggar kod etika berkenaan, enam sudah digantung pendaftarannya selama tujuh hingga 48 minggu dan dikenakan denda antara S$2,000 dengan S$5,000.

Dua ejen hartanah diberikan surat teguran dan seorang daripadanya juga dikenakan denda S$1,000. Sementara, 10 ejen hartanah yang lain diberikan surat amaran.

Encik Lee mendedahkan demikian ketika menjawab soalan-soalan parlimen yang diajukan oleh beberapa Anggota Parlimen (AP) tentang bagaimana Kementerian Pembangunan Negara (MND) memastikan flat BTO dihuni oleh pemilik mereka sepanjang tempoh MOP.

Encik Don Wee (PAP-Chua Chu Kang) juga bertanya langkah-langkah bagi mencegah kes di mana flat BTO ditinggalkan kosong atau disewakan ketika tempoh MOP sehingga ia disenaraikan untuk penjualan, pada masa kelak.

Maka itu, Encik Lee menyeru ejen hartanah agar menjalankan tata kelola dan memastikan mereka tidak melanggar undang-undang.

"Jumlah aduan terhadap ejen-ejen yang disyaki membantu pelanggan melanggar peraturan MOP telah meningkat sejak dua tahun lalu daripada tiga setahun kepada sekitar 20 setahun. Jadi kami bimbang. HDB dan CEA akan terus bekerjasama rapat untuk pastikan pemahaman asas peraturan melibatkan hartanah," kata Encik Lee.

Beliau menambah HDB mengesan potensi pelanggaran syarat dan peraturan HDB menerusi pelbagai kaedah, termasuk penggunaan analitik data dan peralatan lain.

Namun, kata Encik Lee, HDB juga tidak mahu "terlalu menggangu" privasi 1.1 juta pemilik flat HDB di mana kebanyakan mereka mematuhi peraturan.

HDB menjalankan 500 pemeriksaan secara rambang pada setiap bulan bagi sebarang pencabulan peraturan seperti menyewakan flat tanpa kebenaran dan flat yang tidak dihuni.
Sumber : CNA/AA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan