Skip to main content

Singapura

Kes kekejaman, abai kebajikan haiwan cecah paras tertinggi dalam 12 tahun: SPCA

Anggaran Waktu Membaca:
Kes kekejaman, abai kebajikan haiwan cecah paras tertinggi dalam 12 tahun: SPCA

(Gambar: Facebook/Tan Derrick, SPCA)

Diterbitkan : 08 Jan 2025 12:23AM Dikemas Kini : 08 Jan 2025 04:00PM
SINGAPURA: Jumlah kes melibatkan kekejaman dan isu abai kebajikan haiwan di Singapura melonjak kepada paras tertinggi dalam tempoh 12 tahun pada 2024, kata Persatuan Cegah Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA) pada Selasa (7 Jan).

Terdapat 961 kes yang disahkan, naik daripada 915 kes pada 2023.

Daripada 961 kes tahun lalu, 283 kes (29.4 peratus) melibatkan kekejaman atau penganiayaan terhadap haiwan, manakala 678 kes (70.6 peratus) merupakan kes abai kebajikan yang teruk.

Kes kekejaman atau abai kebajikan melibatkan 2,190 haiwan pada 2024, dengan sebilangan besarnya (1,330) adalah kucing. Ia diikuti dengan anjing (376), burung (172) dan tikus kecil terdiri daripada hamster, gerbil, cincila dan tikus belanda atau 'guinea pig' (131).

Selain itu, terdapat 118 ikan dan terrapin, serta 57 arnab dalam senarai tersebut. Haiwan lain membentuk baki enam haiwan lagi.

KEKEJAMAN TERHADAP HAIWAN

SPCA mentakrifkan kekejaman haiwan sebagai pengabaian, penderaan fizikal, kematian, perangkap tidak berperikemanusiaan, langgar lari, dan pendedahan kepada kaedah latihan yang tidak berperikemanusiaan.

Menurut SPCA, terdapat 283 kes kekejaman melibatkan 453 haiwan pada 2024. Pengabaian adalah bentuk kekejaman yang paling banyak dengan 120 kejadian melibatkan 257 haiwan.

Penderaan fizikal adalah bentuk kekejaman kedua paling banyak melibatkan 84 kes, dengan 33 kes sengaja mendatangkan bahaya dan menyebabkan kematian.

Kucing merupakan mangsa terbesar setakat ini (220), diikuti dengan anjing (93), dan hamster, gerbil, cincila dan tikus belanda (40).
SPCA menarik perhatian bahawa sejumlah pesalah kekejaman haiwan adalah orang muda, dengan 15 kes sedemikian dicatat pada 2024, lebih seganda daripada enam kes pada 2023.

Meskipun sesetengah kes mungkin berpunca daripada niat yang baik, seperti mengangkat arnab dengan mencubit telinganya, perbuatan lain mencadangkan niat jahat, seperti memukul anjing peliharaan atau menembak kucing kejiranan dengan pistol pelet.

KEBAJIKAN TERUK DAN PENGABAIAN

SPCA juga menyiasat 678 kes kesejahteraan haiwan tidak dipelihara, melibatkan 1,737 haiwan.

Ia terdiri daripada keadaan tempat tinggal yang tidak sesuai, sindrom
tempat tinggi (haiwan peliharaan jatuh dari tempat tinggi disebabkan kegagalan memastikan tempat tinggalnya selamat), haiwan peliharaan diabaikan, haiwan peliharaan dibiarkan keluar ke tempat awam tanpa pengawasan,
penyakit yang diabaikan, penjualan haiwan peliharaan secara haram, dan menyimpan jumlah haiwan yang banyak.

Keadaan tempat tinggal yang tidak sesuai merupakan kes paling banyak dengan 324 kes, diikuti dengan sindrom tempat tinggi dengan 134 kes melibatkan 141 haiwan. Haiwan peliharaan yang diabaikan tanpa pengawasan adalah yang ketiga paling banyak pada 69 kes.

Bagi kes kekejaman haiwan, kucing sekali lagi menjadi mangsa paling banyak dengan 1,110 ekor, diikuti anjing sebanyak 283 ekor dan burung sebanyak 134 ekor.

SPCA menyatakan bahawa ia mengambil tindakan terhadap 23 kes pada 2024 di mana sejumlah besar haiwan dipelihara, yang melibatkan 355 haiwan.
PERNIAGAAN HAIWAN PELIHARAAN TIDAK BERTANGUNGJAWAB

SPCA juga menyiasat 56 kes amalan perniagaan haiwan peliharaan pada 2024.

Pada 2024, dua pelatih haiwan dilihat memukul dan menolak dua ekor anjing supaya duduk semasa sesi mengambil gambar.

Walaupun 2,190 haiwan yang menjadi mangsa dicatat pada 2024, SPCA menyatakan bahawa jumlah sebenar mungkin lebih tinggi kerana banyak kes tidak diketahui atau tidak dilaporkan, dan mangsa sering tidak dapat hidup lama untuk diselamatkan.

Sebagai badan amal kebajikan haiwan bukan pemerintah, SPCA menyatakan keupayaannya untuk campur tangan juga dikekang oleh kekurangan kuasa undang-undang.

Ia menyeru orang ramai supaya bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) atau polis, dan merakam bukti kekejaman haiwan untuk membantu prosiding undang-undang.
 
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita