Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kes keracunan makanan semasa latihan Pertahanan Mutlak tiada kaitan dengan hidangan siap makan: SFA, MOH

Siasatan terhadap kes gastroenteritis yang timbul semasa latihan Pertahanan Mutlak pada awal tahun ini tidak menemui kaitan dengan pemakanan hidangan siap makan (RTE), menurut Agensi Makanan Singapura (SFA) dan Kementerian Kesihatan (MOH) pada Selasa (15 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Kes keracunan makanan semasa latihan Pertahanan Mutlak tiada kaitan dengan hidangan siap makan: SFA, MOH

Hidangan siap makan (RTE) SATS yang boleh disimpan tanpa peti sejuk dan dimakan pada suhu bilik. (Gambar: CNA/Mak Jia Kee)

SINGAPURA: Siasatan terhadap kes gastroenteritis yang timbul semasa latihan Pertahanan Mutlak pada awal tahun ini tidak menemui kaitan dengan pemakanan hidangan siap makan (RTE), menurut Agensi Makanan Singapura (SFA) dan Kementerian Kesihatan (MOH) pada Selasa (15 Apr).

Sejumlah 187 orang - membentuk kira-kira 0.2 peratus daripada mereka yang mengambil makanan itu - mengalami gejala gastroenteritis semasa latihan tersebut.

"Berdasarkan hasil siasatan, tiada bukti konklusif yang mengaitkan kes gastroenteritis yang dilaporkan dengan pemakanan hidangan RTE," kata SFA dan MOH dalam satu kenyataan yang dimuat naik ke laman web SFA.

"Ini bermakna kedua-dua keselamatan makanan dan penemuan klinikal tidak menunjukkan hidangan siap makan sebagai punca muktamad kejadian.

"Ujian makmal sampel hidangan RTE, pemeriksaan pada persekitaran dan peralatan serta permukaan di premis SATS dan sampel najis daripada individu terjejas dan pengendali makanan menunjukkan tiada patogen bawaan makanan."

Sesetengah pelajar dari Sekolah Seni (SOTA) jatuh sakit selepas memakan hidangan itu, yang diagihkan pada 18 Feb sebagai sebahagian daripada Latihan SG Ready, yang meniru krisis seperti gangguan bekalan elektrik dan gangguan bekalan makanan di bawah latihan Pertahanan Mutlak yang lebih luas.

Pengagihan hidangan siap makan itu juga merupakan sebahagian daripada Program Kesediaan Daya Tahan Makanan tahun ini, satu inisiatif yang diterajui oleh SFA.

Program itu digantung sebagai langkah berjaga-jaga berikutan laporan kes keracunan makanan, dengan SFA dan MOH menyiasat kejadian itu.

Siasatan SFA ke atas premis di mana makanan itu dihasilkan dan proses penghasilan makanan itu mendapati tiada kelemahan pada tahap keselamatannya, tambah pihak berkuasa.

"Sungguhpun demikian, SFA bekerjasama rapat dengan SATS untuk menyiasat dan mengukuhkan proses penghasilan makanan mereka," kata kedua-dua agensi itu.

SFA menambah bahawa keselamatan makanan adalah tanggungjawab bersama dan ia akan terus memastikan rejim keselamatan makanan yang kukuh.

Pihak berkuasa tidak menyatakan apakah punca di sebalik kes gastroenteritis itu.

Hidang siap makan pada asalnya bertujuan untuk diagihkan kepada lebih 100,000 pelajar dan guru daripada lebih 90 sekolah.

Di luar sekolah, SFA juga telah merancang untuk bekerjasama dengan Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) untuk mengagihkan makanan kepada warga emas di Pusat Penuaan Aktif di seluruh negara, dengan lebih 8,000 warga emas dari 111 pusat mengambil bahagian.

Hidang siap makan itu dihasilkan oleh SATS untuk kegunaan awam semasa kecemasan negara. Memanfaatkan pengalamannya dalam menghasilkan catuan tentera, SATS menghasilkan hidangan tersebut untuk disimpan tanpa penyejukan dan dimakan pada suhu bilik, dan boleh bertahan sehingga lapan bulan.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan