Skip to main content

Singapura

Kes kecurian di kediaman naik 25% pada separuh pertama 2026; keadaan jenayah fizikal SG kekal stabil

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 24 Aug 2026 03:59PM Dikemas Kini : 04 Sep 2026 10:55PM
  • Pasukan Polis Singapura melaporkan peningkatan 25 peratus kes kecurian di kediaman dan kenaikan kecil kes kecurian di kedai serta kes mencabul kehormatan pada separuh pertama 2026.
  • Kebanyakan kes kecurian di kediaman melibatkan individu yang mempunyai akses atau biasa dengan premis, manakala kecurian di kedai sering berlaku di pasar raya dan kedai serbaneka.
  • SPF bekerjasama dengan peruncit, MOE dan pihak berkepentingan untuk memperkukuh langkah pencegahan, termasuk rondaan, pendidikan awam dan penggunaan teknologi keselamatan.
  • Walaupun terdapat peningkatan dalam beberapa kategori jenayah, keadaan jenayah fizikal keseluruhan di Singapura kekal stabil dan negara dianggap antara paling selamat di dunia.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Jumlah kes kecurian di kediaman meningkat sekitar 25 peratus pada separuh pertama 2026, meskipun keadaan jenayah fizikal keseluruhan di Singapura kekal stabil.

Sebanyak 459 kes kecurian di kediaman melibatkan premis kediaman dilaporkan dalam enam bulan pertama tahun ini, meningkat 25.1 peratus daripada 367 kes dalam tempoh sama pada 2025.

Demikian menurut perangkaan jenayah pertengahan tahun 2026 yang dikeluarkan Pasukan Polis Singapura (SPF).

Polis menyatakan peningkatan itu sebahagian besarnya didorong kejadian yang melibatkan individu yang mempunyai akses ke premis berkenaan atau biasa dengan tempat tersebut.

Bagi semua jenis premis, kes kecurian di kediaman hanya meningkat sedikit sebanyak 0.6 peratus, daripada 726 kes pada separuh pertama 2025 kepada 730 kes dalam tempoh sama tahun ini.

Kes-kes tersebut membentuk sekitar 7.1 peratus daripada keseluruhan kes jenayah fizikal.

"Kes kecurian di kediaman lazimnya berlaku di premis di mana barangan tidak disimpan dengan selamat atau dibiarkan tanpa pengawasan, sekali gus membuka peluang kepada kecurian," menurut SPF.

Polis menasihatkan penduduk, penyewa bersama dan penghuni premis supaya menyimpan barangan peribadi dengan selamat serta tidak meninggalkan barangan berharga tanpa pengawasan di ruang bersama dan kemudahan yang dikongsi.

Dari Januari hingga Jun, jumlah kes jenayah fizikal di Singapura turun 0.4 peratus kepada 10,287 kes, berbanding 10,325 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

SPF menyifatkan keadaan jenayah fizikal sebagai "stabil".

Sebanyak 12 kes rompakan dan sembilan kes ragut dilaporkan.

Tiga jenayah yang dikenal pasti sebagai paling membimbangkan adalah kes mencabul kehormatan, kecurian di kedai dan kecurian di kediaman.

KES CABUL MENINGKAT

Kes mencabul kehormatan meningkat 3.1 peratus kepada 762 kes pada separuh pertama 2026, berbanding 739 kes setahun lalu.

Ia membentuk sekitar 7.4 peratus daripada keseluruhan kes jenayah fizikal.

Lebih separuh daripada kes tersebut melibatkan pesalah yang dikenali mangsa.

Sebanyak 227 kes dilaporkan di premis kediaman, meningkat daripada 172 kes setahun lalu.

Sebaliknya, jumlah kes di rangkaian pengangkutan awam turun kepada 60 kes daripada 84 kes.

Kes di pusat hiburan awam pula meningkat kepada 58 kes berbanding 49 kes sebelum ini.

Kes mencabul kehormatan di pengangkutan awam yang melibatkan pesalah yang tidak dikenali mangsa turun 25.7 peratus, daripada 74 kepada 55 kes.

"Meskipun terdapat penurunan, polis akan terus mengekalkan penguatkuasaan, pendidikan awam dan kewaspadaan masyarakat dalam rangkaian pengangkutan awam," menurut SPF.

Langkah itu termasuk meningkatkan kehadiran polis menerusi rondaan bersama pengendali pengangkutan awam.

Bagi membendung kes mencabul kehormatan di pusat hiburan awam, polis akan terus bekerjasama rapat dengan pengendali pusat hiburan malam dan pihak berkepentingan untuk memperkukuh usaha pencegahan jenayah serta memastikan persekitaran yang selamat bagi pengunjung.

KES KECURIAN DI KEDAI TURUT NAIK

Kes kecurian di kedai meningkat 2.2 peratus daripada 2,050 kepada 2,095 kes.

Ia membentuk sekitar 20.4 peratus daripada keseluruhan kes jenayah fizikal.

Antara barangan yang lazim dicuri adalah makanan dan minuman, produk penjagaan diri, minuman beralkohol serta pakaian dan aksesori.

SPF menyatakan kecurian di kedai kekal antara kesalahan utama yang dilakukan belia.

Kebanyakan kes berlaku di pasar raya, kedai serbaneka, kedai runcit kecil serta kedai penjagaan diri, kesihatan dan kesejahteraan.

Antara premis yang mencatatkan jumlah kes kecurian di kedai tertinggi dalam enam bulan pertama tahun ini adalah Cold Storage di Tanglin Mall, Sheng Siong di Kinex dan Cold Storage di Ngee Ann City.

Turut tersenarai adalah beberapa cawangan Sheng Siong dan Cold Storage, selain Don Don Donki di Northpoint City, Popular di Waterway Point dan FairPrice di Northpoint City.

Polis menyatakan pihaknya sedang bekerjasama dengan peruncit dan persatuan peruncit untuk memperkukuh langkah pencegahan jenayah di premis, khususnya di kedai yang mencatat jumlah kes kecurian lebih tinggi.

Peruncit digalakkan menyemak susun atur kedai, meningkatkan kewaspadaan kakitangan, menggunakan teknologi pengesanan yang sesuai dan menyertai Program Kesedaran Kecurian di Kedai bagi Peruncit (STAR).

BERITA Mediacorp sebelum ini menggunakan istilah “program Kesedaran Kecurian Kedai bagi Peruncit (STAR)” dalam laporan mengenai perangkaan jenayah 2025.
SPF juga akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (MOE) untuk mendidik para pelajar mengenai jenayah, termasuk kecurian di kedai, menerusi ceramah sekolah, makluman bersama kepada sekolah dan inisiatif lain.

Pengarah Jabatan Operasi SPF, Penolong Pesuruhjaya Kanan Polis (SAC) Leon Chan berkata keadaan jenayah fizikal keseluruhan Singapura kekal stabil pada separuh pertama 2026 dan negara ini terus menjadi antara tempat paling selamat di dunia.

Walaupun terdapat beberapa bidang yang membimbangkan seperti kes mencabul kehormatan, kecurian di kedai dan kecurian di kediaman, polis mengalu-alukan penurunan kes mencabul kehormatan di rangkaian pengangkutan awam yang melibatkan pesalah yang tidak dikenali mangsa.

"Perniagaan, rakan masyarakat dan orang ramai semuanya mempunyai peranan dalam mencegah, membendung dan mengesan jenayah.

"SPF akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan dan masyarakat untuk memastikan Singapura kekal selamat," kata SAC Chan.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita