Kes kematian di landasan kereta api: SMRT bekerjasama dengan polis bantu siasatan
Kes kematian di landasan kereta api: SMRT bekerjasama dengan polis bantu siasatan.
SINGAPURA: Syarikat pengendali pengangkutan SMRT sedang bekerjasama dengan polis bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang lelaki yang digilis kereta api berdekatan stesen MRT Kallang lewat Khamis (25 Feb).
Demikian menurut Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung hari ini (26 Feb).
"Saya tahu orang ramai mempunyai soalan-soalan. SMRT sedang bekerjasama dengan polis dalam siasatannya, jadi ada had ke atas apa yang boleh diberitahu kepada masyarakat umum," menurut Encik Ong dalam catatan di laman Facebooknya.
Encik Ong berkata platform di stesen MRT dipasang skrin pintu dan pagar di landasan kereta api untuk mencegah orang ramai turun ke landasan.
"Bagi mereka yang tidak menyedarinya, sebelum ini pernah ada beberapa insiden di mana orang turun ke landasan kereta api daripada platform," kata beliau.
"Oleh sebab itu, kami memasang skrin pintu di platform bagi stesen biasa dan juga stesen di bawah tanah. Di luar stesen, landasan dibina sama ada di jejambat, bawah tanah atau jika di paras sama, diletak pagar."
Insiden malam semalam itu, berlaku di Laluan Timur-Barat menghala ke Pasir Ris.
"Pada sekitar pukul 9.00 malam, seorang pemandu kereta api melaporkan bahawa beliau melanggar sebuah objek dekat dnegan stesen MRT Kallang," menurut SMRT.
"Pengurus stesen kami kemudian dikerahkan ke landasan keret api dan menemui seorang lelaki yang tidak sedarkan diri, sekitar 150 meter daripada stesen itu."
Seorang wartawan Mediacorp yang berada di lokasi kejadian melihat sebuah kereta api yang tidak bergerak berada di landasan berdekatan stesen Kallang dan orang ramai sedang berjalan di bahagian tepi landasan sambil menyalakan lampu suluh selepas insiden itu.
Hari ini, orang ramai dilihat bertafakur berdekatan stesen itu.
Menurut Encik Ong, SMRT sedang memberikan sokongan kepada pemandu kereta api dan pengurus stesen yang "terkesan" akibat insiden tersebut. Beliau menambah mereka menangani keadaan kecemasan itu dengan baik dan "tenang".
"Khidmat bas sambungan juga diaktifkan malam semalam dan para penumpang tiba di destinasi masing-masing dengan selamat," tambah beliau.
"SMRT akan memberikan perinciannya apabila sudah ada kelak. Takziah saya ucapkan kepada keluarga dan orang-orang tersayang mangsa."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.