Kes kegagalan buah pinggang pesakit Melayu melonjak lebih seganda dalam sedekad
Gambar hiasan mesin dialisis buah pinggang. (Gambar fail: TODAY)
BERITAmediacorp: Bilangan pesakit ginjal Melayu yang dirawat pusat dialisis Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan(NKF) meningkat lebih seganda berbanding sedekad lalu.
Menurut NKF, setakat Jun tahun ini, 32 peratus atau 1,416 daripada lebih 4,400 pesakit yang menjalani rawatan haemodialisis di pusat-pusat dialisisnya adalah pesakit ginjal Melayu.
Pada 2012, jumlah pesakit Melayu adalah 674 orang.
KENCING MANIS DAN DARAH TINGGI PUNCA UTAMA
Antara punca utamanya adalah penyakit kencing manis dan darah tinggi.
Laporan Pejabat Pendaftaran Ginjal Singapura pada 2020 menunjukkan, para pesakit Melayu merangkumi 27% daripada jumlah penduduk dialisis.
Apabila dibandingkan dengan bilangan orang Melayu yang membentuk 13.7% daripada keseluruhan penduduk Singapura, kadar pesakit gingal Melayu adalah jauh lebih tinggi.
Kadar yang tinggi itu boleh disebabkan oleh penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi – risiko faktor utama kegagalan ginjal – berbanding dengan kaum-kaum lain.
Tinjauan Kesihatan Penduduk Nasional (NHPS) pada 2020 menunjukkan, kadar penyakit kencing manis dalam kalangan orang Melayu lebih tinggi berbanding orang India dan Cina.
Peratusan pesakit kencing manis adalah tertinggi dalam kalangan lelaki India dan wanita Melayu iaitu sekitar 15 peratus.
TIDAK KAWAL MAKAN DAN UBAT KENCING MANIS
Sekitar bulan Mac tahun 2021, Encik Suhaimy Muhamad Sah disahkan menghidap kegagalan buah pinggang tahap akhir.
"Saya mendapat penyakit kencing manis pada 2018 dan dinasihati agar mengelakkan makanan tertentu. Tetapi saya tidak menjaga makan. Saya gemar makan lauk asam pedas, lemak cili padi dan juga kuih muih Melayu.
"Saya juga tidak mengambil ubat dengan betul. Doktor beri amaran kadar gula saya terlalu tinggi," kongsi Encik Suhaimy kepada BERITAmediacorp.
Beliau kesal tidak menurut nasihat doktor untuk menguruskan penyakit kencing manisnya itu.
Selain daripada peratusan penghidap kencing manis yang paling tinggi dalam kalangan orang Melayu, kadar darah tinggi dalam kalangan orang Melayu 37.5 peratus juga tinggi berbanding orang Cina sebanyak 36.1 peratus dan 29.5 peratus bagi orang India.
"Yang paling ketara ialah gaya hidup yang kurang sihat. Apabila kita lihat, satu ialah kadar berat badan yang tinggi lebih ketara di antara golongan Melayu pertama sekali di golongan Melayu wanita Singapura kalau dibandingkan golongan Cina dan golongan India.
"Bukan itu sahaja, kadar senaman juga amat rendah dan kadar merokok paling tinggi. Jadi ini tiga perkara dari segi gaya hidup kita kalah. Yang lagi satu ialah kadar saringan kesihatan. Penyakit-penyakit lain kalau kita dapat tetapi kalau kita dapat kesan awal, kita boleh buat sesuatu untuk 'reverse' atau perbaiki tahap fungsi ginjal kita," kata Dr Elly Sabrina dari Klinik Banyan.
BEBAN KOS RAWATAN PENYAKIT
Tambah Dr Elly, kesan kegagalan ginjal bukan setakat pengurusan penyakit.
"Jika anda mendapat kegagalan ginjal pada usia 30 ke atas, berat badan anda merosot kerana anda harus melalui dialisis. Setiap kali pergi sana empat jam, seminggu tiga kali jika anda bekerja. Majikan mana yang mana mungkin boleh memberi anda kelonggaran?
"Kalau anda ada penyakit kronik, kos perubatan, kos rawatan, kos jumpa doktor itu melambung naik dan terutama sekali jika tidak ada sokongan keluarga yang selalunya mungkin pasangannya tidak bekerja, anaknya kecil, ekonomi keluarga akan terjejas," jelas Dr Elly.
Encik Suhaimy yang tidak lagi boleh bekerja menerima subsidi bagi kos rawatannya.
Menurut NKF kos rawatan dialisis bulanan sahaja berjumlah $2,145 bagi setiap pesakit, tidak lagi kos perubatan lain seperti pemeriksaan doktor yang kerap dan ubat-ubatan.
HARUS LEBIH BERTANGGUNGJAWAB JAGA KESIHATAN
Menurut Dr Elly, kian ramai anggota masyarakat Melayu yang menghidap kencing manis dan darah tinggi pada usia yang lebih muda lagi.
"Kita harus lebih proaktif untuk menjalani saringan kesihatan lebih awal lagi, Jangan tunggu program negara kerana kita mahu maju ke hadapan," tegas beliau.
Usia antara 30 tahun dengan 40 tahun itu penting kerana ia adalah tempoh usia yang lebih produktif, jadi pelaburan dalam kesihatan harus menjadi keutamaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.