Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kes keganasan seksual melalui penggunaan teknologi meningkat kepada 3 kali ganda: AWARE

Dalam empat tahun lalu, Persatuan Wanita bagi Tindakan dan Kajian (AWARE) menyaksikan jumlah kes keganasan seksual melalui penggunaan teknologi meningkat kepada tiga kali ganda.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes keganasan seksual melalui penggunaan teknologi meningkat kepada 3 kali ganda: AWARE

Gambar hiasan (Gambar: Duy Hoang/Unsplash)

Diterbitkan : 03 Dec 2020 12:38PM Dikemas Kini : 03 Dec 2020 12:41PM

SINGAPURA: Dalam empat tahun lalu, Persatuan Wanita bagi Tindakan dan Kajian (AWARE) menyaksikan jumlah kes keganasan seksual melalui penggunaan teknologi meningkat kepada tiga kali ganda.

Kumpulan penyokong kesamarataan gender itu mentakrifkan kes-kes sedemikian sebagai kejadian yang mana tingkah laku seksual tidak diingini dilakukan melalui penggunaan teknologi digital seperti kamera, media sosial dan wadah penghantaran pesanan.

Dalam satu kenyataan pada Rabu (2 Nov), AWARE menyatakan bahawa pusat jagaan mangsa serangan seksualnya mencatat 140 kes keganasan seksual menerusi penggunaan teknologi tahun lalu. Ini membentuk 18 peratus daripada 777 kes keganasan seksual yang disaksikannya tahun lalu.

Pada 2016, pusat tersebut mencatatkan 47 kes keganasan seksual menerusi penggunaan teknologi. Pada 2017, ia menerima 88 kes. Pada 2018, terdapat 118 kes seperti itu.

Kejadian seperti itu termasuk mesej dan panggilan telefon bersifat seksual yang tidak diingini dan lucah serta pelbagai jenis penderaan seksual berdasarkan gambar, yang merujuk kepada memperolehi, menghasilkan atau menyebarkan gambar atau video seksual orang lain tanpa izin.

Contoh-contohnya termasuk penyebaran "pornografi balas dendam", yang biasanya disebarkan oleh bekas pasangan seksual untuk memalukan atau menyebabkan tekanan kepada mangsa, mengintai bagi kepuasan seksual dan ancaman melakukan tindakan-tindakan ini.

MENGAPA IA PENTING

Berdasarkan pengalaman pusat jagaan serangan seksual AWARE membantu mangsa, para kakitangannya memperhatikan kesan emosi, mental dan fizikal yang berkait dengan kehilangan harga diri, privasi dan autonomi seksual.

Memburukkan lagi keadaan adalah keupayaan mangsa yang terbatas untuk mengawal penyebaran gambar dan video sebaik sahaja ia disebarkan online.

Mangsa juga menghadapi kesukaran menghubungi wadah-wadah dalam talian untuk memadamkan bahan-bahan tersebut. Lantas, pesalah jarang dipertanggungjawabkan, jelas AWARE.

Cik Shailey Hingorani, ketua sokongan dan kajian AWARE, berkata: "Hanya untuk kepuasan atau dendam sementara pelaku, seorang mangsa mungkin akan hidup dalam kegelisahan sepanjang hidupnya, kerana tahu gambarnya disebarkan secara online kepada seramai-ramai orang-orang tidak dikenali."

JENIS KES:

Kes keganasan seksual menerusi penggunaan teknologi yang dicatat AWARE tahun lalu termasuk:

  • Penderaan seksual berdasarkan gambar (39 peratus)
  • Mesej dan panggilan telefon tidak diingini dan lucah (29 peratus)
  • Penganiayaan seksual menerusi penggunaan aplikasi cari pasangan atau tempah kenderaan (15 peratus)
  • Kes melibatkan berbilang bentuk penderaan (17 peratus)

Dalam kebanyakan kes, mangsa mengenali pelaku. Mereka adalah:

  • Kenalan (20 peratus kes)
  • Bekas pasangan intim (18.6 peratus)
  • Pasangan intim sedia ada (10 peratus)

Dalam kes-kes pesanan seksual tidak diingini atau lucah, pelakunya seringkali ialah seseorang yang dikenali oleh mangsa dari tempat kerja - membentuk 32.5 peratus kes-kes sebegitu.

PENDERAAN ONLINE KE ALAM NYATA

Dalam beberapa kes, penderaan juga boleh berlaku di luar talian dalam bentuk gangguan seksual, rogol, serangan seksual, intai, penghinaan atau ugutan secara terbuka.

Sebagai contoh, teknologi kadang-kala memainkan peranan menghubungkan pelaku dengan mangsa, seperti melalui aplikasi cari pasangan atau tempahan pengangkutan.

Dalam kes-kes lain, pelaku akan memperoleh gambar mangsa tanpa izinnya, kemudian memeras mangsa untuk melakukan hubungan seks.

AWARE menyatakan bahawa tahun lalu, 50 - atau 36 peratus daripada kes keganasan seksual menerusi penggunaan teknologi membawa kepada penganiayaan nyata. Sebanyak 30 kes (21 peratus) melibatkan penganiayaan secara online dan nyata.

Cik Hingorani berkata bahawa trend meningkat itu dijangka akan berterusan.

“Bagi penderaan seksual berdasarkan gambar, kami malah tahu tentang lelaki yang secara terang-terangan menggalak antara satu sama lain untuk melakukan perbuatan ini berulang kali. Oleh itu, tidak mengejutkan apabila jumlah kes meningkat."

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan